3 Februari 2022, 11:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Semua orang ingin dilahirkan dalam keluarga yang kaya untuk merasai kehidupan yang selesa. Namun begitu, tidak semua bernasib baik dan mempunyai “tuah” seperti itu. Hanya orang yang hidup dalam kemiskinan mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan kehidupan susah dan bagaimanakah terpaksa mengharungi hidup dalam kemiskinan?

Kemiskinan merupakan masalah sejagat yang merujuk keadaan seseorang individu atau ahli masyarakat gagal mendapatkan keperluan asas untuk makanan, pakaian dan tempat tinggal. Terdapat juga taksiran yang menyatakan kemiskinan bukan semata-mata diukur pada pendapatan yang rendah sahaja, namun kemiskinan merupakan satu keadaan kekurangan atau kegagalan berfungsi dengan berkesan dalam masyarakat.

Sebagai contoh, keluarga yang tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membeli keperluan makanan bagi seisi keluarga. Dalam hal ini, kemiskinan sukar untuk ditakrifkan kerana perkara ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan dimensi.

Jelas era pandemik dan bencana yang berlaku baru-baru ini memberikan kesan yang sangat mendalam kepada orang ramai, khususnya golongan yang kurang berkemampuan ataupun miskin. Maka demikian menjadi tanggungjawab bersama untuk mengambil berat dan berusaha membantu golongan yang kurang bernasib baik ini. Masyarakat tidak boleh memandang ringan terhadap isu ini, malah masyarakat harus mempunyai tanggungjawab sosial untuk bersama-sama membantu golongan yang memerlukannya.

Tanpa sebarang bantuan, keadaan sebegini akan mendorong mereka bersifat negatif, seperti mencuri atau merompak. Keadaan ini mungkin berakhir dengan kejadian yang tidak diingini atau kematian secara tidak sengaja. Seseorang yang ingin mencuri wang, dia mungkin tidak sengaja membunuh orang lain yang tidak bersalah semata-mata untuk mendapatkan apa yang diinginkan. Hal ini terbukti dilaporkan dalam artikel Labuan e-Journal of Muamalat and Society (LJMS). Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam sesebuah negara, kerana rakyat perlu hidup dalam persekitaran yang selamat.

Golongan yang hidup dalam kemiskinan juga mempunyai peluang untuk menjadi lebih baik dan berjaya, serta dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara jika diberikan peluang, terutamanya dalam bantuan pendidikan seperti biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Negeri dan sebagainya. Mereka tidak boleh diabaikan atau diketepikan sebagai aib atau tidak bernilai. Mereka juga dapat menyumbang kembali kepada masyarakat.

Maka itu, masyarakat akan rasa kurang rasa bersalah terhadap mereka yang kurang bernasib baik, dapat menjalin lebih banyak persahabatan dan perpaduan. Hal ini boleh merapatkan jurang antara golongan yang kaya dengan yang miskin. Keadaan ini juga dapat mengurangkan gangguan sosial yang bukan sahaja menjejaskan pendidikan dan kesihatan dalam kalangan golongan miskin, malah menjejaskan masyarakat dan negara.

Tanpa wang, manusia tidak akan mendapat pendidikan, apatah lagi mengekalkan kesihatan yang baik. Oleh itu, isu ini meletakkan negara dan penduduk dalam bahaya kerana penyakit dapat merebak dengan cepat. Dengan pendidikan, masyarakat memperoleh kemahiran, mencipta perkara baharu dan teknologi yang lebih baik. Kemiskinan juga menyebabkan orang ramai berpindah ke negara lain untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Kesan terhadap pendidikan adalah berbeza-beza bergantung kepada faktor ekonomi. Persekitaran ekonomi yang bagus memberikan kesan dan kebaikan kepada pendidikan dan dapat mengurangkan kemiskinan. Kebanyakan golongan miskin ini tidak mempunyai pendidikan yang sewajarnya. Sebahagian daripada mereka berjaya menamatkan sekolah menengah, tetapi bagi sesetengah mereka, pendidikan tidak begitu penting. Keadaan ini berpunca daripada kemiskinan, kurang minat terhadap pelajaran dan kurang pendedahan akan peri pentingnya pendidikan dalam kehidupan. Menurut sesetengah pihak, penting yang paling penting ialah wang kerana mereka boleh membeli barang untuk keperluan asas. Jika mereka boleh menyimpan sedikit wang untuk perkara lain, barulah mereka akan melanjutkan pelajaran.

Namun begitu, ada juga yang berminat untuk melanjutkan pelajaran. Yang malangnya, kemiskinan merantai mereka daripada mencapainya. Kemiskinan bukan sahaja menghalang daripada mendapat pendidikan yang baik, malah hidup dalam kemiskinan juga bermakna mereka tidak mempunyai akses kepada Internet. Hal ini antara kelemahan yang besar kerana dengan Internet, mereka dapat memperoleh lebih banyak maklumat dan faedah melalui Internet.

Dalam konteks ini, pendidikan dapat membantu golongan miskin keluar daripada kemiskinan. Setiap orang mempunyai peluang untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik sekiranya mereka mempunyai pendidikan yang bagus. Pendidikan adalah penting dalam mengurangkan kemiskinan. Pendidikan memainkan peranan dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Di kebanyakan tempat, taraf pendidikan di luar bandar jauh lebih rendah berbanding dengan di bandar. Hal ini disebabkan oleh golongan ibu bapa sendiri hanya mempunyai pendidikan asas.

