Oleh Normasiska Noor
22 Mac 2022, 12:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apakah rasanya digelar penjenayah ketika usia masih muda? Apakah ada rasa kesal dalam diri mereka? Tahukah betapa besarnya implikasi yang bakal ditanggung sepanjang hidup mereka? Bagaimanakah pula dengan nasib dan masa hadapan mereka?

Umum mengetahui bahawa negara kita pernah dikejutkan dengan pelbagai jenayah yang dilakukan oleh golongan remaja. Antaranya termasuklah tindakan seorang remaja berusia 18 tahun yang mencampak bayi yang baru dilahirkannya dari sebuah pangsapuri; tiga orang remaja disyaki dengan dakwaan cubaan membunuh seorang pegawai sukan di Terengganu; kes seorang remaja berusia 16 tahun yang bertindak merompak sebuah kedai; kes rogol melibatkan remaja bawah umur yang semakin meningkat di Kelantan; peningkatan kes gaduh, rogol, dan curi di Johor; kes buang bayi dengan purata 10 kes dicatatkan berlaku dalam tempoh sebulan, dan yang terkini seorang remaja disyaki membunuh dengan menikam bayinya sendiri selepas melahirkan bayi berkenaan.

Tidak terkecuali, kes jenayah dalam kalangan remaja yang berlaku di luar negara apabila kita turut dikejutkan dengan jenayah berat yang dilakukan oleh mereka. Ada juga dalam kalangan mereka yang secara terbuka mengakui bahawa tiada penyesalan terhadap jenayah yang dilakukan. Misalnya, di India, pada tahun lalu seorang remaja lelaki bersama-sama ibunya ditahan pihak berkuasa selepas memenggal kepada kakak kandungnya. Di Rusia, seorang remaja berusia 17 tahun dibunuh rakan sekelasnya disebabkan mangsa dikatakan “terlalu cantik”. Di Indonesia pula, seorang remaja membunuh rakannya selepas kalah bermain futsal.

Meskipun kes jenayah melibatkan remaja di negara ini tidak sekejam berbanding dengan jenayah yang dilakukan oleh remaja di luar negara, namun hal itu tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang melegakan. Sebaliknya, sebelum nasi menjadi bubur, usaha perlu dilakukan untuk mengenal pasti punca dan cara penyelesaiannya agar peningkatan kes jenayah dalam kalangan remaja dapat dikurangkan.

Perbuatan jenayah akan memberikan kesan yang berpanjangan terhadap individu yang melakukannya.

Peningkatan kes dalam kalangan remaja ini sesungguhnya amat membimbangkan. Hal ini dikatakan demikian kerana perbuatan jenayah dalam kalangan remaja sudah pastinya memberikan implikasi yang besar terhadap negara. Meskipun ada yang melihat jenayah mereka sebagai “amukkan darah muda” atau respons langsung masyarakat yang menyatakan bahawa mereka budak-budak lagi, mereka tidak tahu apa-apa, maka mereka tidak boleh dipersalahkan 100 peratus, namun apa-apa pun alasannya, jenayah tetap jenayah walau siapa pun yang melakukannya.

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat lebih 10 kesalahan yang direkodkan berhubung dengan pelibatan dan tangkapan juvana dalam jenayah indeks Malaysia bagi tahun 2016 hingga 2020. Kesalahan tersebut termasuklah curi motosikal, kes curi, rogol, samun berkawan tanpa bersenjata api, mencederakan, curi motosikal, samun tanpa senjata api, bunuh, curi ragut, curi van/lori/jentera berat, dan samun berkawan bersenjata api.

Menurut PDRM, trend dan statistik jenayah melibatkan kanak-kanak dan remaja sama ada mereka menjadi mangsa atau pelaku jenayah di negeri ini agak membimbangkan. Ketua Polis Johor (ketika itu), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan bahawa antara kesalahan jenayah yang tertinggi membabitkan pelajar adalah berkaitan dengan kes curi, mencederakan orang, pecah rumah, rogol dan samun. Beliau berkata, biarpun statistik menunjukkan tangkapan yang melibatkan pelajar sekolah dalam indeks jenayah menurun, namun jumlah itu masih membimbangkan.

