Oleh Aisyah A.
23 Mac 2022, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari mengumumkan bahawa Sarawak akan melaksanakan pembinaan laluan ART yang menghubungkan Bandar Bintulu dan Tanjung Kidurong.

Bintulu ‒ Sarawak akan melaksanakan pembinaan laluan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di Bintulu yang menghubungkan Bandar Bintulu dan Tanjung Kidurong. Laluan ini merupakan laluan kedua yang bakal dibina di Bumi Kenyalang itu selepas sistem ART pertama yang masih dalam pembinaan di Kuching.

Perkara tersebut diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (atau lebih dikenali sebagai Abang Johari) dalam Majlis Apresiasi Lembaga Kemajuan Bintulu semalam.

Beliau berkata, sistem pengangkutan tersebut kelak akan memudahkan dan melicinkan pergerakan antara bandar dengan pusat industri di Kidurong. Pembinaan sistem ART akan dapat menampung permintaan rakyat terhadap perkhidmatan itu selari dengan pembangunan di Tanjung Kidurong yang akan mewujudkan hampir 15 000 peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak dalam tempoh empat tahun akan datang.

Tanjung Kidurong akan menjadi hab pengeluaran bahan petrokimia dari sumber gas asli luar pantai yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dan bakal menjadi pusat pengeluaran gas hidrogen. Loji metanol yang dimiliki penuh oleh Kerajaan Sarawak juga kelak akan menjadi pusat pengeluaran gas hidrogen yang pertama di Malaysia.

Selain itu, kerja-kerja awal hab perubatan juga akan dibangunkan di Kidurong, iaitu dengan nilai pelaburan bagi fasa pertama berjumlah RM200 juta dari Amerika Syarikat dan fasa kedua akan menyusul dengan pelaburan RM800 juta.

Bintulu juga bakal menjadi pusat pengeluaran gas hidrogen yang pertama di Malaysia dan terkemuka di Asis Tenggara, iaitu dengan mengeluarkan anggaran 100 000 tan hidrogen dan membolehkan pelabur, seperti Samsung dari Korea dan Sumitomo dari Jepun membeli balik hidrogen ini

Tambah beliau, ART ini akan menarik pelancong  asing untuk melawat Taman Negara Similajau. Abang Johari mempamerkan keyakinan beliau bahawa sistem ART ini merupakan satu petanda pelabur swasta dari luar negara mempunyai keyakinan kepada dasar ekonomi yang dibawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak.

Beliau juga menekankan bahawa Lembaga Kemajuan Bintulu telah berjaya membangunkan sebuah perkampungan nelayan kepada sebuah kawasan perindustrian sejak penubuhannya 44 tahun yang lalu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.