17 Januari 2022, 17:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia secara umumnya mewarisi sistem perundangan Common Law yang diperkenalkan oleh British sejak zaman kolonial. Kanun Keseksaan yang menjadi undang-undang jenayah utama negara memperuntukkan pelbagai kesalahan yang boleh dikenakan hukuman tertentu. Hukuman gantung sampai mati merupakan satu daripadanya yang sering menjadi perhatian kelompok masyarakat awam.

Tambahan pula, mana-mana orang yang didapati bersalah atas kesalahan tertentu, misalnya membunuh, mengedar dadah berbahaya dan bertindak ganas sehingga menyebabkan kematian akan menanggung akibat daripada perbuatan tersebut kerana hukuman mati mandatori boleh dijatuhkan terhadap mereka.

Dalam erti kata lain, kesalahan yang melibatkan hukuman mati diambil setelah mengambil kira kesan negatif terhadap mangsa, ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Dalam konteks kesalahan yang menyebabkan kematian, terdapat dua jenis kesalahan yang sedikit berbeza, iaitu membunuh dan mematikan orang secara salah. Pada November lalu, sekumpulan pelajar sebuah universiti tempatan terlepas daripada hukuman mati apabila mereka didapati bersalah atas perbuatan mematikan Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman, secara salah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan berbanding dengan kesalahan membunuh yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori bawah Seksyen 302 Kanun yang sama. Setakat artikel ini ditulis, laporan kes penuh masih belum diperoleh daripada pihak mahkamah untuk ditekuni dan amatlah tidak wajar untuk kita membuat kesimpulan mudah tanpa mengetahui alasan penghakiman kes tersebut.

Sebenarnya, perbahasan tentang pelaksanaan hukuman mati di negara tidak pernah sunyi. Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia merupakan satu daripada negara yang masih mengekalkan hukuman mati dalam sistem keadilan jenayah selain daripada Singapura, China, Bangladesh dan beberapa buah negara yang lain. Negara maju seperti United Kingdom, Australia dan Perancis juga telah lama memansuhkan hukuman mati dan menggantikannya dengan hukuman lain seperti pemenjaraan dan denda.

Tidak hairanlah apabila Malaysia sering menerima kritikan daripada negara yang tidak lagi melaksanakan hukuman mati begitu juga dengan pertubuhan hak asasi manusia. Memetik beberapa saranan yang diutarakan oleh beberapa buah negara menerusi Proses Kajian Semula Berkala Sejagat (UPR) menerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), Malaysia digesa untuk memansuhkan hukuman mati secara berperingkat.

Malaysia antara negara yang masih mengekalkan hukuman mati.

Di samping itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) juga tidak ketinggalan dalam memperjuangkan pemansuhan hukuman mati di negara ini sejak tahun 2006. Memetik sumber laman web SUHAKAM, pertubuhan itu memuji langkah kerajaan dalam usaha memansuhkan hukuman mati secara beransur-ansur apabila pindaan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 telah dilakukan pada tahun 2019 dengan memberikan budi bicara kepada mahkamah untuk menentukan hukuman secara kes dan mengikut kes berbanding dengan hukuman mati mandatori.

Malah, Amnesty International, sebuah pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa turut terlibat dalam usaha ini dengan melaporkan laporan khusus berkaitan dengan pelaksanaan hukuman mati di Malaysia yang merangkumi bilangan banduan akhir, kesalahan jenayah yang berkaitan dan beberapa kelompangan yang wujud berdasarkan hal ini.

Walau bagaimanapun, usaha pemansuhan hukuman mati masih mendapat tentangan daripada pihak yang ternyata mahu hukuman ini terus dikekalkan. Mereka turut menggesa agar kerajaan tidak memansuhkan hukuman mati bagi memastikan pelaku jenayah yang terlibat  tidak terlepas daripada hukuman yang setimpal. Mereka juga percaya bahawa hukuman mati mampu menegakkan keadilan terhadap keluarga mangsa dan bukannya sebagai balasan terhadap pelaku atas perbuatannya. Situasi ini menunjukkan bahawa langkah pemansuhan hukuman mati bukanlah sesuatu yang mudah direalisasikan kerana perlu mengambil kira pandangan kelompok masyarakat awam.

Dari perspektif undang-undang jenayah Islam pula, hukuman mati boleh dikenakan atas kesalahan membunuh serta kesalahan yang melibatkan ketenteraman awam dan keselamatan negara, antara lainnya keganasan dan jenayah menggulingkan pemerintah yang sah. Hukuman ini juga terbahagi kepada beberapa prinsip undang-undang jenayah Islam, iaitu hudud, qisas dan takzir.

Selain itu, pembunuh juga boleh dihukum mati mengikut prinsip hukum qisas sebagai hukuman yang setimpal terhadap perbuatan yang dilakukannya melainkan pelaku dimaafkan oleh keluarga mangsa. Hal ini bererti bahawa hukuman mati boleh dikenakan dalam kes jenayah berat seperti yang diterangkan di atas menurut perspektif undang-undang jenayah Islam.

Sebagai kesimpulannya, perbincangan tentang hukuman mati masih belum mencapai titik noktahnya memandangkan masih terdapat pihak yang menyokong mahupun yang menentang pelaksanaannya hingga hari ini. Tambahan pula, undang-undang jenayah di negara kita yang memperuntukkan hukuman sedemikian bagi kesalahan tertentu adalah bertujuan untuk mencegah orang ramai daripada melakukannya di samping mengenakan hukuman yang setimpal terhadap pelakunya.

Oleh hal yang demikian, semua pihak mestilah mempertimbangkan segala aspek seperti undang-undang, keadilan, hak asasi manusia dan kesan terhadap keluarga mangsa bagi menentukan sama ada hukuman ini wajar dikekalkan atau perlu dimansuhkan dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.