15 Februari 2022, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Kita menang sama-sama, kita kalah pun sama-sama.

Kami mulakan ungkapan kata-kata daripada pemain nombor 10 yang hampir putus asa sebelum melangkah masuk padang Merdeka untuk separuh masa kedua dalam filem Ola Bola. Kobar nasionalisme cintakan negara dan yang paling penting perpaduan antara kaum saling hormat menghormati diolah begitu baik dalam filem ini.

Terima kasih Datuk Soh Chin Aun, James Wong, Hassan Sani, Bakri Ibni, Santokh Singh, Datuk Jamal Nasir dan mendiang R. Arumugam memperlihatkan bahawa kejayaan skuad Olimpik Moscow 1980 adalah hasil dari semangat sepasukan yang jitu hasil daripada setia kawan mereka yang utuh.

Sebelum filem ini dihasilkan, secara realiti, masyarakat sememangnya telah menjadikan sukan arena memupuk perpaduan dan sayangkan negara. Malah, debaran sebenar menantikan keputusan kalah atau menang pasukan atau ahli sukan yang mewakili negara, tidak dapat terungkap dengan kata-kata. Melalui filem ini penonton didedahkan tentang kesetiaan dalam perjuangan untuk negara melalui sukan, sifat kasih sayang dengan mengangkat nilai-nilai kekeluargaan, persahabatan dan juga perpaduan. Pengorbanan pemain-pemain negara untuk mengharumkan nama Malaysia dengan penuh komitmen merealisasikan impian harus kita fahami dan hayati.

Nilai kebersamaan sebagai sebuah Keluarga Malaysia dalam mengharungi cabaran pandemik ini amat penting dalam usaha ke arah kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia. Namun begitu, tanpa mengira jenis sukan yang menjadi pilihan sama ada bola sepak, badminton, olahraga, ragbi, tenis dan aktiviti sukan lain, mampu mengeratkan hubungan silaturahim. Sukan juga sebagai satu daripada kaedah memperkukuhkan pertahanan dalam diri setiap kita. Selain daripada aspek kesihatan, sukan menjadi alat meningkatkan semangat cintakan keamanan kerana daripada sukan jugalah kita memahami persaingan yang sihat.

Kajian menunjukkan kejayaan Malaysia menganjurkan acara Sukan Komanwel yang telah melibatkan 6000 orang atlet dan pegawai ini, serta pelibatan 2500 buah syarikat media cetak merekodkan sebanyak 500 juta penonton di seluruh dunia (Ku Muhammad Hussaini Ku Shabudin dan Jabil Mapjabil, 2010). Dalam menjayakan penganjuran sukan, negara bukan sahaja dapat menjana ekonomi, tetapi juga dapat meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Penyokong setia sukan bukan sahaja berpeluang menatap ahli sukan kegemaran mereka secara langsung di pentas arena sukan, malah dapat melihat melalui kaca televisyen. Tidak hairanlah sekiranya segmen sukan sentiasa sahaja mempunyai penonton yang tinggi jumlahnya, apatah lagi dalam suasana peminat sukan meraikan sukan dalam suasana pandemik. Sokongan padu kepada atlet negara tanpa mengira bangsa dan agama, mampu mengeratkan hubungan silaturahim dan yang paling penting tanpa kita sedari sukan menjadi agen nasionalisme yang paling kontemporari sifatnya.

Tidak hanya acara sukan di dalam negara, acara sukan di luar negara juga menyatukan keluarga Malaysia yang mempunyai sokongan kelab masing-masing yang akhirnya menjadi akrab dengan pertemuan di alam maya. Kejayaan ini juga dapat menempa nama Malaysia di persada antarabangsa, seterusnya memperkenalkan kepada masyarakat luar tentang keunikan Malaysia sebagai negara berbilang kaum. Malah yang paling dinamik bagaimana poster berelemenkan pantun, peribahasa dan simpulan bahasa berjaya dihubungkan oleh kreativiti Dewan Bahasa dan Pustaka bagi menarik perhatian peminat sukan negara.

Sukan dalam kalangan belia menjadi agenda penting nasional.

Pada peringkat institusi pengajian tinggi, khususnya universiti awam, sukan menjadi kokurikulum yang akan melahirkan graduan yang mempunyai pakej yang lengkap. Tahniah diucapkan kepada Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai tuan rumah majlis anugerah sukan untuk MASUM 2019.

Tahniah diucapkan kepada Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai tuan rumah majlis anugerah sukan untuk MASUM 2019.

Pada 10 Februari 2022 telah berlangsung dengan jayanya setelah tertangguh dua tahun Anugerah Sukan MASUM (ASM) yang merupakan anjuran MASUM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang berjaya mengetengahkan bakat-bakat sukan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi universiti awam dalam negara. Sumbangan atlet MASUM terus dihargai. Atlet yang melakar kecemerlangan sepanjang musim tahun 2019 diiktiraf dalam majlis Anugerah Sukan MASUM 2019 tersebut. YBhg. Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, merasmikan acara gemilang ini.

Menurut Dr. Shahrulfadly Rustam, Pengarah Akademi Kecergasan Pertahanan UPNM, Majlis Anugerah MASUM merupakan anugerah kepada atlet-atlet yang telah bertanding dan juga telah memasuki pertandingan sukan yang diadakan sepanjang tahun 2019.  Sokongan keluarga UPNM kepada atlet-atlet UPNM yang bertanding dalam acara sukan bagi mewakili UPNM, serta mengharumkan nama UPNM amat dihargai.

Diharapkan anugerah yang dimenangi oleh atlet ini dapat memberi semangat kepada atlet-atlet untuk meneruskan kecemerlangan di dalam sukan yang diwakili dan dalam pengajian. MASUM akan menghantar atlet terbaik bagi mewakili Malaysia dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Ubon Ratchatnahi, Thailand dan Sukan Universiti Antarabangsa di Chengdu, China.  

Harapan kami, melalui pembabitan dalam bidang sukan dan pertandingan dapat ditanamkan semangat Keluarga Malaysia dengan kerjasama secara berpasukan dan berjemaah. Nilai positif dalam kepemimpinan didedahkan melalui sukan kepada generasi muda yang perlu memiliki daya kekuatan hingga mampu menggerakkan orang lain serta mempunyai daya tahan fizikal dan mental.

Sukan menjadi kokurikulum yang akan melahirkan graduan berpakej lengkap.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.