4 Februari 2022, 12:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Generasi hari ini tidak begitu ramai yang benar-benar belajar dan memahami sejarah. Sesetengah orang berpendapat bahawa mempelajari sejarah hanya membuatkan rakyat mengenang masa lampau yang begitu memilukan, malah menyalakan api kebencian kepada sesetengah pihak dan hal ini hanya cuma mengeruhkan keamanan dan perpaduan yang telah utuh terbina, apatah lagi dengan kesediaan generasi hari ini yang bersedia menghadapi cabaran globalisasi dan sentiasa berfikir dinamik mendepani bangsa lain di dunia yang lebih maju pencapaiannya, khususnya dalam bidang teknologi tertentu.

Setiap orang mempunyai sudut pandang berbeza apabila menyentuh isu sejarah dan kenegaraan.

Hal ini demikian kerana ada yang berpendapat bahawa kepantasan hidup era digital mendesak untuk melihat masa depan yang lebih jauh dan mesti bersedia bergerak lebih pantas sepantas teknologi yang berkembang pesat. Jepun antara contoh terbaik generasi kini yang meneliti pencapaian kemajuan berdasarkan kisah sejarah luka yang pernah terlakar dalam kanvas sejarah negara yang perlahan-lahan terpadam dengan kehebatan pencapaian masyarakatnya.

Dasar Pandang ke Timur (tahun 1982) dan Dasar Pandang Ke Timur 2.0 (tahun 2019) yang diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh, menjadi era penting memugar serta mendimensipositifkan budaya serta amalan berdaya saing orang Jepun yang bangkit daripada kemusnahan, selepas berlakunya peristiwa tragedi pengeboman bom atom di Nagasaki dan Hiroshima pada 6 Ogos 1945 semasa Perang Dunia Kedua.

(Sumber foto: FB Persatuan Bangsa Johor)

Peristiwa ini merupakan agenda “membunuh” Jepun sehingga menjadi debu oleh kehampaan Barat yang tidak berjaya memujuk Jepun berdamai di meja perundingan. Akhirnya, nuklear yang terhasil daripada sebutir bom itu berjaya meranapkan keangkuhan Jepun.

Menyedari rakyat yang tidak bersalah telah menjadi korban, akhirnya Jepun tunduk kepada takdir ini. Namun begitu, tidak bermakna Jepun akan selamanya tunduk. Mereka akan bangkit membuktikan bangsa Jepun tidak pernah tidur mahupun mati walaupun tanah air, bandar serta rakyat Jepun banyak terkorban semasa tragedi yang dikenang seluruh dunia itu.

Di mana-mana sahaja di seluruh dunia membincangkan atau berpolemik tentang kekejaman yang pernah berlaku akibat pendudukan tentera Jepun di satu-satu negara. Jarang-jarang kita dikongsikan tentang sisi positif pendudukan Jepun, sama ada berkaitan dengan orang Jepun yang tinggal bersama-sama masyarakat setempat, tentera Jepun dan sebagainya.

Perspektif yang berbeza tentang pendudukan Jepun daripada sejarah klise kekejaman mereka, ternyata membuka dimensi lebih luas kepada masyarakat umum tentang sejarah pendudukan Jepun di Johor, khususnya yang dikongsikan oleh Encik Mohd Zulfadli bin Md Maarof, Pengarah Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor baru-baru ini melalui webinar Warisan Johor Bahru yang bertajuk Johor Dalam Era Pentadbiran Jepun.

Webinar Warisan Johor Bahru.

Program webinar yang diadakan bersempena dengan Perisytiharan Majlis Bandaraya Johor Bahru yang ke-28 ini dianjurkan oleh Perpustakaan Sultan Ismail (PSI), Majlis Bandar Raya Johor Bahru (MBJB) dan Persatuan Lisan Sejarah Malaysia yang melibatkan enam orang panel sejak sesi pertama yang diadakan pada 27 Disember 2021.

