Oleh Aisyah A.
4 Februari 2022, 13:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Trafik perlahan dari Ipoh ke hentian sebelah Simpang Pulai arah Selatan setakat pukul 2.53 petang.

Putrajaya – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membuat persediaan rapi bagi memastikan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan pulang yang selesa dan tidak mengalami kesesakan lalu lintas yang terlalu teruk.

Berikutan itu, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan dan panduan kepada orang ramai bagi merancang perjalanan yang lebih lancar.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, TTA dilaksanakan bagi menguruskan peningkatan trafik yang mendadak sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula 28 Januari sehingga 6 Februari 2022.

Selain itu, PLUS juga menyediakan pasukan PLUSRonda tambahan untuk membantu pengguna yang mungkin menghadapi masalah kerosakan kenderaan di lebuh raya. Pada masa yang sama, PLUS menjalinkan kerjasama dengan Polis Trafik (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di sepanjang lebuh raya selain menempatkan pasukan RELA untuk pengurusan trafik di plaza tol dan kawasan rehat.

Pengguna diingatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berhenti di hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah di sepanjang lebuh raya.

Berdasarkan cadangan TTA, pengguna lebuh raya yang bertolak dari utara dan selatan serta mereka yang bertolak jauh dari ibu negara disarankan agar mula memasuki lebuh raya sebelum pukul 9.00 pagi untuk mengelakkan kesesakan. Di samping itu, pelanggan perlu memastikan baki kad Touch ‘n Go atau Touch ‘n Go e-Wallet (untuk transaksi RFID) mencukupi.

Tambah beliau, pemandu boleh memanfaatkan aplikasi seperti Waze atau Google Map untuk merancang perjalanan yang lebih efisien.

Ketua Pegawai Operasi PLUS itu turut berpesan agar merancang perjalanan yang teliti dan penyelenggaraan kenderaan juga perlu diberikan keutamaan bagi meningkatkan keselamatan, selain daripada pemakaian tali pinggang keledar keselamatan di tempat duduk hadapan dan belakang serta kerusi keselamatan kanak-kanak.

PLUS juga telah menyediakan maklumat trafik melalui pelbagai saluran komunikasi PLUS sebagai rujukan kepada pemandu. Maklumat dan keadaan trafik di lebuh raya utama boleh diperoleh melalui platform media sosial PLUS seperti Twitter, Instagram, Facebook, LinkedIn, Youtube dan laman sesawang PLUS menerusi www.plus.com.my atau menggunakan Aplikasi PLUS untuk membantu anda merancang perjalanan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.