16 Februari 2022, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Selamat Menyambut Hari Radio Sedunia pada 13 Februari 2022 dengan tema “Radio dan Keyakinan”.

Kami menghargai semua penggiat, pengurus, juruhebah dan warga kerja dari 70 stesen radio di Malaysia.

YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri menyatakan radio bukan sahaja gaya hidup, namun satu daripada keperluan seharian yang penting dalam kehidupan masa ini. Platform media itu dapat terus menyebarkan informasi terkini kerana fungsi radio terus relevan sampai bila-bila. Melalui radio, semangat pejuang dapat dipupuk dalam kalangan rakyat demi mempertahankan tanah air.

Kini, radio menjadi nadi aspirasi di kala pagi, peneman di kala tengah hari dan hiburan di kala petang, saat Keluarga Malaysia memandu pulang, radio juga menjadi rakan yang akrab di sisi,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Menurut YB Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia pada sesi temu bual di Bernama Radio pada 13 Februari yang lalu, menyatakan bahawa kreativiti sangat penting dengan kombinasi antara komunikasi dengan cara siaran. Pendekatan komunikasi suara yang digandingkan dengan teknologi bersertakan visual kini amat digemari oleh khalayak pengguna. Jika mempunyai gambar tanpa suara, maka penyampaian tidak akan sampai kepada pendengar secara menyeluruh.

Hal ini berbeza apabila ada suara tanpa gambar, penyampaian informasi tetap akan sampai walaupun ada keterbatasan. Kekal kreatif dengan pelbagai pengisian yang dihidangkan kepada pendengar, radio sebagai medium komunikasi yang sangat diperlukan dan relevan sampai bila-bila, kata beliau di Bernama Radio.

Selain daripada radio, media sosial merupakan kaedah yang paling digemari oleh pengguna untuk berinteraksi dalam kepesatan komunikasi sohor kini. Penggunaan media sosial pada dekad kini dilihat menjadi satu keperluan dalam kalangan anggota masyarakat, malah mereka yang tiada akaun media sosial pula dianggap “ketinggalan” dan tidak selari dengan perkembangan dunia semasa. Hal ini dikatakan demikian hampir semua maklumat mahupun aktiviti dan perkembangan dunia boleh didapati daripada mana-mana aplikasi dalam media sosial.

Media sosial menjadi antara kaedah yang paling digemari oleh pengguna untuk berinteraksi dalam kepesatan komunikasi sohor kini.

Menurut Laporan Digital 2021, setakat Januari tahun ini, pengguna aktif media sosial di Malaysia sahaja yang mencecah 28 juta, iaitu 86 peratus daripada populasi keseluruhan negara. Di sebalik angka tersebut, satu signifikan yang jelas dapat dirungkaikan, iaitu betapa pentingnya media sosial kepada setiap individu.

Namun begitu, adakah media sosial digunakan dengan baik dan berfaedah? Banyak lagi rentetan persoalan yang timbul apabila membicarakan mengenai media sosial. Kehadiran ratusan jenis aplikasi media sosial sudah menenggelamkan media tradisional di arus perdana dan kemudian memaksa mereka mengejar dengan pantas untuk menyesuaikan diri dan berasimilasi dengan ciri-ciri yang ditawarkan di media sosial. Anak-anak telah pun didedahkan semenjak kecil lagi dengan peralatan komunikasi, seperti telefon pintar dan seterusnya mengheret serta terkait kepada pelbagai permasalahan lain.

Akaun media sosial kini menjadi satu daripada bentuk harta intelek yang bernilai, maka tidak hairanlah pemilik akaun media sosial bersungguh-sungguh menaikkan jumlah pengikut mereka dengan menghasilkan pelbagai kandungan untuk dimuat naik dan dikongsikan di media sosial seperti Instagram, TikTok dan Facebook. Penjualan dan pembelian pengikut di aplikasi media sosial kini berlaku di mana-mana sahaja.

Seseorang itu dianggap berpengaruh dan mempunyai kelebihan dengan melihat jumlah pengikutnya di media sosial, seterusnya digelar sebagai pempengaruh atau dalam bahasa Inggerisnya influencer, sehingga menjadi ikon dan idola.

Meskipun seorang pempengaruh kian melonjak naik, sekiranya kandungan pengisiannya kurang bermanfaat, sudah pasti bahana baharu akan menunggu sehingga memberikan impak dan ikutan yang kurang baik kepada masyarakat. Satu bentuk perlumbaan di alam maya ini telah membawa kepada keghairahan sehingga ada dalam kalangan mereka hilang pertimbangan kemanusiaan dan moral demi menghasilkan kandungan yang dianggap “kreatif”, segera tular dan meraih populariti dengan cara pantas.

Adakah ini satu cabang kemajuan yang sihat kepada generasi muda?

Empat tonggak utama yang penting dalam media sosial, iaitu agama, politik, ekonomi dan sosial turut menerima tempias daripada gelombang media sosial yang semakin melebar kini. Magnet positif dan negatif akan bertindak sebagai penarik ke kancah liganya sekiranya saluran yang digunakan terpesong daripada fungsi dan tujuan asal media sosial diperlukan.

Maka demikian, penglibatan golongan agamawan dalam media sosial juga perlu aktif untuk menjadi wadah terbaik dalam berdakwah serta menyebarkan kebaikan kepada khalayak umum. Satu perkembangan yang cukup positif dan baik apabila banyak institusi dan rumah ibadat mula mewujudkan laman blog yang dapat menyalurkan maklumat dan membolehkan interaksi dua hala berlaku antara pihak pengurusan dengan anggota masyarakat.

Hari ini, jelas kita melihat ramai figura penting dalam setiap tonggak ini sudah mula berjinak-jinak dan bergiat aktif menggunakan media sosial bagi mendekati golongan sasaran mereka. Maklumat, aduan dan maklum balas dapat disampaikan terus tanpa perlu melalui karenah birokrasi yang memenatkan sekian lama.

Selain itu, politikus misalnya, begitu aktif menulis dan mencambahkan buah fikiran dan pendapat mereka dalam mengkritik ataupun menyalurkan pandangan dan cadangan membina, di samping tidak kurang mereka yang dilihat mencuba meraih sokongan dan pengaruh dalam kalangan masyarakat. Apabila dunia dilanda pandemik COVID-19 dan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yakni hampir semua rakyat “terkurung” di rumah dan sekali gus aplikasi media sosial menjadi medium terbaik untuk berkomunikasi dan berinteraksi sama ada dalam hubungan kekeluargaan mahupun berkaitan dengan kerjaya. Golongan pakar dalam bidang ini seharusnya terus memperkasakan penggunaan media sosial seiring dengan keperluan semasa.

Fungsi dan peranan media sosial tidak boleh disangkal dan diketepikan pada era Revolusi Perindustrian 4.0 ini kerana segala-galanya hanya di hujung jari. Terma fenomena Global Village yang diperkenalkan oleh Marshall McLuhan sememangya sebuah realiti yang jelas, terpulang kepada kita sebagai pengguna untuk memanfaatkan segala kemudahan dan kecanggihan teknologi ini ke arah memimpin sebuah Keluarga Malaysia yang bertamadun dan mengamalkan nilai, dan budaya yang sentiasa dijunjung seiring dengan ketinggian adab kita sebagai orang timur.


Ahmad Alif Amri bin Ahmad Kawazi

Pejabat Penolong Naib Canselor (Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw

Pakar Psikologi Bahasa dan Pengarah Hal Ehwal Korporat, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.