Oleh Aisyah A.
20 Januari 2022, 16:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengadakan perjumpaan dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch ‘n Go Sdn. Bhd. (Touch ‘n Go) berhubung dengan pelaksanaan RFID di sepanjang Lebuhraya PLUS pada 17 Januari yang lalu.

Hal ini adalah berikutan pengumuman kerajaan yang menghentikan penggunaan kad       Touch ‘n Go dan SmartTAG secara berperingkat bagi tujuan pelaksanaan penggunaan RFID secara sepenuhnya pada hujung tahun 2023.

Perbincangan ini diadakan untuk mendapatkan pemahaman yang lebih terperinci serta perkembangan terkini berhubung pelaksanaan RFID kerana MyCC percaya bahawa inisiatif ini perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memodenkan pembayaran tol dan menambah baik pengurusan kesesakan di plaza tol.

Memandangkan terdapat peningkatan aduan pengguna mengenai sistem RFID di seluruh Lebuhraya PLUS, MyCC turut berkongsi penilaian dan kebimbangannya mengenai pelaksanaan tersebut termasuklah memberikan akses kepada platform pembayaran lain untuk pembayaran tol bukan sahaja melalui kad debit atau kad kredit, malah sistem e-wallet turut diguna pakai.

Terdahulu, dalam satu sidang media yang diadakan, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail menyatakan bahawa transaksi menggunakan RFID merupakan langkah awal kepada pelaksanaan pembayaran tol tanpa kehadiran plaza tol menerusi Sistem Laluan Terus Pelbagai Lorong (MLFF).

Lorong Touch ‘n Go dan SmartTAG masih disediakan di plaza tol.

Namun begitu, berita tersebut telah menimbulkan kebimbangan oleh sesetengah pengguna lebuh raya tentang penutupan lorong Touch ‘n Go dan SmartTAG. Beliau kemudian menjelaskan bahawa pengguna masih boleh menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG kerana buat masa ini, hanya satu lorong RFID disediakan di plaza tol.

Mengambil kira tanggungjawab khas bagi kedua-dua perusahaan dominan ini dalam pasaran relevan, MyCC akan menumpukan usahanya dengan memantau secara konsisten perkembangan pelaksanaan sistem RFID selaras dengan peranannya dalam memperjuang dan mempromosi persaingan bagi kepentingan semua rakyat Malaysia.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail yang menyatakan bahawa jika terdapat persaingan antara kedua-dua perusahaan tersebut, Akta Persaingan 2010 akan dikuatkuasakan.

Walau bagaimanapun, disebabkan pasaran berkaitan dengan inovasi mewujudkan ketidakpastian, MyCC akan terus berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam memastikan perubahan ke arah sistem yang lebih moden ini sentiasa memberikan servis dan manfaat terbaik kepada semua pengguna.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.