14 Februari 2022, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sambutan memperingati sejarah penciptaan radio sedunia turut disambut oleh Stesen Radio RTM.

Setiap tahun pada 13 Februari akan berlangsungnya hari memperingati sejarah penciptaan radio sedunia. Sambutan ini diilhamkan oleh Spanish Academy of Radio yang merupakan ahli Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), yang menyifatkan radio antara instrumen terpenting dalam transformasi sosial masyarakat dunia. Radio telah menjadi suatu keperluan dalam semua keadaan sama ada sebagai penyampai maklumat dan hebahan ataupun menyiarkan lagu-lagu, serta menyediakan pelbagai segmen menarik yang mampu memberikan pengetahuan dan juga dapat menyentuh nurani para pendengar.

Apakah itu radio?

Perkataan “radio” berdasarkan Pusat Rujukan Persuratan Melayu bermaksud pemancaran (penghantaran, pengiriman, siaran) bunyi dan lain-lain menerusi udara.

Merujuk istilah Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia atau MABBIM, terdapat lebih daripada 40 istilah berkenaan dengan radio yang meliputi pelbagai bidang seperti aeroangkasa, teknologi maklumat, perikanan, kejuruteraan, komunikasi massa, kejuruteraan kapal terbang dan ekonomi. Demikian pesatnya perkataan radio dalam kegunaan manusia seharian khususnya yang berkaitan dengan komunikasi.

Evolusi Penciptaan Radio

Guglielmo Marconi, orang pertama yang berjaya menghantar dan menerima isyarat radio pada tahun 1895. (Sumber foto: EFerrit)

Evolusi penciptaan radio bermula pada tahun 1895, apabila seorang jurutera elektrik bernama Guglielmo Marconi dari Itali, iaitu manusia yang pertama berjaya menghantar dan menerima isyarat radio. Kemudiannya, seorang ahli fizik Amerika yang bernama Reginald Fessenden berasal dari Kanada telah mencipta sejarah dengan membuat siaran radio pertama dan turut menyampaikan mesej suara pertama di dunia pada tahun 1906.

Semenjak itu, radio menjadi alat penting dalam sistem komunikasi manusia moden. Melalui alat ini, pelbagai maklumat dapat disalurkan dengan lebih cepat dan tepat berbanding dengan pelbagai kaedah penyampaian komunikasi tradisional sebelum itu yang menggunakan khidmat perwakilan untuk menghantar informasi seperti burung merpati, perisik dan sudah tentu kaedah ini mengambil tempoh yang lama untuk sampai ke lokasi berkenaan.

Oleh itu, penciptaan radio merupakan satu inisiatif rekayasa untuk memantapkan medium ini agar dapat digunakan dengan meluas.

Malaysia, tanah air tercinta ini juga tidak terlepas daripada menerima tempias perkembangan pesat tersebut. Sejarah radio di Malaysia bermula pada tahun 1921 apabila Al Birch, seorang jurutera elektrik kerajaan Johor telah membawa set radio pertama ke negara ini melalui gelombang 300 meter sebagai pemula siaran. Beliau telah menubuhkan Persatuan Wireless Johor, Persatuan Wireless Pulau Pinang dan Persatuan Wireless Malaysia di Kuala Lumpur.

Lanjutan daripada itu, pada tahun 1930, Sir Earl daripada Lembaga Pelabuhan Singapura melancarkan siaran gelombang pendek setiap dua minggu sekali sama ada pada hari Ahad atau Rabu. Kemudian, usaha tersebut diteruskan oleh Persatuan Wireless Malaysia yang melancarkan siarannya dari Bukit Petaling, Kuala Lumpur melalui gelombang 325 meter.

Perkembangan radio semakin giat diusahakan, antaranya Sir Shenton Thomas telah membuka Studio Perbadanan Penyiaran British dengan menggunakan pemancarnya di Caldecott Hill, Singapura pada 11 Mac 1937. Seterusnya, Perbadanan Penyiaran British Malaya diambil alih oleh Negeri-Negeri Selat dan menjadi sebahagian daripada Kementerian Penerangan British yang dikenali dengan nama Perbadanan Penyiaran Malaya.

Perkembangan Radio di Malaysia

Meskipun hidup dalam kebiasaan baharu, radio masih mendapat sambutan dengan capaiannya sebanyak 93.6 peratus jumlah pendengar.

Kesinambungan sejarah ini, jelas menunjukkan betapa pentingnya radio dalam memainkan peranannya sebagai penyebar maklumat kepada masyarakat, lebih-lebih lagi dalam menyalurkan informasi berkenaan dengan polisi atau dasar kerajaan kepada seluruh masyarakat agar dapat menerima maklumat dengan betul.

Berdasarkan penelitian, sehingga kini terdapat lebih daripada 50 buah stesen radio yang meliputi 31 buah stesen radio di bawah jenama urus tadbir Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) yang terdiri daripada radio bertaraf nasional, radio negeri dan juga radio daerah.

