25 Januari 2022, 19:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan kunjungan hormat ke Arkib Negara Malaysia (ANM) pada pagi tadi bertempat di Pusat Pendokumentasian dan Pemeliharaan Audiovisual (PPAV).

Kunjungan DBP ini disambut baik oleh Tuan Haji Mohd Nasir Ismail, Pengarah Bahagian Pengembangan ANM bersama-sama pegawai ANM untuk mendapatkan pendedahan dan khidmat kepakaran dalam mengurus dan menjaga hak cipta karya, khususnya khazanah bersejarah.

Antara simpanan khazanah sejarah di Arkib Negara bagi kegunaan rujukan.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam setengah ini berkisar tentang tatacara pengurusan dan pengendalian rekod yang komprehensif untuk diadaptasikan dalam pentadbiran DBP.

Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat mengatakan hasrat DBP untuk menjadi sebuah pusat rujukan tanpa sempadan, sekali gus sentiasa memastikan karya-karya dan khazanah lama (seperti kertas dokumen, filem, mikrofilem, gambar, pita rakaman audio visual, manuskrip, buku dan artikel) terus terpelihara dan dilindungi hak ciptanya.

Elemen pendigitalan merupakan agenda utama negara pada masa ini, maka kita perlu bersiap siaga dengan ilmu dan kemahiran melalui persekitaran teknologi maklumat dan komunikasi.

Menerusi pertemuan ini, Tuan Haji Mohd Nasir Ismail berkata, pembangunan sistem pengurusan rekod secara digital ini sangat penting dalam usaha mengumpul bahan sebagai sumber rujukan dan warisan negara pada masa akan datang.

Tambah beliau, perkara ini wajar dilakukan oleh setiap badan atau agensi bagi memastikan hak cipta terpelihara, seterusnya memenuhi keperluan semasa dan jangka panjang selain menyokong perkembangan era dunia digital.

Seperti di ANM, usaha pemeliharaan, penjagaan, pembersihan dan pengurusan koleksi arkib sentiasa ditambah baik mutunya untuk memastikan nilai khazanah dalam keadaan yang baik, seterusnya mampu menjadikan wadah dalam pencarian maklumat yang berguna.

Penyerahan cenderamata sebagai simbolik hubungan kerjasama.
Sesi bergambar bersama-sama pegawai DBP dan ANM.

Kunjungan pertemuan ini turut dihadiri oleh Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Multimedia, Puan Naimah Yusof; Ketua Bahagian Pusat Dokumentasi Melayu, Nik Aman Nik Yusoff; dan Ketua Editor Bahagian Buku Umum, M Azahari Edin serta pegawai-pegawai DBP.

Mengulas lebih lanjut, hasil pertemuan ini diharapkan dapat diusahakan secara bersinergi antara DBP dengan ANM untuk meningkatkan kecekapan dan kesedaran pegawai selaku penjawat awam mengenai pengurusan rekod yang berkualiti, serta beroleh manfaat khususnya kepada warga pekerja yang mengaplikasikan pencarian data, dan masyarakat secara amnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.