13 Januari 2022, 12:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kurangnya adab dan tata susila masih lagi mendominasi dalam kehidupan segelintir masyarakat. Suatu hal “kecil” yang belum menampakkan perubahannya ialah soal mengemas kembali meja selepas makan.

Hal ini kedengarannya seperti isu kecil dan remeh, namun jika melihat komentar di media sosial, sesetengah golongan sanggup bertelagah mempersoalkan tentang keperluan enam hingga 10 peratus cukai perkhidmatan yang dikenakan berbanding dengan memilih untuk memudahkan urusan pekerja restoran.

Bayangkan di sebuah restoran makanan segera, sudah menjadi kebiasaan untuk kita melihat sekumpulan muda-mudi yang mencantumkan tiga hingga lima buah meja makan, kemudian ditinggalkan begitu sahaja sisa makanan yang bertaburan dan tisu di atas meja tanpa segan silu.

Tidak cukup di atas meja, sisa-sisa makanan tersebut jatuh di lantai bak “tongkang pecah”. Usai makan, sekumpulan tersebut berjalan meninggalkan meja tanpa sedikit pun rasa empati kepada pekerja restoran. Inilah cerminan krisis adab dan kesusilaan sebahagian masyarakat yang kelihatannya seolah-olah belum cukup didikannya.

Amat menyedihkan apabila melihat tahap kesusilaan masyarakat Barat yang “lebih Timur” daripada orang Timur sendiri, walhal masyarakat Timur sentiasa dicanangkan sebagai kaya dengan adab dan kesusilaannya. Masyarakat Barat sering digambarkan sebagai penuh dengan budaya negatif dengna pelbagai label, namun apabila berada di kedai makan, keadaan bertukar menjadi sebaliknya pula.

Di negara maju, budaya kemas meja dan kumpul sisa makanan untuk dimasukkan ke dalam tong sampah merupakan kebiasaan yang sudah lama disuntik ke dalam kehidupan masyarakat. Mengambil contoh Korea Selatan, budaya kemas meja dipraktikkan secara meluas dengan berdiri atas falsafah “mudahkan orang, orang mudahkan kita”. Menjadi satu kejanggalan jika seseorang itu gagal melaksanakan tugasnya sebelum meninggalkan meja makan.

Walau bagaimanapun, di negara ini berada dalam situasi yang sebaliknya. Bagi mereka yang membersihkan meja selepas makan, segelintir pihak melihat situasi tersebut sebagai agak janggal. Malah, terdapat segelintir individu yang segan untuk melaksanakan nilai murni ini hanya kerana khuatir dipandang “pelik” oleh orang lain.

Di negara jiran, Singapura, di sebalik status negara maju yang dikecap, ternyata segelintir rakyatnya juga masih lagi gagal keluar dari kepompong mentaliti kelas ketiga, terutamanya dalam aspek mengemas meja selepas makan. Kerajaan Singapura memandang serius tentang hal ini dan telah pun melaksanakan kempen return-your-tray sejak 2013. Begitu pun, kesungguhan kerajaan Singapura ini dikatakan tidak membuahkan hasil apabila kajian daripada Management University (SMU) mendapati satu daripada tiga orang responden mengatakan membersihkan meja selepas makan dianggap sebagai tugas pembersih.

Krisis ini kelihatannya remeh, namun besar implikasinya. Perkara ini bukan sahaja menampilkan sisi pandang kemunduran pemikiran, malah dari sisi lain, aspek ini mewakili imej keseluruhan masyarakat. Pelenturan mentaliti kelas pertama haruslah dilakukan sejak di bangku sekolah lagi. Hal ini merupakan sebuah proses panjang yang perlu bermula daripada sekarang. Meskipun begitu, perlu diingatkan bahawa tanggungjawab mendidik ini tidak hanya terletak di bahu kerajaan, malah menjadi tanggungjawab individu dalam mendidik diri sendiri dan lingkungan persekitarannya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.