Oleh Mubarak Ismail
21 Mac 2022, 22:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Panglima 6 Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Akib Haji Yusof merafak sembah kepada Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Balai Menghadap Biru Istana Arau tengah hari tadi.

Sewaktu berkhidmat dalam Kor Peninjau DiRaja yang kini dikenali sebagai Kor Armor DiRaja pada era 1960-an, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam ilmu ketenteraan pernah menempuhi pelbagai pengalaman yang mencabar sebagai seorang pegawai tentera. Antaranya termasuklah menghadapi ancaman pengganas komunis, konfrantasi dengan Indonesia dan juga Peristiwa 13 Mei 1969.

Turut mengiringi baginda dalam majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat. Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.

Brigedier Jeneral Mohd Akib Haji Yusof merupakan lulusan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT), Course 27/98 di HEIGATE, Kuala Lumpur pada tahun 1998 dan lulusan Joint War College, Ecole de Guerre, France pengambilan ke-25 pada sesi 2017/2018. Pada peringkat pengajian tinggi pula, beliau ialah pemegang Diploma Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya.

Manakala pada peringkat Antarabangsa, beliau pernah bertugas dalam misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu bersama MALBATT I (19 RAMD Mekanize), MALBATT || (7 RRD Makenize) dan MALBATT III (7 RAMD) dalam misi United Nations Operations in Somalia (UNOSOM II) bermula Jun 1993 hingga awal tahun 1995. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai United Nations Military Observer (UNMO) dalam misi United Nations Military Operation in Liberia (UNMIL) sejak Januari 2013 hingga Januari 2014.

Buku Memoir Tentera Darat Malaysia di Somalia yang telah diterbitkan oleh Markas Tentera Darat pada Disember 2002 merupakan hasil karangan Brigedier Jeneral Mohd Akib Haji Yusof.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.