Oleh Mubarak Ismail
12 Januari 2022, 00:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pelaksanaan ujian saringan bergilir COVID-19 bagi murid sekolah rendah bawah Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan dilaksanakan secara kendiri oleh murid di rumah dengan bimbingan ibu bapa atau penjaga.

Khusus bagi pelaksanaan ujian saringan COVID-19 pada minggu ini, pihak sekolah telah mengenal pasti murid yang terlibat dan akan mengedarkan kit ujian kendiri berserta Slip Pengesahan Pelaksanaan Ujian Kendiri COVID-19 untuk dibawa pulang oleh murid pada 12 Januari 2022. Keputusan ujian saringan perlu dilaporkan kepada pihak sekolah pada 13 Januari 2022.

Sekiranya keputusan negatif, murid boleh hadir ke sekolah. Jika keputusan positif, ibu bapa atau penjaga hendaklah membawa anak mereka ke fasiliti kesihatan untuk tindakan lanjut dan memaklumkan kepada pihak sekolah. Namun, jika keputusan ujian tidak sah (invalid), ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan kepada pihak sekolah dan murid tersebut akan menjalani semula ujian saringan apabila hadir ke sekolah.

KPM akan mengeluarkan surat siaran berkaitan penyelarasan semula pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah dan prasekolah.

Ketetapan ini turut terpakai di semua sekolah rendah dan tadika swasta yang berdaftar bawah KPM.

 

Kaedah Pelaksanaan

Kaedah pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah dan prasekolah adalah seperti berikut:

a. Pada hari Isnin, sekolah mengenal pasti 10 peratus murid secara rawak bagi pelaksanaan ujian saringan COVID-19 untuk minggu tersebut.

b. Pada hari Selasa, sekolah membekalkan kit ujian kendiri dan Slip Pengesahan Pelaksanaan Ujian Kendiri COVID-19 kepada murid untuk melaksanakan ujian saringan dan keputusannya perlu dilaporkan kepada pihak sekolah pada hari Rabu.

c. Jika hari berkenaan (a dan b) adalah cuti umum, maka pihak sekolah akan menetapkan hari lain untuk mengenal pasti murid, membekalkan kit ujian kendiri serta penyerahan kembali slip pengesahan.

d. Ujian saringan COVID-19 dilaksanakan secara kendiri oleh murid di rumah dengan bimbingan ibu bapa atau penjaga. Ibu bapa atau penjaga boleh merujuk tatacara pelaksanaan ujian kendiri yang disertakan bersama kit ujian kendiri yang dibekalkan oleh sekolah sebagai panduan.

e. Tindakan susulan yang perlu diambil oleh ibu bapa/penjaga adalah seperti berikut:

i) Melengkapkan dan menandatangani Slip Pengesahan Pelaksanaan Ujian Kendiri COVID-19;

ii) Sekiranya keputusan ujian adalah negatif, murid boleh hadir ke sekolah dan menyerahkan slip pengesahan ujian kendiri kepada pihak sekolah;

iii) Sekiranya keputusan ujian adalah positif, ibu bapa atau penjaga hendaklah membawa anak mereka ke fasiliti kesihatan untuk tindakan lanjut. Ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan kepada pihak sekolah; dan

iv) Sekiranya keputusan ujian tidak sah (invalid), ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan kepada pihak sekolah. Murid akan menjalani semula ujian saringan apabila hadir ke sekolah.

f. Sekolah perlu merekod dan memaklumkan keputusan ujian kepada pejabat kesihatan daerah.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi