Oleh Hisyam Basabah
18 Februari 2022, 19:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Setiap manusia mempunyai maruah dan harga diri.

Hak asasi manusia membawa maksud kebebasan yang layak bagi setiap insan sebagai seorang manusia. Hak-hak tersebut menjamin maruah dan harga diri serta menggalakkan kebaikan insan. Hak asasi manusia berbentuk sejagat, tidak boleh dipisahkan dan saling bergantung antara satu sama lain.

Asas bagi setiap hak asasi manusia ialah kefahaman bahawa setiap manusia mempunyai maruah dan harga diri.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mendokumenkan hak asasi manusia yang patut dimiliki oleh setiap manusia dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) untuk memastikan maruah dan harga diri manusia dihormati dan dilindungi.

Hak asasi begitu sinonim dengan proses demokrasi kerana merupakan suatu perkara terpenting dalam sistem pemerintahan sedemikian. Negara demokrasi amat mementingkan hak dan kebebasan setiap manusia. Dalam aspek ketamadunan manusia, banyak undang-undang yang terbukti membela hak asasi manusia demi kemakmuran dan kestabilan sesebuah negara.

Zaman Pemerintahan Maharaja Justinian

Antara undang-undang awal yang membela hak asasi manusia ialah Undang-undang Justinian ketika zaman pemerintahan Maharaja Justinian di Rom. Antara prinsip perundangan Rom yang diamalkan termasuklah semua manusia adalah sama di sisi undang-undang, seseorang yang didakwa bersalah dianggap tidak bersalah sehingga terbukti dia bersalah, menghormati hak individu untuk mendapatkan perbicaraan yang adil serta hukuman yang dijatuhkan oleh hakim haruslah berdasarkan bukti yang cukup dan sahih.

Utamakan Hak Asasi atau Undang-undang?

Hak asasi ini kemudiannya berkembang selari dengan kemajuan masyarakat dunia seperti yang dilihat pada hari ini. Walau bagaimanapun, hak asasi ini dipergunakan dengan sewenang-wenangnya mengikut tafsiran sendiri bahawa tiada undang-undang yang boleh mengatasi hak asasi manusia. Perkara ini didapati meleset sama sekali dengan pemaknaan hak asasi manusia. Seseorang individu tidak boleh sama sekali melanggar hak asasi masyarakat, sebagai unit yang lebih besar daripada individu.

Ketidakpatuhan awam atau membangkang aspek sivil dianggap sebagai kaedah penentangan individu atau sekelompok individu kepada undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan atau pihak yang berautoriti. Sebagai sebuah kerajaan dan badan yang berautoriti dalam sesebuah negara, mereka bertanggungjawab sepenuhnya bagi mendaulatkan undang-undang dan keselamatan umum, berbanding dengan melindungi kepentingan hak segelintir individu semata-mata.

Tanggungjawab kolektif sesebuah negara itu perlu berdiri atas kedaulatan undang-undang sebagai set pengikat terhadap tindakan dan moral masyarakat di sesebuah negara dan telah terpateri kukuh sebagai satu daripada pasak Rukun Negara.

Ketidakpatuhan awam terhadap undang-undang dan usaha kerajaan menangani krisis merupakan suatu perkara yang tidak seharusnya berlaku di mana-mana negara sekalipun.

Hal ini akan menjadikan sesebuah krisis itu bertambah buruk sehingga boleh menyebabkan kemusnahan fatal bagi sesebuah negara. Sebagai sebuah negara demokrasi, Malaysia perlu berhati-hati dalam menangani ketidakpatuhan awam kerana sekiranya tersilap langkah maka akan mewujudkan gelombang penentangan massa yang mungkin menganggap kerajaan telah melanggar hak asas individu.

Benar, kerajaan mempunyai autoriti dalam menjalankan pentadbiran dan menguatkuasakan undang-undang, namun jika berlakunya pendekatan yang agak keras seperti mana-mana negara autoritarian hal tersebut disifatkan sebagai melanggar tradisi dan sosiobudaya masyarakat di negara ini.

Walau apa-apa juga hujah sekalipun, aspek undang-undang perlu sentiasa mengatasi hak individu dan mengutamakan hak masyarakat.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.