Di kawasan luar bandar juga, kebanyakan ibu bapa mempunyai keluarga yang lebih besar. Mereka sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan supaya mereka dapat memperoleh sedikit wang untuk membeli makanan untuk menyara keluarga besar mereka kerana tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Sebagai contoh, dua anak pertama akan mengikut bapa ke dalam hutan berhampiran rumah untuk cuba mencari sesuatu yang boleh dijual di pasar seperti madu, cendawan, paku-pakis hutan, buluh, burung dan lain-lain. Anak ketiga dan keempat akan pergi ke anak sungai untuk menangkap ikan. Yang lebih muda pula akan membantu mencari ulam yang tumbuh liar di kawasan berdekatan rumah. Kebiasaannya, anak perempuan yang lebih tua tinggal di rumah, membantu kerja rumah dan menjaga adik-adik yang masih kecil. Anak yang lebih tua selalunya tidak berpeluang untuk bersekolah kerana ibu bapa tidak mampu menghantar kesemua anak mereka untuk mendapat pelajaran yang sewajarnya. Sebaliknya, mereka bekerja untuk menyara keluarga.

Sebahagian daripada mereka, biasanya tinggal di kawasan yang sangat jauh dan pendalaman, yakni tidak mempunyai akses kepada bekalan elektrik atau air. Ada yang tinggal berdekatan dengan pantai dan kebanyakan daripada mereka bekerja sebagai nelayan. Dalam situasi ini, bapa sebagai ketua keluarga akan ke laut dan ibu bekerja di industri kecil berhampiran serta menjual pelbagai jenis hasil laut seperti kerepek ikan, udang, ikan masin dan sotong kering. Dengan adanya pekerjaan ini, mereka mampu menjalani kehidupan yang lebih baik berbanding dengan keluarga yang tinggal di luar bandar.

Walau bagaimanapun, pekerjaan ini tidak memberikan pendapatan yang stabil untuk mereka hidup dengan baik kerana pada musim tengkujuh, nelayan tidak dapat turun ke laut kerana risikonya terlalu berbahaya. Mereka tidak boleh keluar menangkap ikan dalam ombak yang ganas dan laut bergelora. Situasi ini menyebabkan mereka tidak mempunyai sumber pendapatan selama beberapa bulan semasa musim tengkujuh.

Tinggal berhampiran pantai, iaitu kawasan berpasir, bermakna mereka tidak boleh menanam sayur-sayuran sebagai bekalan makanan disebabkan oleh tanah di kawasan tersebut tidak sesuai untuk bercucuk tanam. Perkara ini agak sukar bagi mereka untuk mendapatkan pekerjaan sementara menunggu musim monsun berhenti. Situasi ini yang menyebabkan mereka berada pada paras kemiskinan dan memerlukan bantuan. Mungkin keluarga ini boleh cuba menanam sayuran di dalam pasu sekitar kawasan rumah mereka untuk menampung keperluan asas.

Sesetengah keluarga jatuh miskin kerana ibu atau bapa mempunyai penyakit yang berpanjangan. Kemiskinan dan penyakit berpanjangan menyebabkan keluarga kehilangan pencari nafkah keluarga. Isu kesihatan juga menyebabkan kos penjagaan kesihatan yang lebih tinggi, tidak mempunyai pendapatan tetap, menjejaskan pendidikan kanak-kanak dan masalah emosi. Isu kesihatan yang berpanjangan menyebabkan golongan miskin menggunakan sebahagian besar daripada pendapatan mereka untuk tujuan perubatan dan ini meningkatkan beban mereka yang sedia berat. Dalam situasi begini, peranan pihak zakat dan baitulmal agak penting dalam memastikan pengagihan kewangan yang baik dalam menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Dengan adanya pandemik COVID-19, keadaan menjadi bertambah lebih parah. Lebih ramai keluarga kehilangan pekerjaan dan jatuh ke garis kemiskinan. Apabila COVID-19 melanda Malaysia pada tahun 2020, masyarakat tidak boleh keluar bekerja dan hilang pendapatan. Ramai yang terjejas teruk disebabkan oleh pandemik ini. Namun begitu, rakyat Malaysia nasibnya agak baik kerana terdapat begitu ramai orang di luar sana yang sudi membantu.

Terdapat banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu yang datang membantu golongan miskin dengan mengurangkan bebanan untuk membeli barang keperluan asas dan keperluan lain, malah banyak juga NGO dan individu membantu golongan terkesan ini. Mereka menawarkan bantuan dari segi pendidikan untuk memastikan anak-anak terus mendapat pendidikan yang sewajarnya, seterusnya selepas menamatkan pelajaran dan mendapat pekerjaan, mereka dapat membantu menyara keluarga dan juga menyumbang kembali kepada masyarakat.

Inisiatif ini dilihat dapat membantu golongan ini keluar daripada garis kemiskinan dan secara tidak langsung dapat membasmi kadar kemiskinan negara. Bantuan berbentuk sebegini sememangnya dapat meringankan beban keluarga yang memerlukan, lebih-lebih lagi dalam keadaan terdesak. Pada hakikatnya, bantuan daripada NGO atau badan kebajikan ini lebih mudah didapati dan lebih cepat tanpa melalui proses birokrasi.

Sebagai contoh, baru-baru ini di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang telah dilanda banjir. Terdapat pelbagai NGO dan orang perseorangan datang membantu mangsa banjir dengan cepat. Bantuan dari segi makanan, barang keperluan dan tenaga yang dihulurkan sangat pantas. Maka demikian, hal ini dilihat betapa pentingnya badan amal dalam membantu mengurangkan beban golongan yang terjejas, terutamanya golongan yang sudah sedia miskin yang kehilangan harta benda.

Tanpa badan sebegini yang datang membantu, tidak dapat dibayangkan bagaimana nasib mangsa banjir tersebut jika hanya mengharapkan bantuan dari agensi kerajaan.


Dr. Wan Afezah Wan Abdul Rahman, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.