Oleh Rosmani Omar
26 Februari 2022, 13:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian “Projek Jiwa Murni Sempena Hari Tentera Darat Ke-88” peringkat Markas Briged Ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia yang diadakan di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis. Sambutan Hari Tentera Darat itu bertemakan “Sinergi Tentera Darat dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara”.

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa berkenan berangkat menyempurnakan perasmian “Projek Jiwa Murni Sempena Hari Tentera Darat Ke-88”.

Menurut titah Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, tema tersebut amat bertepatan dan signifikan dengan pelaksanaan “Projek Jiwa Murni” anjuran Briged Ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia yang dilaksanakan di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis baru-baru ini. Perkara ini juga menunjukkan warga tentera sentiasa peka dalam usaha melengkapkan keperluan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat. Titah Raja Muda Perlis lagi:

Dengan kerjasama daripada penduduk setempat, ini jelas menunjukkan bahawa hubungan antara masyarakat dengan warga tentera adalah baik, malah dapat diperkukuhkan lagi. Usaha yang ditunjukkan ini telah menjadi kesinambungan kepada ‘Projek Diraja Kampung Warna-warni Program Transformasi Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis’.

Tambah baginda, kerjasama antara agensi negeri, pihak korporat dan briged berslogankan “Teguh Perisai” itu akan memberikan banyak manfaat dalam jaringan strategik organisasi dan mobilisasi rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang diadakan. Tambahan pula, khidmat sokongan operasi dan pengurusan bencana oleh pelbagai pihak juga diperoleh dan secara tidak langsung, kualiti hidup rakyat dan penduduk setempat  akan dapat ditingkatkan.

Keberangkatan tiba Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah dalam majlis tersebut disambut oleh Panglima Briged berkenaan, Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu. Dalam majlis tersebut, para hadirin dipersembahkan dengan Tempur Tanpa Senjata.

Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama Briged Ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia dan tetamu undangan yang hadir.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan WTC Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Sri Dr. Hj. Irmohizam Ibrahim; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), YBhg. Raja Dato’ Azwane Raja Ariff; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi; dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Haji Mohd Salahuddin Mohamed.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.