Oleh Hisyam Basabah
22 Mac 2022, 16:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Peranan seniman penting dalam mengembalikan perkara asas seni dan budaya bagi memperkasakan moral dan memanusiakan manusia.

Seni budaya merupakan satu daripada cabang kepada penggalakan keutuhan sesebuah negara, namun hal ini sering kali dianggap sebagai suatu yang remeh kerana kebanyakan masyarakat berpendapat bahawa bidang ini tidak membawa kepada kemajuan dan pembangunan material negara. Walau bagaimanapun, tanggapan sebegini perlu dihentikan secepat yang mungkin agar kesemua aktiviti atau program seni dan budaya, pembangunan dan kemajuan material dapat dilaksanakan dengan skala yang besar serta penuh rasa tanggungjawab.

Penulisan naskhah sastera, penggubahan lagu dan pembikinan filem atau drama perlu dilaksanakan berlandaskan nilai moral kerana setiap individu yang berada dalam bidang seni dan budaya ini adalah seniman. Maka itu, amat wajar bagi seseorang seniman itu kembali kepada asas seni dan budaya seperti memperkasakan moral dan memanusiakan manusia dalam karya-karya mereka.

Lambakan karya picisan hanya akan menjatuhkan kredibiliti nilai seni itu sendiri, sedangkan seni adalah asas kepada pembinaan jati diri yang ampuh.

Secara umumnya, masyarakat mudah terpengaruh dengan karya-karya yang dihamparkan kepada mereka dan akan menjadikan sesebuah karya itu sebagai rujukan dalam menjalani kehidupan seharian. Tambahan pula, terdapat segelintir penggiat seni yang sanggup memenuhi selera masyarakat kini yang menginginkan karya-karya berbentuk mudah dan ringan serta tidak memerlukan pemerahan akal.

Namun begitu, tanggungjawab kekal sebagai tanggungjawab. Sesebuah karya tidak boleh terlalu mengikut arus budaya popular kerana kesannya boleh merosakkan pemikiran masyarakat. Bukankah seni itu adalah satu kaedah pendidikan dan penerapan propaganda kebaikan?

Dewasa ini, banyak sekali karya berupa drama mahupun filem diadaptasikan daripada karya penulisan. Ini adalah suatu perkembangan yang baik kerana secara tidak langsung boleh meneruskan kesinambungan sesuatu karya penulisan itu ke dalam paparan visual, namun sesebuah karya yang diadaptasi daripada novel perlu mempunyai kualiti dan membina akal budi masyarakat.

Karya yang berkualiti mampu menjadi ejen penting kepada pembentukan masyarakat yang berwibawa dan intelek.

Sekiranya hanya karya yang berunsurkan percintaan atau bermodalkan perkara yang ringan semata-mata, nescaya akan menyebabkan kelahiran masyarakat yang materialistik, bernafsu dan malas berfikir.

Pembinaan sebuah negara yang berdaya saing dan maju bermula daripada tahap keintelektualan masyarakatnya. Apabila sesebuah masyarakat itu mempunyai akal dan budi yang tinggi, maka dengan sendirinya produktiviti negara akan berkembang dengan sangat baik, seterusnya memenuhi keperluan negara ke arah kemajuan. Masyarakat hebat itu perlu mempunyai pengisian dan jati diri yang teguh dan diikuti dengan pembudayaan nilai yang positif. Maka itu, di sini letaknya peranan penggiat seni dalam mengisi keperluan rohani masyarakat dengan menghidangkan karya-karya yang membina dan bukan sekadar membekalkan hiburan semata-mata.

Seperti kata-kata yang pernah dinukilkan oleh Hamka,

Membaca buku-buku yang baik bererti memberi makanan rohani yang baik. Bacalah buku-buku yang bermanfaat, roman yang berisi, ketahui jalan fikiran bangsa sendiri.

Sudah pasti, buku, drama, filem, lagu dan apa-apa jua karya seni perlu dihasilkan dengan kesedaran yang tinggi oleh penggiat seni. Penggiat seni tidak boleh mengejar keuntungan dan nilai komersial semata-mata kerana di bahu mereka terpikul sebuah tanggungjawab yang besar, iaitu memanusiakan manusia melalui karya seni. Apabila ramainya penggiat seni yang melahirkan karya yang bermutu dan membina akal, percayalah bahawa bidang seni dan budaya pasti memperoleh nilai prestijnya semula, sekali gus menjadi ejen penting kepada pembentukan masyarakat yang berwibawa dan intelek.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.