31 Mac 2022, 14:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin mengumumkan tema sambutan Hari Guru bagi tahun 2022, iaitu “Guru Tunjang Sekolah Sejahtera”. Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Gerakan Massa #terimakasihcikgu bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-51 Tahun 2022 yang diadakan pada pukul 8.00 malam di Hotel Raia, Kuala Terengganu, Terengganu semalam.

Menurut YB Datuk Dr. Radzi, Gerakan Massa #terimakasihcikgu telah bermula pada tahun 2018 sebagai pendekatan untuk membawa masyarakat untuk bersama-sama menginsafi segala pengorbanan yang dicurahkan oleh para guru di seluruh Malaysia.

Tambah beliau, “Selain menjiwai jasa guru, kita perlu menginsafi bahawa perjalanan hidup ini penuh dengan ilmu yang perlu diterokai.”

YB Datuk Dr. Radzi Jidin menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Bahas Guru KPM.

Hari Guru merupakan hari istimewa yang disambut oleh warga pendidik pada setiap tahun. Sambutan ini bagi memberikan kesempatan kepada pelbagai pihak untuk turut sama meraikan dan mengucapkan “terima kasih, cikgu” atas pengorbanan, kegigihan, serta khidmat bakti yang telah diberikan dalam mendidik anak bangsa.

“Bagi tujuan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat menghargai dan mengalu-alukan pelbagai pihak termasuk ibu bapa, komuniti dan pihak swasta menzahirkan secara terbuka ucapan ‘terima kasih, cikgu’ kepada warga pendidik bersempena dengan Sambutan Hari Guru tahun 2022,” jelas YB Datuk Dr. Radzi.

Berdasarkan ucapan YB Datuk Dr. Radzi dalam majlis tersebut, beliau menyatakan terdapat pelbagai acara dan aktiviti dilaksanakan bersempena dengan Gerakan Massa #terimakasihcikgu Tahun 2022, antaranya ialah Pertandingan Bahas Guru KPM Piala Pusingan Yayasan Guru Malaysia (YGMB) Peringkat Kebangsaan; Perkongsian Amalan Terbaik oleh PIBKS; Perkongsian Amalan Pendidikan berkaitan DELIMa KPM/Apple/Google; Perkongsian Konsep Sekolahku Sejahtera; dan Majlis Pelancaran Gerakan Massa #terimakasihcikgu.

YB Datuk Dr. Radzi turut berharap agar gerakan ini mampu menimbulkan rasa atau peringatan kepada warga pendidik bahawa penghormatan yang diberikan adalah berasaskan keilmuan, juga etika dan integriti yang dibawa bersama dalam perjalanan kehidupan mereka sebagai pendidik anak bangsa.

“Sejak merdeka, guru berperanan sebagai tunjang yang menjadi pejuang kemerdekaan dan pembangunan negara. Oleh itu, saya mengajak semua pendidik di negara ini untuk terus mempertahankan kehormatan profesion mereka sebagai guru,” tambah beliau.

Dalam pada itu, YB Datuk Dr. Radzi turut menyentuh berkenaan dengan konsep “Sekolahku Sejahtera” yang dilancarkan oleh KPM pada 21 Februari 2022 yang lalu. Menurut beliau, “‘Sekolahku Sejahtera’ merupakan satu usaha penerapan nilai murni dalam kalangan murid menerusi penerapan 14 elemen yang amat berkait rapat dengan pembinaan kemenjadian dan keperibadian murid yang mampu berdaya saing di peringkat dunia.”

Empat belas nilai yang terkandung dalam konsep ini adalah seperti yang berikut:

S: Selamat, Seronok dan Sihat

E: Etika dan Empati

J: Jati diri

A: Adab sopan

H: Harmoni

T: Tekun, Teliti dan Terampil

E: Eksplorasi

R: Rasional

A: Artikulasi

“Guru akan menerapkan elemen dalam ‘Sekolahku Sejahtera’ secara langsung atau tidak langsung sebagai peringatan tentang nilai murni kepada anak murid. Penting untuk guru dan masyarakat untuk memahami konsep nilai murni yang dilihat kian terhakis dalam amalan kehidupan masyarakat kita,” jelas beliau.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.