Oleh Mubarak Ismail
7 Februari 2022, 22:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan bengkel Modul Majalah Dalam Kelas (MDK) pada pagi ini bertempat di Wisma DBP.

Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk membimbing dan melatih para karyawan DBP menggunakan majalah terbitan DBP sebagai medium pengajaran, pembelajaran dan pendidikan dalam kalangan pelajar dan guru.

Bengkel ini menampilkan seorang panel undangan, iaitu Cikgu Azizul Rahman Abdul Rahman, Pengasas program MDK dan Tokoh Guru Kebangsaan 2016. Program MDK telah berjaya dilaksanakan oleh Cikgu Azizul sejak tahun 1979 di seluruh negara dan Singapura.

Cikgu Azizul menerangkan aktiviti MDK kepada peserta.

Bengkel dimulakan oleh Cikgu Azizul  yang berkongsi tentang sejarah awal kewujudan dan pelaksanaan program MDK. Seterusnya, beliau menghuraikan kaedah melaksanakan program MDK bagi menarik minat pelajar dan guru agar mencintai dan mengutamakan penggunaan bahasa Melayu sama ada melalui penulisan atau pertuturan dalam kehidupan seharian.

Bengkel selama sehari ini mendedahkan peserta bengkel yang terdiri daripada editor dan penolong editor Bahagian Majalah dan wakil editor dari Bahagian Buku Sekolah dengan beberapa aktiviti yang dibahagikan kepada tiga aktiviti utama, antaranya termasuklah mencipta Ungkapan indah untuk penulisan; Menukarkan cerpen kepada komik;  Melagukan sajak; dan Menterjemahkan puisi kepada bentuk visual.

Puan Yusaida Yusof, melagukan sajak sebagai melengkapkan tugasan yang diberikan.

 

Encik Muhammad Mubarak Ismail, menukarkan cerpen kepada syair sebagai satu daripada aktiviti MDK.

Menurut Cikgu Azizul, matlamat utama pelaksanaan MDK adalah untuk memperkasakan  penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya pelajar. Selain itu, MDK juga amat bermanfaat untuk dijadikan sebagai panduan bagi melahirkan idea dan pendapat dalam pelbagai bentuk penulisan dengan menggunakan aspek kebahasaan, keindahan dan kehalusan bahasa secara kritis, kreatif dan dinamik.

Puan Norfaranieza Muhd Ariffin, mempersembahkan hasil aktiviti yang dilaksanakan.

Melalui program MDK, peserta berupaya mempamerkan tahap pengetahuan bahasa dan kecekapan berbahasa yang cemerlang dan konsisten; berupaya mengungkapkan idea dengan jelas, terperinci dan tersusun; menguasai kemahiran berfikir yang kritis, kreatif dan inovatif; berkomunikasi secara efektif dan penuh keyakinan di samping mengamalkan pembelajaran secara kendiri serta menjadi model teladan kepada pelajar yang lain dalam kemahiran bahasa,” ujar Cikgu Azizul.

Bengkel ini turut disertai oleh Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah dan beberapa orang editor serta penolong editor Bahagian Majalah secara dalam talian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.