24 Januari 2022, 16:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam sidang media mengumumkan pengosongan tapak Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption, Daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, berikutan tapak sekolah telah dibeli oleh Syarikat Avenue Sdn. Bhd. daripada pihak ketiga pada 3 November lalu.

Sehubungan dengan itu, pihak syarikat mengarahkan KPM untuk mengosongkan bangunan dan tapak sekolah tersebut dalam kadar yang segera.

Menurut KPM, murid dan guru akan dipindahkan ke sekolah lain yang berhampiran berdasarkan ketetapan justifikasi yang dibuat.

“Pertama, trend enrolmen murid menurun dari setahun ke setahun dan sekolah tersebut kini beroperasi dengan enrolmen murid seramai 53 orang.

“Selain itu, lima buah sekolah berdekatan dapat menampung murid dari SK Assumption dengan jarak antara 0.35 kilometer hingga 5.8 kilometer, seperti SK Kuala Perai, Butterworth; SK Sungai Nyior; SK St Mark, Butterworth; SK Khir Johari, Perai; dan SK St Mark, Perai” kata KPM dalam kenyataan media tersebut.

Tambah KPM lagi, ketetapan itu dibuat untuk meningkatkan kecekapan penggunaan sumber melalui agihan semula 15 orang guru dan 2 orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) ke sekolah lain.

Walau bagaimanapun, KPM memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak sekolah sehingga tamat sesi Persekolahan Penggal 3, pada bulan Mac 2022 berikutan sesi persekolahan yang sedang berlangsung.

Malah, KPM turut membantu memudahkan cara urusan kemasukan murid ke sekolah baharu pilihan ibu bapa bagi kalendar Akademik Sesi 2022/2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.