Pengalaman hampir 20 tahun dalam bidang arkib dan rekod telah menemukan banyak pendokumentasian yang menarik dan jarang-jarang dikongsikan kepada umum. Menurut beliau, masyarakat Jepun terlebih dahulu telah membina hubungan dengan rakyat jelata Johor dan dengan pendekatan oleh masyarakat Jepun ini telah mewujudkan keyakinan bahawa Jepun akan membantu kemajuan Johor.

Dalam pembelajaran pendidikan sejarah, masyarakat hanya didedahkan tentang kemaraan tentera Jepun yang bermula dari Kota Bharu sehinggalah berjaya menguasai Tanah Melayu hingga ke Singapura. Apa yang menariknya Jepun di Johor telah bermula pada tahun 15 Januari 1942 apabila berjaya menguasai Muar terlebih dahulu.

Dalam rentetan sejarah Jepun menguasai Johor, pelbagai peristiwa penting yang diakibatkan oleh kesan kemaraan tentera Jepun ini, antaranya termasuklah sebelum tentera Jepun mara ke Johor Bahru, tentera Jepun terlebih dahulu tiba di jalan Gunung Pulai di daerah Pontian bersempadan daerah Johor Bahru dan Kulai. Selepas itu, tentera Jepun meletupkan Tambak Johor penghubung utama Singapura dan Johor Bahru. Terputusnya jalan perhubungan utama ini, menjadi episod bermulanya kejayaan Jepun meleraikan simbol erat kerjasama British dan Kerajaan Johor sebelum ini. Tambak yang mula dibina pada tahun 1909 dan mula dibuka pada tahun 1923 amat penting ketika pemerintahan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar yang menghubungkan Singapura dan Johor.

Johor Bahru kemudiannya telah dihujani ledakan meriam oleh tentera Jepun yang mereka halakan dari arah Keranji dan Woodlands, Singapura. Kejadian ini telah menyebabkan beratus-ratusan orang Cina di Johor Bahru terkorban dan sebelum serangan ini dilakukan, tentera Jepun telah meminta Dato’ Onn Jaafar dan semua orang Melayu dipindahkan ke satu kawasan yang lebih selamat di Johor Bahru. Menjelang Mac 1942, penguasaan tentera Jepun di Johor telah bertapak kukuh dan ketika ini Gabenor Jepun telah mula mentadbir Johor.

Penguasaan tentera Jepun di Johor telah bertapak kukuh dan Gabenor Jepun telah mula mentadbir Johor sejak Mac 1942.

Lebih menariknya tentang sejarah penguasaan Jepun di Johor ini ada pengaruhnya dengan persahabatan yang terjalin antara pentadbiran Kerajaan Johor dengan Maharaja Jepun. Kehadiran tentera Jepun tidak menjadi ancaman kepada Kerajaan Johor ketika itu walaupun Johor Military Forces menerima kesan akibat daripada pendudukan ini, yakni apabila dibubarkan oleh pihak bersekutu, semasa itu Jepun sudah pun menguasai utara negeri Johor. Hal ini sama sekali tidak menjejaskan Jepun untuk mentadbir Johor. Hal ini ada direkodkan oleh Mejar Mohd. Said Sulaiman dan disimpan rekodnya di Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor.

Di Johor, Gabenor Itami telah menjalankan pentadbirannya dengan sistematik, dengan hasrat menonjolkan Jepun mempunyai pentadbiran yang lebih tersusun dan Johor akan mendapat manfaatnya daripada pelaksanaan strategi pentadbiran ini. Dalam hierarki pentadbiran, gabenor merupakan ketua pentadbir.

Berdasarkan rekod, Zulfadli turut memaparkan carta pentadbiran Jepun di Johor dengan menyaksikan dua jabatan utama telah diwujudkan bagi memudahkan pentadbiran Jepun ketika itu. Jabatan pentadbiran awam diwujudkan bagi mengawal selia 37 lagi jabatan yang telah pun sedia ada yang diwujudkan di bawah pentadbiran Kerajaan Johor, selain itu menambahkan lagi keberkesanan pentadbiran kepada semua wilayah, diwujudkan pula sektor bandar dan luar bandar oleh pentadbiran Jepun ini.

