Oleh Aisyah A.
26 Januari 2022, 18:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) melihat tindakan menghentikan sistem kuota khas pengambilan pekerja asing akan memberikan kesan kepada proses pemulihan ekonomi negara, terutamanya dalam sektor swasta.

Presiden MEF, Datuk Syed Hussain Syed Husman menyatakan bahawa ekonomi negara telah terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak tahun 2019 serta bencana banjir yang berlaku baru-baru ini.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kuota khas yang dikeluarkan dalam pengambilan pekerja asing di negara ini akan ditambah baik dengan beberapa kaedah baharu melalui syarat yang lebih ketat.

Hal ini demikian kerana jika pengambilan pekerja asing bersifat pengambilan bebas, pekerja asing akan masuk ke negara ini sewenang-wenangnya dan melanggar syarat, serta kriteria yang ditetapkan hingga menimbulkan masalah dari segi kebajikan, seperti tempat tinggal dan isu penggajian.

Namun begitu, Datuk Syed Hussain berpendapat bahawa kuota tersebut mesti berasaskan permintaan sektor dan syarikat. Beliau menekankan lagi isu ini apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melaporkan bahawa Malaysia pada daya pemulihan telah alami ketinggalan apabila pasaran Vietnam telah melepasi produktiviti negara dan telah menjadi ekonomi keempat terbesar di Asia Tenggara.

Selain itu, mengikut data IMF pada paparan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Malaysia ketika ini berada di posisi keenam dalam negara ASEAN.

Melihat pada situasi tersebut, Presiden MEF itu berkata, seharusnya sistem buruh ini tidak ditamatkan bagi memastikan ekonomi negara dapat diseimbangkan semula. Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) turut berpendapat bahawa Malaysia perlu bertindak pantas ke arah mewujudkan dasar pengambilan pekerja asing berdasarkan sistem yang menyokong keperluan berasaskan permintaan sektor dan syarikat bagi mempercepatkan pemulihan perniagaan dan ekonomi.

Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika menjawab isu ini berkata, majikan perlu memohon semula dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk menambah baki pekerja yang dipohon memandangkan prosedur pengambilan pekerja asing telah diperketat bagi mengelakkan kuota bebas seperti legasi sebelum ini.

Sebelum ini setiap majikan perlu berurusan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk urusan penggajian pekerja asing. Namun begitu, kini semua urusan tersebut boleh dibuat melalui KSM bagi memastikan keseragaman dasar dan penyelarasan prosedur penggajian pekerja asing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.