Oleh Rosmani Omar
26 Mac 2022, 17:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali kagum dan teruja dengan Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail atas sikap merendah diri baginda ketika menyantuni rakyat dengan mengetepikan protokol. Baginda sentiasa turun padang melihat keadaan dan membantu sendiri masyarakat setempat.

Melihat nilai murni yang diamalkan oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perlis, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki mengingatkan pegawai tinggi dan pegawai kanan penjawat awam agar  sentiasa turun padang sepertimana yang dilakukan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis. Menurut YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki,  DYTM Tuanku Raja Muda Perlis seorang raja yang menghayati denyut nadi rakyat dan baginda banyak bercampur dengan masyarakat untuk memperkasakan komuniti.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki semasa program Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Khas.

Oleh itu, pada akhir program Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Khas di sekitar Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Seberang Ramai Kuala Perlis pada pagi tadi, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki menyeru penjawat awam sebagaimana ucapannya seperti yang berikut.

Penjawat awam bukan hanya bertugas di pejabat semata-mata untuk berbincang dan meluluskan projek pembangunan sahaja tetapi perlu lebih peka dengan melihat sendiri keadaan sebenar di lapangan serta perlu menghidupkan suasana selesa antara masyarakat dengan penjawat awam.

Dalam program tersebut, beliau juga mengucapkan tahniah kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis atas segala inisiatif dan usaha menjayakan projek transformasi diraja tersebut bersama-sama dengan pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan juga penduduk setempat.

Sekitar Program Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Khas.

Terdahulu, DYTM Tuanku Raja Muda berkenan berangkat melepaskan kira-kira 800 orang peserta pacu ria (fun ride) sempena dengan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perlis di Stadium Tuanku Syed Putra Kangar.

Baginda turut berkenan menerima persembahan cek cura (mock cheque) bagi mewakili Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis daripada K TWO Berjaya Resources (RM20 000), Yayasan Vantage Five (RM20 000) dan Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) (RM10 000) untuk terus menjayakan projek di Kampung Seberang Ramai tersebut.

Turut hadir dalam Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Khas ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Datuk Seri Jamil Rakon; Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), YBhg. Datuk Seri Dr. Yusof Ismail; dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Datuk Mohammad Ismail.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.