20 Januari 2022, 10:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Penyerahan Kamus Kompetensi AKEPT-UMP antara Prof. Madya Dr. Yazrina (kiri) dengan Encik Muhammad Azli Shukri (kanan) sebagai simbolik kejayaan melakarkan sejarah menerbitkan kamus kompetensi pertama di negara ini.

Putrajaya – Penerbit Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengadakan pertemuan ringkas dengan Timbalan Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Madya Dr. Yazrina Yahya bertempat di pejabatnya baru-baru ini bersempena dengan sesi penyerahan buku terbitan bersama, iaitu Kamus Kompetensi AKEPT-UMP. Kamus tersebut ialah kamus kompetensi pertama di Malaysia yang dihasilkan atas usaha sama antara AKEPT dengan UMP.

Pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam itu turut membincangkan hal yang berkaitan dengan perancangan dan kesinambungan kerjasama dalam penerbitan, serta penerokaan peluang baharu yang memberikan pelbagai manfaat bersama. Dalam usaha menyebarluaskan ilmu dan meningkatkan hubungan dua hala antara agensi lain, Prof. Madya Dr. Yazrina Yahya menyatakan bahawa:

AKEPT sentiasa menyokong usaha seperti ini, khususnya kerjasama dengan pihak universiti dalam meneruskan agenda kecemerlangan kepimpinan dan pengurusan bakat demi memastikan universiti dan institusi pendidikan tinggi kekal relevan menghadapi cabaran semasa.

Dalam konteks penerbitan, Penerbit UMP dan AKEPT telah menjalinkan kolaborasi strategik sejak tahun 2018 dalam pembangunan judul penerbitan yang merangkumi subjek kompetensi dan kepimpinan institusi pendidikan tinggi. Kolaborasi yang diadakan secara berterusan ini membuktikan AKEPT-UMP sentiasa cakna dalam pembangunan bakat dan barisan kepimpinan yang utuh dalam kalangan warga akademik dan para pegawai profesional di institusi pengajian tinggi.

Pada masa yang sama, Pengarah Penerbit UMP, Encik Muhammad Azli Shukri berkata:

Pembangunan bakat dan kepimpinan merupakan isu yang sentiasa ‘segar’ dan memerlukan perhatian, serta kajian yang konsisten agar input yang diperoleh dapat didokumentasikan dalam bentuk buku, seterusnya menjadi tatapan dan pengetahuan pihak yang berkepentingan.

Tambah Encik Muhammad Azli, selain Kamus Kompetensi AKEPT-UMP, kerjasama antara kedua-dua belah pihak tersebut telah berjaya menerbitkan empat buah buku, iaitu CBTM Coffee Table Book, himpunan artikel dan bab dalam buku berjudul Memimpin yang Terpimpin Siri 1 dan Memimpin yang Terpimpin Siri 2.

Menerusi pertemuan yang diadakan itu, pihak AKEPT dan UMP bersetuju untuk mempertingkatkan lagi program sinergi antara agensi tersebut dari semasa ke semasa agar kekal aktif, seterusnya memberikan manfaat bukan sahaja kepada pihak mereka, malah kepada masyarakat sekeliling.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.