14 Februari 2022, 14:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 menunjukkan penurunan peratusan golongan muda daripada 27.6 peratus pada tahun 2010 kepada 24.0 peratus pada tahun 2020.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 6.8 peratus berumur 65 tahun dan ke atas, 69.3 peratus ialah umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan bakinya 24.0 peratus dalam kalangan umur muda (0 hingga 14 tahun).

Tambah beliau, warga emas berumur 60 tahun ke atas direkodkan sebanyak 10.4 peratus (3.4 juta) berbanding dengan 8.0 peratus pada tahun 2010.

Penemuan utama bancian ini juga mendapati, daripada 32.4 juta yang dibanci, terdapat 52.3 peratus terdiri daripada lelaki, manakala 47.7 peratus ialah perempuan.

Hal ini menjadikan nisbah jantina adalah 110 bagi lelaki berbanding dengan 100 wanita.

Namun begitu, Putrajaya menunjukkan bilangan wanita melebihi lelaki hasil daripada bancian.

“Rentetan itu, hasil kajian mendapati bahawa 100 orang wanita bersamaan 96 orang lelaki,” katanya yang berucap merasmikan Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 di MSU (Management & Science University) hari ini.

Selain itu, bagi statistik mengikut etnik, penduduk Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 69.4 peratus, diikuti etnik Cina (23.2%), India (6.7%) dan lain-lain (0.7%).

Sementara itu, penduduk Malaysia yang berjumlah 32.4 juta mempunyai Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) sebanyak 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Menurut beliau lagi, kesemua penemuan Banci 2020 akan menjadi tanda aras baharu untuk kerajaan menggariskan polisi dan dasar yang berkaitan dengan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Malah, hal ini memberikan input yang menyeluruh dalam perlaksanaan dasar sedia ada, iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Agenda 2030 Pembangunan Mapan (SDGs).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.