Sementara itu, sebanyak 28 stesen radio dari sektor swasta yang diuruskan oleh syarikat seperti Astro dan Media Prima Audio (MPA), ataupun radio daripada syarikat persendirian yang memberikan saingan dalam industri ini. Berdasarkan rekod pada tahun 2020, rangkaian keseluruhan radio Astro mencatatkan 331.2 juta pendengar digital, manakala bagi tahun 2021, rangkaian MPA telah mencatatkan sehingga 57 juta pendengar digital.

Dalam pasaran komunikasi era kini, radio juga melaksanakan fungsinya berdasarkan kuasa pengguna. Jika dahulu radio berfungsi sebagai alat komunikasi dalam menyalurkan mesej atau perkongsian tertentu berkaitan dengan aspirasi kerajaan atau pihak tertentu, tetapi kini radio telah berkembang sifat dan fungsinya dengan menjadi alat separa hiburan kepada para pendengarnya.

Menurut kajian yang dilaksanakan oleh Radio Audience Measurement (RAM) Survey Wave 2 pada tahun 2020, didapati bahawa radio masih relevan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 dengan mencapai 93.6 peratus jumlah pendengar yang berusia 10 tahun dan ke atas di Semenanjung Malaysia. Hal ini membuktikan bahawa radio masih menguasai perkembangan maklumat abad ke-21.

Radio dan Bahasa

Perkembangan ini juga turut memberikan impak yang besar kepada radio berbahasa Melayu dengan menonjolkan citra kehidupan kontemporari, berunsurkan komersial, gaya hidup sofistikated serta menampilkan citra jati diri dan warisan budaya bangsa. Tidak dinafikan, personaliti mahupun penyampai yang dipilih oleh stesen radio memberikan pengaruh yang cukup besar kepada pendengarnya dan sekali gus mempengaruhi kedudukan sesebuah radio berkenaan.

Walau bagaimanapun, di sebalik pencapaian hebat sesebuah radio, terdapat kebimbangan yang diutarakan daripada pelbagai pihak berkaitan dengan senario penyampai radio yang menyebabkan isu kerancuan atau campur aduk bahasa kebangsaan berleluasa.

Tidaklah tepat sekiranya ada stesen radio di negara ini yang menjadikan faktor untuk memenuhi selera pendengar sebagai alasan utama sehingga mengabaikan tanggungjawabnya untuk menyuburkan prinsip Rukun Negara yang telah dimuafakati bersama-sama dengan nilai dan aspirasinya. Prinsip kelima yang menekankan nilai “kesopanan dan kesusilaan” kelihatannya semakin longgar dalam realiti hidup masyarakat dan terdapat pihak yang beranggapan bahawa penyampai radio ialah penyumbang kepada berlakunya hal tersebut. Buktinya, Mstar secara dalam talian telah menyelar tindakan seorang penyampai radio yang bersikap kurang sopan kerana mentertawakan seorang guru yang sedang mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris kepada pendengar.

Tidak dinafikan bahawa perkembangan radio digital merupakan faktor penyebab kepada peningkatan capaian pendengar kerana dapat diakses dengan mudah dan tiada had sempadan. Terdapat suatu perkongsian daripada pendengar yang bermastautin di United Kingdom baru-baru ini, tentang maklum balas rakan-rakan berbangsa asing yang sedikit terkejut dengan cara penyampaian oleh penyampai radio yang menggunakan bahasa Inggeris dan mencampuradukkannya dengan bahasa Melayu secara kerap, sehingga menimbulkan pertanyaan, adakah menjadi kelaziman cara berbahasa rakyat Malaysia sedemikian?

Impaknya, perkara ini memberikan citra yang tidak tepat tentang Malaysia. Dalam satu perkongsian lain menerusi Slot Sembang KL terbitan KL FM, RTM oleh Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka, turut menyatakan bahawa seorang duta dari negara Perancis juga bernada yang sama apabila beliau sukar mendapatkan stesen radio di negara ini yang secara sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu.

Dalam hal ini, sudah pasti penyelesaiannya tertumpu kepada semua pihak khususnya warga sektor komunikasi untuk mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia, agar hasrat untuk melahirkan warganegara yang berketerampilan dalam berbahasa serta menepati prinsip kelima Rukun Negara dapat direalisasikan dengan jayanya.

Oleh itu, suatu harapan yang besar kepada seluruh stesen radio berbahasa Melayu agar memastikan penyampai radio yang dipilih memenuhi kriteria sebagai agen penting memperkukuh penggunaan bahasa Melayu. Suara dan celoteh penyampai radio ialah simbol kepada kecaknaan bahasa, manakala ucapan lisannya ialah lambang kepada pendekatan keperibadian penuh hikmah dan santun berbudaya oleh radio yang diwakilinya.

Semoga stesen radio terus menjadi model praktikal kesopanan dan kesusilaan yang dapat menstabilkan perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Selamat Menyambut Hari Radio Sedunia 2022. “Radio dan Keyakinan”!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.