23 Mac 2022, 13:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Seluruh Malaysia, termasuklah Sarawak akan membuka semula sempadan bermula 1 April.

Mulai 1 April 2022, pelancong tidak perlu lagi membuat permohonan dan pengisytiharan untuk memasuki Sarawak melalui EnterSarawak atau mengisi borang E-Health Declaration (eHDF).

Sempadan Sarawak juga akan dibuka semula dengan sembilan keperluan dikemas kini dan maklumat berkenaan akan disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pelancong hanya perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengisi borang soal selidik yang berkaitan dalam aplikasi tersebut.

“Untuk pelancong luar negara pula, mereka dibenarkan masuk tanpa perlu memohon My Travel Pass tetapi perlu mengisi borang Pre Departure Form menerusi Traveller Icon di aplikasi MySejahtera.

“Mereka yang datang melalui udara dan darat juga akan disediakan salinan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk rujukan,” ujarnya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya.

Ujar beliau lagi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), usaha keperluan keselamatan juga giat dijalankan bagi mengelakkan sebarang kerumitan dan kesesakan yang biasanya berlaku di lapangan terbang.

“Kita juga berharap dapat menyediakan sistem yang mudah untuk membuat saringan supaya setiap pelancong yang diuji tidak perlu menunggu lama,” katanya.

JPBN Sarawak turut berbincang dengan Brunei dan Indonesia mengenai SOP kemasukan di negeri itu melalui jalan darat.

“Hal ini adalah untuk membendung penularan wabak COVID-19, sekali gus membolehkan pelancongan dan perniagaan beroperasi semula.

“SOP Bazar Ramadan dan Bazar Gawai juga akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, manakala SOP untuk aktiviti dan program keagamaan akan dikeluarkan oleh Majlis Islam Sarawak dan Unit Agama lain,” terangnya lebih lanjut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.