Pasukan tentera merupakan jabatan yang amat penting dalam pentadbiran Jepun di Johor untuk memastikan misi mengawal dan memastikan seluruh rakyat mematuhi peraturan dan pentadbiran Jepun ketika itu. Di bawah pasukan tentera dibentuk divisyen yang akan memfokuskan matlamat agar seluruh kawasan pentadbiran akan dapat dipantau dan diselia dengan berkesan.

Berdasarkan penelitian, kaedah pentadbiran Jepun di Johor berbeza dengan pentadbiran mereka di Jepun. Di negara jajahan, mereka melaksanakan pentadbiran awam berserta dengan ketenteraan. Formulasi ini dilihat oleh pentadbiran Jepun sebagai pendekatan yang akan dapat mengurus tadbir Johor secara keseluruhan. Berdasarkan carta pentadbiran Jepun di Johor, urus tadbir Jepun memfokuskan pembinaan hubungan pemerintahan bertentera dapat diterima oleh rakyat Johor ketika itu.

Gabenor atau disebut chokan adalah ketua pentadbir dan kemudian di bawahnya terdapat tiga pentadbir utama yang membantu pentadbirannya, iaitu Sumucho (Ketua Jabatan Am), Sangyobucho (Ketua Jabatan Industri) dan Keimubucho (Pesuruhjaya Polis). Pentadbiran berstruktur ini dilanjutkan dengan pewujudan Somu Ka (Pejabat Pentadbiran Am), Sangyo Ka (Pejabat Industri) dan Keini Ka (Pejabat Polis).

Perihal keselamatan dan kesejahteraan masyarakat ketika itu juga menjadi fokus kepada pentadbiran Jepun di Johor, khususnya berkaitan dengan bekalan makanan. Melalui Sangyo Ka (Pejabat Industri), pentadbiran Jepun mewujudkan jabatan ini agar dapat meningkatkan bekalan makanan dan mentadbir pengagihan makanan kepada rakyat Johor. Melalui jabatan ini, pihak Jepun dapat mewujudkan kawalan produk pertanian. Selain itu, saliran dan pengairan untuk tujuan pertanian juga dipantau oleh Sangyo Ka agar menepati cara Jepun mengendalikan pertanian. Berdasarkan rekod, Sangyo Ka oleh Jepun ini telah mentadbir pertanian di Johor meliputi pembersihan kawasan untuk tanaman, berkembangnya ilmu veterinar, perikanan, perdagangan dan industri, wujudnya mata wang atau disebut duit Jepun dan pengagihan barang keperluan hidup kecuali makanan.

Pada era ini, Jepun memperkenalkan penanaman padi kering di sesetengah kawasan seperti di Endau kerana hasil yang lebih cepat dan mudah diuruskan berbanding dengan padi berair yang diperkenalkan oleh pertanian British. Melalui Syong Ka ini, Jepun hendak memastikan bekalan makanan kepada pasukan tenteranya dapat dibekalkan secukupnya berbanding dengan agihan kepada rakyat Johor itu sendiri.

Seperkara yang dapat dirujuk melalui rekod arkib ialah mengenai Jeikidan, iaitu organisasi masyarakat luar bandar yang diwujudkan oleh Keini Ka (Pejabat Polis). Jeikidan ini bertujuan untuk membantu pihak polis memaklumkan segera kejadian yang bertentangan dengan matlamat Jepun kepada kempetai. Masyarakat ketika itu melihat pihak yang terlibat dengan Jeikidan ini sebagai tali barut Jepun.

Stigma tali barut Jepun ini sebati dalam sejarah lisan masyarakat dan menganggap mereka ini sebagai pengkhianat bangsa.

Sekiranya tertangkap berdasarkan maklumat yang telah disampaikan oleh Jeikidan, mereka ini sudah pasti akan dihukum dan diseksa oleh tentera Jepun. Jeikidan ini diberikan kuasa untuk menangkap pihak yang dianggap sebagai penjenayah yang tidak berbahaya. Kebanyakan mereka yang direkrut sebagai mata Jepun ini berusia antara 16 hingga 45 tahun.

