25 Januari 2022, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – “Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan perbincangan bagi meluluskan usul meningkatkan kemudahan infrastruktur di semua institut pendidikan guru (IPG) di seluruh negara, khususnya di Sabah,” ujar Timbalan Menteri Pendidikan ll, YB Datuk Mohamad Alamin kepada media selepas mengadakan Lawatan Tindak Susul Parlimen Negeri Sabah di  Kampus Gaya, Kota Kinabalu.

“KPM akan berusaha untuk menambah pengambilan bilangan guru ke Sabah dan Sarawak.” – YB Datuk Mohamad Alamin

Beliau memulakan lawatan kerja selama seminggu di Sabah bermula pada 24 Januari 2022 yang meliputi IPG Kampus Kent, Tuaran; Sekolah Kebangsaan Rampaian, Kota Kinabalu; dan IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu.

Lawatan kerja ini merupakan inisiatif kerajaan bagi meningkatkan dan menambah baik pelbagai kemudahan di IPG di samping memantau kebajikan dan keperluan bakal guru sebagai pendidik anak bangsa. YB Datuk Mohamad Alamin turut berharap agar bakal pendidik dapat meningkatkan apresiasi secara sama rata dan tidak hanya berfokus kepada pelajar yang cemerlang sahaja.

YB Datuk Mohamad Alamin melawat bangunan pentadbiran baharu IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu.

Tambah beliau lagi, KPM akan berusaha untuk menambah pengambilan bilangan guru ke Sabah dan Sarawak secara sekali beri (one-off) bagi menampung masalah kekurangan guru pada ketika ini.

Dalam siri lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan bantuan kewangan dan peralatan kepada Sukarelawan Skuad Amal Keluarga Malaysia IPG-Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) serta melawat tapak bangunan pentadbiran baharu, Dewan Serba Guna dan Auditorium IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu.

YB Datuk Mohamad Alamin menyampaikan sumbangan kepada wakil Sukarelawan Skuad Aman Keluarga YGTHO. 

Dalam ucapannya, YB Datuk Mohamad Alamin turut mengingatkan guru agar sentiasa melaksanakan tugas hakiki sebagai pendidik, malah kebenaran yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada golongan guru untuk bergiat aktif dalam politik bukanlah tiket kepada mereka untuk sibuk berpolitik sehingga mengabaikan tugas hakiki mereka.

Saya berasa bimbang jika para guru lebih mengutamakan berpolitik berbanding dengan melaksanakan amanah tugas sebagai guru sehingga melanggar syarat yang ditetapkan oleh jabatan dan kementerian masing-masing. Walau bagaimanapun, hingga kini masih belum ada garis panduan yang dikeluarkan tetapi guru sudah sedia maklum mengenai syarat dan peraturan semasa yang perlu dipatuhi.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau membenarkan golongan pendidik untuk bergiat aktif dalam dunia politik dan saya berharap agar para guru yang terlibat akan terus komited dalam melaksanakan tugas hakiki yang telah diamanahkan,” jelasnya.

Seterusnya, lawatan kerja ini akan bersambung ke daerah Keningau, Tambunan dan  Ranau bagi meninjau sebarang permasalahan dan juga menyampaikan beberapa sumbangan kepada sekolah di daerah tersebut.

Sumber Foto: DBP Cawangan Sabah
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.