Oleh Aisyah A.
4 Mac 2022, 12:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pada 3 Mac 2022, Majlis Pekerjaan Negara (NEC) telah mengadakan satu mesyuarat yang membincangkan program dan inisiatif untuk meningkatkan lagi peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia.

Berdasarkan data yang diperoleh, sebanyak 1200 pekerjaan baharu telah diwujudkan dan lebih 40 ribu telah mendapat pekerjaan dalam bulan Januari 2022. Hal ini bukan sahaja menunjukkan ekonomi negara semakin membaik selari dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial, malah membuktikan inisiatif negara dalam JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) membuahkan hasil dan terus membantu rakyat dengan pewujudan 600 ribu pekerjaan pada tahun ini.

Selain itu, NEC juga turut menyusun strategi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Antara cara yang dikenal pasti, termasuklah sistem kuota dan Multi-tier Levy (MTL) selain sokongan padu daripada majikan bagi memastikan impak kekurangan tenaga kerja pascapandemik dapat diimbangi dan dikurangkan.

Insiatif JaminKerja terdiri daripada 3 komponen; Insiatif Penggajian Jamin Kerja, Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran dan juga Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP) yang membabitkan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion. Bagi Insentif Penggajian JaminKerja, permohonan dibuka mulai 17 Januari 2022 sehingga 30 Jun 2022 dan boleh dibuat menerusi laman web Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan NEC telah menetapkan sasaran sejumlah 300 ribu penempatan.

Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan menyasarkan 220 ribu pelatih akan menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dan sebanyak 5000 kursus akan ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Bagi program MySTEP yang merupakan program pekerjaan jangka pendek secara kontrak di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan akan dilanjutkan pada tahun ini dengan 80 ribu peluang pekerjaan disasarkan. Setakat 15 Februari 2022, program MySTEP menerima 5944 permohonan dan daripada jumlah tersebut, seramai 452 peserta telah berjaya ditempatkan di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Oleh sebab kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia, iaitu 80.3 peratus, Kementerian Sumber Manusia telah merangka strategi untuk meningkatkan peluang pekerjaan bagi golongan tersebut. Kerajaan juga turut menekankan usaha pendedahan awal pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada pelajar tingkatan 1 untuk membantu pelajar membuat pilihan berdasarkan kecenderungan minat mereka.

Kerajaan yakin strategi NEC dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara, meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran. Selain itu, kerajaan memandang serius tentang isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang pekerjaan, perlindungan sosial bagi pekerja dan isu kebolehpasaran graduan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.