Selain itu, rekod arkib yang menyimpan tentang khazanah pentadbiran Jepun ini ialah mengenai Somu Ka, iaitu Pejabat Pentadbiran. Oleh sebab Kerajaan Johor mempunyai pentadbiran yang lengkap dan bersistematik, maka pentadbiran Jepun di Johor hanya perlu meneruskan segala perancangan dan jabatan yang telah sedia ada. Pihak Jepun hanya perlu menambah sistem yang sedia ada bersesuaian dengan pentadbiran ketenteraan yang mereka laksanakan kepada pentadbiran di Johor.

Melalui Somu Ka, Jepun dapat mentadbir hal ehwal organisasi dan rekod perkembangan rakyat Johor seperti yang diperlukan dan menepati pendekatan yang mereka laksanakan kepada pentadbiran mereka di Johor. Cap meterai pegawai dan pejabat juga digunakan dalam surat dan dokumen yang dikeluarkan dari pejabat ini. Sudah pasti melalui Somu Ka, pentadbiran dan pengawasan kepada pejabat lain di bawah kawalan Somu Ka dapat dilakukan. Melalui pentadbiran ini juga dasar untuk rakyat digubal dan dilaksanakan serta propaganda Jepun dapat disebarluaskan agar difahami oleh rakyat Johor. Dengan cara ini akan dapat memperkukuh pengaruh Jepun di Johor, seterusnya memudahkan Jepun memanfaatkan sumber ekonomi Johor yang telah kukuh sebelum itu.

Yang menariknya, pemantauan terhadap penggunaan kenderaan dan bahan api untuk urusan pentadbiran Jepun di Johor juga dilakukan oleh pentadbiran pejabat ini. Melalui pentadbirannya, Jepun mengutamakan kursus dan latihan kepada kakitangan agar mereka mempunyai kemahiran yang khusus berdasarkan keperluan pentadbiran Jepun di Johor.

Antara yang menjadi tumpuan kepada latihan dan kursus ialah mempelajari bahasa Jepun. Melalui jabatan ini juga hal-hal berkaitan masyarakat umum akan ditangani oleh mereka dan nazir pejabat kerajaan juga diwujudkan agar pelaksanaan pentadbiran dapat dilaksanakan secara terancang berdasarkan dasar Jepun di negara jajahannya.

Sejarah tentang pentadbiran Jepun dari sumber arkib ini amat menarik untuk dikaji dengan lebih mendalam. Hal ini demikian kerana melalui kajian yang komprehensif sudah pasti kita akan menemukan pendekatan yang lebih berkesan telah dilakukan oleh pentadbiran Jepun di Johor semasa itu. Pentadbiran Jepun ini seolah-olah mendapat restu daripada pentadbiran Kerajaan Johor ketika itu. Hal ini merupakan satu lagi persoalan yang mungkin akan terungkai bagi melihat kerjasama ini sama ada berbentuk desakan ataupun satu sinergi yang dicemburui oleh British.

Kesemua persoalan ini masih lagi tiada jawapannya, dan sudah pasti pendedahan ini mampu menyuntik satu aspirasi kepada generasi hari ini untuk memugar dan memahami peri pentingnya pengukuhan hubungan antara Jepun dengan Malaysia. Tidak mustahil sejarah yang pernah berlaku di Johor ini adalah satu percikan daripada misi dan visi negara matahari terbit itu yang tidak dapat direalisasikan sepenuhnya.


Encik Zulfadli Maarof, Pengarah Arkib Negara Malaysia Johor.

Untuk mendapat lebih lanjut mengenai perkongsian Pentadbiran Jepun di Johor ini, bolehlah mengikuti terus perkongsian ini melalui Facebook rasmi Majlis Bandar Raya Johor (MBJB), atau e-mel [email protected] atau hadir terus ke Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor di Tingkat 7, Blok A, Bangunan Wisma Persekutuan, Johor Bahru, Johor atau melalui talian 07-2282053.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.