9 Mac 2022, 11:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bertepatan dengan tema Hari Wanita, iaitu “Saksama Bersama” dipilih agar berupaya meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh Keluarga Malaysia terhadap kepentingan untuk mencapai kesaksamaan bersama, termasuklah golongan OKU. OKU ialah singkatan bagi Orang Kurang Upaya, dan istilah ini dikekalkan selaras dengan Akta Orang Kurang Upaya 2008. Isu yang kini hangat diperkatakan berkaitan dengan golongan OKU yang berjuang membela nasib mereka begitu menyentuh keprihatinan kami, apatah lagi seorang daripada kami mempunyai pengalaman  menyantuni dan menangani insan OKU ini.

Dalam dunia ini tiada manusia yang sempurna. Begitu juga dengan orang lain baik pasangan, anak, ahli keluarga atau sahabat. Menyayangi tanpa syarat bermakna kita menerima kekurangan diri sendiri dan orang lain. Setiap orang dikurniakan dengan kelebihan dan kekurangan tersendiri. Terdapat insan OKU yang dilahirkan dengan kecacatan yang mungkin telah berlaku sejak dalam kandungan, namun terdapat juga yang mengalami kecacatan akibat kemalangan, prosedur perubatan dan lain-lain. Kita perlu memahami takdir yang berlaku dan bersama-sama berganding bahu supaya dapat memulihkan keyakinan dan semangat OKU dengan melaksanakan sesuatu yang terbaik untuk mereka.

Qistina dalam kelas pembelajaran secara talian.

“Tabik hormat,” itulah permulaan percakapan kami dengan Nur Qistina Arissya Norzie Haslizam, yang berusia 16 tahun. Qistina merupakan remaja OKU sindrom kategori cerdik. Keizinan telah diberikan kepada kami untuk berkongsi kepetahan Qistina dengan kesantunan bahasa yang dituturkan mencuit hati sesiapa yang melihat dan mendengar cara berbahasa Qistina. Beliau mempunyai semangat jati diri, disiplin dan patriotisme serta beradab. Qistina, seorang OKU penghidap penyakit jantung berlubang dan paru-paru sejak lahir dan sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan kerana Qistina bergantung pada ubat setiap hari.

Menurut pakar perubatan yang menangani kes Qistina, gadis ini cukup istimewa kerana masih mampu bertahan sehingga ke saat ini. Doktor pakar tersebut menyatakan bahawa, Qistina dianugerahkan Tuhan  sebagai ujian kasih sayang  dan cara untuk kita menunjukkan perhatian serta sedaya-upaya membantu memulihkan penyakitnya jika diizinkan oleh-Nya. Menurut nenek Qistina yang juga menjaga dan merawatnya sejak bayi lagi, Qistina merupakan bayi yang mudah dijaga dan menjadi kesayangan semua.

Sifat semula jadi Qistina yang sentiasa optimis menyebabkan dia terpilih menjadi Ikon Pelajar Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia semasa kelas pertuturan untuk kajian pelajar perubatan.

Qistina menghidap penyakit jantung berlubang dan paru-paru. Qistina juga menggemari warna merah jambu. Warna ini baginya menonjolkan dirinya yang sentiasa segar, bertenaga dan cantik. Penetapan minda yang sihat pada setiap hari dan limpahan kasih sayang menjadi penawar kekuatan Qistina hingga ke hari ini. Demikianlah ciri-ciri dan sifat yang ada pada Qistina, walaupun diri dalam serba kekurangan, Qistina begitu berdisiplin, bertanggungjawab, rajin, sopan serta mempunyai tutur kata yang bersopan santun.

Menurut Datuk Seri Rina Mohd. Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, jumlah OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih rendah, iaitu 587 608 daripada anggaran 4.8 juta populasi orang kurang upaya (OKU) di negara ini. Jumlah ini masih kecil berbanding dengan anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu sekurang-kurangnya sebanyak 15 peratus populasi negara adalah dalam kalangan golongan OKU atau 4.8 juta populasi OKU di negara ini. Sudah tentu usaha lebih giat perlu dilaksanakan agar seluruh masyarakat turut membantu mengenal pasti mana-mana golongan yang dikategorikan sebagai OKU dan mereka perlu didaftarkan agar data ini kelak akan dapat menambah baik pelbagai kaedah, pendekatan dan sistem sedia ada kepada OKU.

Selain itu, anugerah khas turut diberikan bagi mengiktiraf OKU dan pelbagai pihak turut memberikan sokongan kepada pengiktirafan ini. Peluang pekerjaan juga perlu dibuka dengan lebih luas lagi kepada golongan OKU dan yang paling penting mereka perlu disediakan dengan ilmu dan latihan yang mencukupi agar mereka bersedia untuk memberikan sumbangan untuk kepentingan organisasi dan negara. Selain itu, Bahagian Pendidikan Khas yang dilaksanakan di negara ini juga perlu mengambil cakna akan keperluan bidang dan latihan yang memfokuskan kepada minat dan kecenderungan golongan OKU. Dengan cara ini mereka akan rasa dihargai dan lebih mudah untuk kita membangkitkan semangat mereka menempuh kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

Perancangan yang teliti dengan mengambil kira pandangan OKU dan merujuk pihak yang mempunyai kepakaran untuk pelaksanaannya kelak, sudah tentu akan merealisasikan hasrat Keluarga Malaysia untuk membina kesejahteraan golongan OKU. Hal ini bagi memastikan keperluan OKU dirancang dengan optimum, isu-isu yang telah berbangkit diselesaikan dengan sempurna dan benar-benar sampai kepada penerima manfaat seperti yang direncanakan.

Golongan OKU sememangnya mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Seperti Qistina yang begitu cermat dalam tutur bicaranya merupakan contoh golongan yang dilihat tidak sempurna, namun mempunyai kesantunan dalam tutur kata. Kepada Qistina, anda dan seluruh insan seperti anda perlu terus diberikan perhatian oleh masyarakat di negara ini. Akhir kalam, kita renungkan bersama, “Ubat yang baik ialah kekuatan emosi dan mental kerana ubat yang dibekalkan sekiranya diambil dengan jiwa kental akan sembuh dengan minda positif, namun jika diambil dengan mental yang kosong, ubat tersebut tidak akan berfungsi dengan baik”. Selamat Menyambut Hari Wanita.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.