13 Januari 2022, 17:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP ketika berucap dalam Majlis Azam Tahun Baharu 2022.

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meraikan tahun 2022 dengan mengadakan Majlis Azam Tahun Baharu 2022 sebagai permulaan yang penuh azam dan bersemangat untuk membina pasukan warga DBP yang berdaya tahan dalam menghadapi cabaran dan arus pemodenan, seiring dengan hasrat kerajaan.

Tayangan video animasi menarik perhatian umum.

Yang menariknya, dalam majlis yang berlangsung pada hari ini, DBP menyampaikan mesej “Jom Berubah: Tahun Baharu, Azam Baharu” dalam tayangan video animasi dan sketsa pendek.

Menerusi amanat dan azam tahun baharu yang disampaikan, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP berkata, pada tahun 2022, fokus utama DBP adalah berdasarkan Pelan Strategik DBP 2022-2025 yang dibangunkan dengan matlamat untuk mengindustrikan dan melestarikan bahasa dan persuratan Melayu, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi; bahasa Melayu sebagai bahasa negara; dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

“Tiga perkara ini akan menjadi tumpuan kita dalam tempoh lima tahun. Semua program mahupun aktiviti mesti menjurus ke arah pengembangan bahasa, sastera dan penerbitan,” tegas Datuk Abang Sallehuddin.

Menurut beliau, karyawan perlu berusaha untuk memastikan setiap perkara yang dirancang akan memberikan impak dan pulangan yang lebih bermanfaat dengan melihat, membuat kajian dan muhasabah diri demi meraih kejayaan dalam organisasi.

Antara 10 azam baharu yang disarankan oleh DBP.

Tambah Datuk Abang Sallehuddin, pihak pengurusan juga menekankan bahawa pendekatan inovasi dalam setiap program perlu ditingkatkan sebagai satu daripada kaedah baharu dalam mencapai sesuatu pada tahap yang terbaik, serta bersesuaian dengan peredaran semasa.

Pada masa ini, DBP telah berjaya melaksanakan beberapa perkara, antaranya termasuklah usaha pendigitalan dan penerbitan DBP. Hal ini jelas kelihatan apabila karyawan DBP telah menunjukkan minat dan komitmen yang tinggi dalam era kebiasaan baharu melalui pelbagai penganjuran program, aktiviti serta penyampaian perkhidmatan secara dalam talian dengan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi yang terkini.

Ketersediaan warga DBP terhadap perubahan ini memberikan petanda positif dan membuktikan bahawa warga kerja DBP komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan walaupun menghadapi pelbagai rintangan.

“Kejayaan kita adalah hasil daripada usaha yang dilakukan secara berpasukan. Setiap pekerja perlu bersatu padu memainkan peranan penting bagi mencapai pembangunan negara, meskipun negara dilanda pandemik COVID-19 dan banjir teruk,” jelas beliau.

Pada masa yang sama, Datuk Abang Sallehuddin turut menegaskan peri pentingnya warga DBP berpegang teguh pada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, serta menjadikan Pelan Antirasuah DBP 2022-2025 sebagai tatacara kerja supaya bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Selain itu, warga DBP dinasihatkan supaya melengkapkan dos vaksinasi bagi mengurangkan kadar keberjangkitan, seterusnya dapat memutuskan rantaian pandemik COVID-19. Hal ini sangat penting kerana warga DBP, khususnya pegawai banyak berurusan dengan agensi atau jabatan luar.

Datuk Abang Sallehuddin turut menzahirkan rasa simpati atas ujian yang menimpa karyawan DBP. Rentetan daripada itu, DBP bersetuju untuk memberikan bantuan kepada staf yang terkesan dengan kejadian banjir melalui sumbangan yang berjumlah RM1000 untuk sebuah keluarga.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.