“Sebanyak 95 peratus pelaku jenayah dalam kalangan pelajar ialah lelaki, manakala selebihnya melibatkan pelajar perempuan. Bagi kes jenayah yang dilaporkan, sebanyak 58 peratus mangsa ialah pelajar perempuan, manakala sebanyak 42 peratus ialah pelajar lelaki. Hampir 99 peratus pelaku jenayah dan mangsa merupakan pelajar sekolah menengah yang berusia lingkungan umur 13 hingga 18 tahun,” katanya.

Berdasarkan statistik tersebut, didapati jumlah kes juvana di negara ini untuk tempoh empat tahun (2016 – 2020) menyaksikan penurunan yang amat ketara, iaitu daripada 7825 kes pada tahun 2016, meningkat kepada 8118 kes (2017), kemudian menurun dengan ketara, iaitu sebanyak 6713 kes (2018), 5669 kes (2019), dan 1839 kes (2020).

Daripada jumlah itu, pelibatan dan tangkapan juvana dalam jenayah indeks Malaysia menyaksikan etnik Melayu mencatatkan jumlah yang tertinggi, iaitu sebanyak 21 735 orang, Cina (1757 orang), India (4602 orang), etnik Sabah dan Sarawak (2708 orang), orang asli (137 orang, Sikh (18) dan lain-lain bangsa (324 orang).

Banyak punca yang dikaitkan dengan keterlibatan remaja dalam jenayah, antaranya termasuklah faktor rakan, terpengaruh dengan media sosial, desakan hidup, kurang didikan agama, persekitaran keluarga, dan sikap ingin menguasai yang menebal dalam diri remaja tersebut. Menurut Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, usaha menangani peningkatan kes dalam kalangan remaja perlu dilakukan dengan pelibatan lebih ramai remaja dalam kelab antijenayah dalam usaha memberikan pendedahan kepada golongan itu tentang keburukan melakukan jenayah di samping menggalakkan mereka untuk melakukan kebaikan.

Tambahnya, kempen kesedaran terhadap kes jenayah juga harus didedahkan pada peringkat awal usia bagi mengelakkan remaja daripada terjerumus dalam perbuatan jenayah seperti penyalahgunaan dadah.

“Dengan kes penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa, ibu bapa harus memainkan peranan sepenuhnya dengan perlu bijak dalam mendidik anak-anak mereka agar tidak terjerumus dalam kebejatan sosial seperti penyalahgunaan dadah,” ujarnya. Tambahnya lagi, ibu bapa juga perlu memberikan pendidikan agama sejak kecil supaya anak menyedari setiap perkara yang dilakukan sama ada betul ataupun salah. Dalam hal ini, ibu bapa dan ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam menjaga sahsiah anak dan wajib mengetahui rakan dalam kehidupan anak mereka melalui media sosial mereka.

Menerusi media sosial, ibu bapa boleh menjadi sebahagian daripada senarai rakan anak mereka. Ibu bapa juga berperanan penting dalam memantau pergerakan anak mereka. Ke mana mereka pergi, pukul berapa mereka keluar dari rumah dan pukul berapa mereka wajib pulang ke rumah. Jangan sesekali memberikan kebebasan 100 peratus kepada anak untuk menentukan apa-apa yang hendak mereka lakukan.

Pada Disember lalu, Instagram mengumumkan bahawa laman sosial itu akan melancarkan ciri keselamatan baharu bermula Mac 2022. Dalam pengumuman tersebut, Instagram akan menyediakan ciri khusus untuk ibu bapa mengawal akaun anak mereka dengan cara mereka dibenarkan melihat jumlah masa yang diluangkan oleh anak mereka di Instagram; ibu bapa boleh menetapkan had masa penggunaan dan menerima pemberitahuan jika mereka ada melaporkan tentang pengguna lain; dan ibu bapa juga mempunyai kuasa untuk menetapkan masa penggunaan aplikasi itu, iaitu sama ada selama tiga jam, dua jam, satu jam, 45 minit atau 30 minit.

Selain itu, Instagram juga sedang membangunkan hab pendidikan untuk ibu bapa dan penjaga. Sudah tiba masanya semua pihak harus berganding bahu untuk melindungi golongan remaja daripada sebarang unsur yang bakal mendedahkan mereka kepada jenayah. Langkah yang diambil mungkin nampak mudah, tetapi impaknya pasti ada – menyelamatkan mereka daripada jenayah yang tidak mengenal usia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.