15 Mac 2022, 17:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menurut laporan dari Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Malaysia menduduki tempat kedua di Asia bagi isu buli siber yang berlaku dalam kalangan remaja pada tahun 2021. Hal ini menunjukkan bahawa kes buli siber semakin mengundang masalah di negara ini. Penggunaan secara meluas platform media sosial telah mencetuskan lagi masalah buli siber dan tingkah laku toksik bukan sahaja dalam kalangan remaja, malah turut melibatkan golongan dewasa.

Hasil kajian mendapati bahawa tingkah laku sedemikian mungkin merupakan manifestasi kesedihan mereka sendiri akibat kehilangan tuntutan teras yang menjadi matlamat hidup mereka.Menurut teori alternatif William Glasser, matlamat ini termasuklah kelangsungan hidup, penerimaan untuk dicintai, disayangi, dan untuk menjadi sesuatu yang bernilai, bertenaga, berdikari, dan disukai. Hal ini juga selari dengan teori keperluan Maslow yang menggalakkan permintaan teras yang serupa.Teori alternatif matlamat yang dibangunkan oleh penganalisis buli siber Amerika, William Glasser itu mencadangkan bahawa semua individu mempunyai lima kehendak asas yang mempengaruhi pilihan tingkah laku mereka dalam kehidupan.

Apabila satu atau lebih daripada kehendak asas mereka tidak dipenuhi, mereka mungkin menjadikan buli siber sebagai teknik untuk memenuhi keperluan matlamat tersebut sehingga kes buli siber bukan sahaja dipromosikan oleh anak muda, malah turut berlaku dalam kalangan orang dewasa.

Pelbagai siri webinar telah dibentangkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menangani kebimbangan yang mempengaruhi masalah buli siber, terutamanya dalam kalangan remaja bawah umur. Antara isi kandungan webinar tersebut menekankan bahawa pelaku buli siber mengalami kadar kesunyian yang lebih tinggi. Hal ini disebabkan oleh kurangnya kasih sayang daripada ahli keluarga dan dipengaruhi oleh budaya sekeliling. Mereka melakukan percubaan untuk mencari perhatian daripada orang yang tidak dikenali terutamanya dalam kalangan pengguna Internet, seperti yang dilaporkan dalam statistik UNICEF.

Siri webinar yang kerap dijalankan oleh NGO juga membentangkan isu yang sama, iaitu mereka datang daripada keluarga yang bermasalah, selain penerimaan rakan sebaya dan mahukan populariti menyebabkan mereka bertindak “mengambil bahagian” dalam isu buli siber.  Kajian telah mendedahkan bahawa pembuli siber lazimnya merupakan individu yang tidak cekap dari segi sosial. Perkongsian webinar berkenaan buli siber itu turut mengetengahkan pengalaman kaunselor yang menangani pelbagai jenis kes buli siber dalam kalangan remaja daripada usia seawal 15 tahun serta cara melibatkan diri dengan sokongan lencana untuk menghentikan gangguan itu daripada terus merebak.

Seorang pengasas program belia di Selangor dan bahagian lain di Lembah Klang, berkata bahawa dia terpaksa menyamar sebagai pembuli siber remaja bagi mencari jalan untuk membantu remaja lain keluar daripada menjadi seorang pembuli siber. Acara webinar yang diadakan secara maya kini turut dihadiri oleh sukarelawan belia untuk menyebarkan kesedaran sebagai langkah pencegahan masalah buli siber. Sukarelawan yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar kolej dan universiti ini telah memulakan kempen, iaitu dipanggil Nethics yang bertujuan untuk mempromosikan kemudahan media yang sesuai bagi mengelakkan penyalahgunaan Internet. Kempen ini diharapkan dapat memberikan peluang kepada remaja untuk menangani kebimbangan buli siber dan mempelajari etika penggunaan Internet yang betul.

Kempen Nethics juga menyaksikan pelajar menganjurkan WorkSpace, iaitu sebuah forum yang dihoskan pada setiap Januari bagi menekankan keperluan dan kepentingan untuk memupuk penjenamaan maklumat peribadi dan menambah baik identiti dalam talian dengan menggunakan pentas media yang mesra. Menerusi inisiatif tersebut, pakar-pakar kaunselor dan sukarelawan yang berusaha untuk membantu kes buli siber dalam kalangan remaja mengharapkan Malaysia tidak lagi dikategorikan sebagai negara kedua tertinggi di Asia.

Memandangkan kelakuan buli siber dalam kalangan remaja ini disifatkan sebagai sesuatu yang relatif baharu berbanding dengan kes buli di sekolah dan kolej, diharapkan kerajaan dapat menyediakan langkah pencegahan awal sebagai persediaan untuk penyelesaian tuntas pada masa akan datang.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.