Oleh Azman Ibrahim
14 Januari 2022, 12:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Teknologi cetakan tiga dimensi (3D) secara teorinya telah wujud sejak 1950, namun hanya mula dikaji dan diaplikasikan secara serius sekitar tahun 1980-an, Kini 3D menjadi antara tiang utama Revolusi Perindustrian 4.0. Potensi besar teknologi ini bukan sahaja mampu membantu proses pembuatan dan pembinaan di Bumi, malah bakal dibawa ke Marikh sebagai langkah pertama untuk menawan planet merah itu menjelang tahun 2050.

Penggunaan 3D dijangka dapat membantu manusia untuk membina koloni pertama di Marikh menjelang tahun 2050 dengan perancangan awal menghantar robot-robot dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kemampuan 3D terlebih dahulu untuk membina pelbagai infrastruktur yang dapat menampung keperluan manusia di planet merah tersebut.

Kewujudan teknologi 3D berpotensi besar untukĀ  menawan planet Marikh menjelang tahun 2050.

Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat (AS) telah menganjurkan satu pertandingan antara tahun 2015 dengan 2019 bagi mencipta habitat manusia dengan menggunakan 3D untuk misi ke Marikh, dengan tujuan khusus menjimatkan kos bahan binaan serta menggunakan bahan mentah sedia ada di planet tersebut (tanah, pasir, batu dan mungkin juga logam).

Media melaporkan pada tahun lalu bahawa NASA telah memilih konsep binaan berbentuk telur ayam oleh Syarikat AI Space Factory sebagai pemenang. Bangunan empat tingkat itu boleh dibina menggunakan pencetak 3D dalam tempoh 30 jam sahaja.

Teknologi 3D juga membolehkan angkasawan membina sendiri sebahagian besar barang keperluan misi mereka setibanya di planet itu, seterusnya menjimatkan ruang dan bahan bakar yang diperlukan kapal angkasa untuk ke sana. Perkembangan ini juga mungkin dapat mempercepat jangka masa perjalanan sehala ke Marikh daripada 270 hari kepada sekitar 80 hari sahaja seperti yang dirancang oleh bilionair, Elon Musk.

Bagi menguji penggunaan teknologi ini, sebuah mesin 3D dipasang di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sejak 2016, manakala Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) berjaya melancarkan sebuah enjin roket yang dicetak sepenuhnya menggunakan 3D pada Mac 2019. Pertandingan habitat Marikh oleh NASA itu juga membuktikan 3D mampu mengurangkan tempoh pembinaan projek perumahan di Bumi daripada enam bulan kepada sekitar 35 hari sahaja.

Sasaran utama kebanyakan penggiat industri 3D kini adalah untuk menyaingi tahap penggunaan mesin 2D sedia ada, dengan perancangan jangka panjang setiap isi rumah boleh mencetak sendiri kebanyakan produk keperluan di rumah seperti peralatan dapur, pertukangan, pembersihan, permainan, alat ganti komponen plastik dan banyak lagi.

Teknologi ini juga mampu mengubah industri kecil dan besar dengan memudahkan penghasilan dan pengeluaran produk, malah peniaga mungkin hanya perlu menjual kerangka binaan digital untuk dicetak sendiri pelanggan di rumah, menghapuskan keperluan untuk pengilang membeli bahan mentah mahupun menghantar produk yang siap dari kilang ke rumah. Semuanya bakal berada di hujung jari pengguna di rumah mahupun di mana-mana sahaja mereka berada.

Mesin pencetak 3D peribadi kini boleh dibeli melalui platform dagangan digital tempatan dengan harga serendah RM30 untuk pencetak asas berbentuk pen, manakala pencetak automatik antara RM300 hingga RM2000 mengikut saiz, spesifikasi dan kehalusan produk yang ingin dicetak. Mesin cetak untuk kegunaan industri pula dijangka semakin murah pada setiap tahun dengan pembangunan teknologi baharu, khususnya kemampuan cetakan lebih halus dan bahan mentah yang lebih murah.

Walau bagaimanapun, potensi 3D masih berdepan beberapa kekangan untuk meluaskan penggunaan teknologi ini seperti kos peralatan atau kos mesin cetak itu sendiri. Jenis bahan mentah yang boleh digunakan untuk membentuk objek atau struktur diingini yang buat masa ini masih terhad dan memerlukan lebih banyak ujian untuk memastikannya selamat dan kukuh. Produk atau struktur 3D yang dicetak juga masih memerlukan proses tambahan yang lain. Dengan perkembangan teknologi semasa, cetakan 3D dijangka menjadi antara produk mampu milik untuk kebanyakan isi rumah menjelang 2030 dan inovasi juga ini diharapkan dapat meningkatkan kualiti kehidupan manusia di seluruh dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.