6 Mac 2022, 17:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini memaklumkan beberapa pendekatan dan ketetapan yang akan dilaksanakan bagi menangani isu beg berat murid, khususnya murid tahap 1 di sekolah rendah.

Hal ini demikian kerana isu berkaitan dengan beg berat murid merupakan isu yang telah berlarutan sekian lama. KPM telah menjalankan tiga kajian utama berkaitan dengan beg berat, iaitu Kajian Beban Buku Murid Sekolah Rendah (1994), Kajian Berat Beg Murid Sekolah Rendah (2008) dan Laporan Kajian Berat Beg Murid Sekolah Rendah (2017). Berdasarkan hasil kajian tersebut, KPM telah mengambil pelbagai tindakan bagi menangani isu berkenaan. Antaranya adalah dengan mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/2000: Penggunaan Buku Kerja di Sekolah Rendah dan Surat Siaran Panduan Menangani Isu Beg Berat Murid di Sekolah pada tahun 2018. Namun demikian, perkara tersebut masih belum dapat ditangani sepenuhnya dan sering menjadi keluhan masyarakat.

Sehubungan itu, KPM telah memperincikan secara mendalam perkara berkaitan dengan isu beg berat dan merangka satu penyelesaian yang holistik bagi menangani isu tersebut secara tuntas. Berdasarkan penelitian ke atas maklum balas yang diperoleh, isu beg berat adalah kritikal dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya murid tahap 1, iaitu tahun 1, tahun 2 dan tahun 3. Oleh yang demikian, ketetapan KPM yang akan dilaksanakan dengan segera adalah seperti yang berikut:

1. Penyediaan Lokar
KPM akan menyediakan lokar di sekolah rendah secara berfasa. Fasa 1 akan melibatkan penyediaan lokar untuk murid tahap 1, iaitu tahun 1, tahun 2 dan tahun 3 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi. Pelaksanaan ini akan melibatkan 10 662 kelas dengan 323 186 orang murid. Jumlah anggaran peruntukan tahun 2022 untuk pelaksanaan Fasa 1 adalah sebanyak RM37.3 juta.

Bagi Fasa 2 pula, penyediaan lokar akan diperluaskan kepada murid tahap 2, iaitu tahun 4, tahun 5 dan tahun 6 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi. Pelaksanaannya dijangka pada tahun 2023.

Bagi sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing.

2. Penyusunan Semula Jadual Waktu
Melaksanakan jadual waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari, mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai terutamanya aspek pemberatan mata pelajaran, ketersediaan guru dan sesi persekolahan.

Di samping itu, sekolah akan diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu sebagaimana yang sedang dilaksanakan oleh sebilangan sekolah bawah KPM.

3. Buku Latihan
Bilangan buku latihan hendaklah tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran pada satu-satu masa. Setiap buku latihan hendaklah tidak melebihi 80 muka surat.

4. Buku Aktiviti dan Buku Kerja
Murid hanya dibenarkan untuk menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh KPM manakala buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP).

5. Buku Teks Digital
Penerbitan baharu buku teks dalam format digital secara berterusan. Sehingga kini, sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa). Murid yang mempunyai peranti boleh mengakses buku teks digital melalui pelantar DELIMa.

6. Pendekatan PdP
Guru digalakkan menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid, iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (virtual lab) atau pembelajaran terbeza.

7. Kerjasama dengan JAKIM
Kerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) juga diadakan dari aspek penyelarasan uniform agar murid diberi kelonggaran untuk memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan KAFA.

Bagi memastikan setiap pendekatan dilaksanakan sebaik-baiknya bagi mencapai matlamat untuk mengurangkan isu beg berat, KPM akan memantau rapi pelaksanaan semua pendekatan yang ditetapkan oleh KPM. Pemantauan ini akan dilaksanakan oleh sebuah pasukan petugas yang akan melaporkan secara berkala pelaksanaan inisiatif untuk mengurangkan beban beg berat murid.

Selain itu, KPM juga akan terus meningkatkan kerjasama erat dengan ibu bapa atau penjaga bagi membantu menangani masalah beg berat murid, khususnya dalam memastikan murid membawa buku mengikut jadual yang ditetapkan. Di samping itu, sesi libat urus dengan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) akan turut ditingkatkan sebagai satu pendekatan untuk pemantauan berkaitan dengan isu ini.

KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.