14 Februari 2022, 21:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kepetahan Raifa Zulkifli (penyampai) berjaya mengimbangi dengan huraian daripada panel undangan, iaitu Profesor Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pakar Psikologi Bahasa dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia yang mengupas tajuk perbincangan “Komunikasi Bina Keyakinan Anak-anak Malaysia” pada hari ini melalui slot Temu Bual Bernama Radio.

Cetusan perbincangan ini bertitik tolak daripada usaha mewujudkan sistem penyampaian dan komunikasi yang dikatakan perlu dimantapkan dan dipermudahkan, serta disesuaikan dengan keperluan seluruh masyarakat, khususnya anak-anak muda Keluarga Malaysia.

Setelah diteliti oleh penyelidik dan pakar, bahawa konflik sosial yang berlaku dalam kalangan generasi muda ini adalah berpunca daripada faktor komunikasi yang lemah dalam institusi keluarga dan masyarakat.

Komunikasi positif amat penting dalam membina keyakinan diri seorang kanak-kanak atau remaja yang terlibat dalam permasalahan atau krisis hidup.

Menurut Dr. Jessica, komunikasi yang berkesan mempunyai kaitan dengan perbezaan mengikut situasi tertentu, khususnya faktor demografi, geografi, masyarakat luar bandar mahupun di kota besar. Komunikasi yang dijelaskan melalui kes-kes yang mendapat penelitian beliau ialah merujuk komunikasi lisan dan bertulis (media sosial). Hal ini perlulah disedari oleh setiap daripada kita tentang konteks komunikasi pada zaman era ini, khususnya terhadap anak-anak muda.

Sekiranya berlaku krisis identiti dalam sesebuah keluarga atau masyarakat, komunikasi menjadi elemen yang paling tidak dapat diperbaiki dan dipulihkan. Dalam konteks ini, Dr. Jessica berpendapat bahawa konflik atau krisis yang berlaku seharusnya mereka disantuni dengan rasa kasih sayang dan perhatian, malahan peranan ahli keluarga sangat penting dalam menyelesaikan permasalahan.

Jika ditelusuri dengan lebih mendalam, hal ini juga boleh berlaku sekiranya mempunyai komunikasi yang berimpak negatif yang dipengaruhi oleh persekitaran dan rakan sebaya. Ditambah lagi dengan tiadanya ruang komunikasi yang tercipta antara anak-anak dengan ibu bapa, keluarga dan masyarakat menyebabkan konflik dan krisis tersebut tidak dapat menemui jalan penyelesaian.

Tambah beliau, komunikasi positif antara ahli keluarga, masyarakat dan rakan-rakan amat penting dalam membina keyakinan diri seorang kanak-kanak atau remaja yang terlibat dalam permasalahan ini. Sekiranya wujud komunikasi positif, maka mereka dapat membina keyakinan diri, percaya terhadap kemampuan diri, dan mereka ini mampu untuk meluahkan pendapat, serta berupaya untuk menjadi orang yang berjaya.

Satu perkara yang perlu diambil perhatian ialah hindari daripada mereka berasa terpinggir dan terabai. Keprihatinan semua pihak amat perlu untuk mereka berhadapan dengan konflik atau krisis identiti yang dialami oleh mereka dan yang paling penting tindak balas persekitaran, termasuklah keluarga dan masyarakat akan mempengaruhi mereka dalam berinteraksi.

“Jangan mudah kita menghakimi atau menghukum kanak-kanak atau remaja yang terlibat dengan pelbagai konflik sosial, kita sebagai orang dewasa, khususnya ibu bapa haruslah sentiasa menggunakan pendekatan komunikasi dalam membina hubungan kita sebagai rakan baik kepada kanak-kanak dan remaja ini,” kata Dr. Jessica 

Keperibadian kanak-kanak Keluarga Malaysia ini menurutnya lagi akan terbina perilaku dan tutur katanya sejak kecil lagi. Oleh hal yang demikian, ibu bapa harus sedar daripada peringkat awal tentang perkembangan komunikasi kanak-kanak. Sekiranya timbul keraguan pada tutur katanya, bahasa tubuhnya, seperti gerak bibir dan akhirnya kepada tulisannya, sudah pasti ada sesuatu yang berlaku kepada mereka ini.

Dalam era kini, radio juga menjadi pempengaruh penting kepada cara komunikasi anak-anak, maka warga media seperti radio juga bersama-sama menjalankan tanggungjawab dengan menggunakan bahasa dan tutur kata yang baik dan berkesan ujarnya lagi. Begitu juga dengan media sosial, sebagai masyarakat yang prihatin dan cakna kepada anak-anak, kita mesti memantau dan membimbing mereka dengan efektif agar media sosial tersebut tidak disalahgunakan dengan tujuan yang tidak berfaedah.

Saranan yang boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan menangani isu ini dalam masyarakat ialah meluaskan lagi program bimbingan dan latihan kemahiran, serta kepakaran kepada anak-anak Keluarga Malaysia. Pematuhan aspek disiplin adalah kunci yang paling penting bagi melentur anak-anak dalam menjalani kehidupan mereka dengan lebih optimis dan berjaya.

Komunikasi kepada generasi hari ini khususnya kepada kanak-kanak dan remaja haruslah sentiasa seiring dengan trend kehidupan mereka. Pendidikan berkaitan komunikasi yang khusus ini juga sudah boleh mula diperkenalkan pada peringkat sekolah lagi.

Medium telekomunikasi merupakan satu daripada cara untuk kita menyampaikan pendidikan komunikasi. Ibu bapa, guru dan masyarakat perlu berganding bahu bersama-sama agar dapat mewujudkan komuniti yang akan bersama-sama membina keyakinan anak-anak Keluarga Malaysia.

Kita tidak lagi menggunakan bahasa rotan sebagai mendidik, tetapi mencari jalan komunikasi yang berkesan untuk melahirkan generasi yang berminda kelas pertama diikuti dengan budi bahasa dan adab sopan yang mulia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.