21 Januari 2022, 12:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Sekembalinya Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), beliau amat menitikberatkan aspek inovasi dan kreatif dalam kalangan karyawan DBP. Hal tersebut disuarakan oleh beliau semasa menjadi tetamu undangan BERNAMA Radio, menerusi slot Jendela Fikir “DBP : Tenaga Jiwa Bangsa”, dalam perbincangan yang memfokuskan tentang generasi muda dan hubungannya dengan DBP.

Berdasarkan pengalaman yang dikongsi oleh Ketua Pengarah itu sejak awal perkhidmatan, kemudiannya bersara dan kini kembali semula menerajui DBP, beliau melihat usaha yang berfokus perlu dilaksanakan oleh DBP dalam usaha mendekati generasi pintar peranti ini. Beliau memaklumkan bahawa DBP sentiasa membuka pintu kerjasama dengan seluas-luasnya kepada golongan muda agar mereka sentiasa dekat dengan DBP.

“DBP giat mengadakan sesi sumbang saran, percambahan idea dan pendapat dalam kalangan karyawan DBP agar kaedah yang berunsurkan inovasi dan kreatif dapat dijayakan agar aspirasi generasi muda terhadap DBP dapat direalisasikan,” ujar beliau semasa diwawancara dalam slot tersebut. Menurut Datuk Abang Sallehuddin, berdasarkan maklumat serta data yang diperoleh daripada media sosial DBP, generasi pintar peranti ini berjaya diraikan oleh DBP melalui perkongsian pantun, peribahasa dan sebagainya.

Beliau turut memaklumkan, DBP sedang melaksanakan usaha bagi merekodkan serta menilai pantun-pantun oleh pengikut media sosial DBP agar dapat diterbitkan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang sentiasa memberikan sokongan kepada DBP khususnya melalui pantun yang dibalas itu. Beliau juga menyatakan bahawa generasi pintar peranti ini memberikan impak terbesar kepada DBP untuk bersedia dengan cabaran pada masa akan datang dan bersedia menerima perubahan agar DBP dapat mengekalkan hubungan erat sedia ada. Dengan cara tersebut, golongan muda akan dapat menjadikan DBP sebagai wadah untuk mengekspresikan rasa cinta akan bahasa kebangsaan.

“DBP memahami cita rasa golongan muda yang sentiasa mahu melihat DBP sentiasa “segar” dalam aspek penyampaian dan perkhidmatannya. DBP juga menyatakan kesediaan untuk terus menjadi rakan karib kepada generasi muda agar mereka sama-sama dapat menyokong usaha yang dilaksanakan oleh DBP untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan,” ujar Datuk Abang Sallehuddin lagi.

Dalam konteks ini, jelas beliau, DBP akan terus berusaha untuk memahami aspirasi anak muda khususnya dari segi penerbitan majalah, buku-buku dengan rekaan yang lebih menarik, penerbitan komik serta perubahan-perubahan lain yang pastinya akan memberikan semangat kepada mereka untuk lebih menghargai bahasa kebangsaan.

Pada akhir perkongsian, Ketua Pengarah DBP turut menitipkan pesanan agar generasi muda sentiasa mengekalkan amalan membaca. “DBP akan sentiasa memimpin generasi muda dengan pendekatan melalui media sosial yang mampu mewarnai penyampaian kempen bahasa kebangsaan dengan lebih berkesan dan beriltizam akan terus memberikan nafas baharu kepada pelbagai program dan aktiviti yang diraikan oleh golongan ini,” jelas beliau. Beliau juga berharap agar generasi muda terus kekal mendaulatkan bahasa kebangsaan dan pada masa yang sama turut mempelajari serta meraikan pelbagai bahasa agar dapat meraih lebih banyak ilmu pengetahuan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.