21 Januari 2022, 17:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA PERLIS – Duli Yang Teramat Mulia, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis menitahkan program pemerkasaan pelbagai bahasa wajar dilaksanakan di negara ini supaya peluang pekerjaan untuk graduan yang baru menamatkan pengajian  lebih cerah.

“Pelbagai usaha untuk meningkatkan kemahiran tambahan terutamanya kepada graduan mahupun lepasan sekolah untuk menyertai alam pekerjaan hendaklah sentiasa dibangunkan. Begitu juga dengan segala inisiatif dalam membantu memadankan kehendak majikan atau syarikat dengan kelayakan dan kemahiran graduan mahupun lepasan sekolah juga perlu sentiasa dilaksanakan,” demikian titah baginda Raja Muda Perlis. Menurut baginda, pada masa yang sama, mereka perlu didedahkan dengan kemahiran teknologi maklumat, latihan perwatakan diri, kepimpinan dan kebolehan dalam memikul amanah serta tanggungjawab.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih. Masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM700 dan mereka terdiri daripada kalangan anak kariah Masjid Terapung Al Hussain, Kuala Perlis. Sumbangan tersebut akan diagihkan menerusi amil kariah berkenaan, Tuan Usop Harun. Turut serta mengiringi baginda Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif  MAIPs.

Dalam majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menyampaikan titah supaya rakyat di negara ini meningkatkan kemahiran dalam bidang komunikasi.

“Selain bahasa Inggeris, bahasa Mandarin juga wajar dimanfaatkan kerana China telah mendominasi ekonomi dunia pada hari ini. Bahasa Thai juga dilihat penting kerana Perlis terletak bersebelahan dengan negara tersebut serta banyak peluang pekerjaan bakal diwujudkan apabila pintu sempadan negara dibuka kelak”, titah baginda. Tambah Raja Muda Perlis lagi, bahasa Tamil, Arab, Jepun, Sepanyol, Perancis, Russia dan lain-lain juga perlu diberikan perhatian sewajarnya sama ada secara lisan mahupun bertulis.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!