Oleh Rosmani Omar
3 April 2022, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar semua pemimpin pengakap terus menabur khidmat bakti dengan penuh semangat kepada ahli pengakap yang lain, termasuklah kepada masyarakat tanpa rasa jemu dan berputus asa.

Baginda sangat berbesar hati kerana pengakap terus dijadikan pasukan beruniform nombor satu di sekolah-sekolah di negeri Perlis. Titah baginda:

Bermula sekarang, Pengakap Raja mestilah menambah keahliannya di semua sekolah dan tidak hanya tertumpu di sekolah-sekolah berasrama penuh sahaja.

Dalam titah baginda, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan tertinggi Persekutuan Pengakap Negara atas komitmen yang tinggi dalam melestarikan kepimpinan pengakap.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang merupakan Presiden Diraja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis bertitah sedemikian selepas berkenan berangkat menyertai Program Kayuhan Basikal MAIPs anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis bersama-sama Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis. Program kayuhan tersebut bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Mahmudiah, Bukit Keteri, Kangar.

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bersama-sama Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf.

Turut menyertai program tersebut ialah Pemangku Ketua Pengakap Negara merangkap Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mejar Jeneral Prof. Dato’ Haji Mohd Zin Bidin (B) dan Ketua Pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Negeri Perlis, Azmi Abdullah.

Pada kesempatan yang sama, DYTM Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Puteri Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail mengucapkan selamat berpuasa kepada semua Muslimin. Baginda berdua dan anakanda-anakada baginda turut berdoa agar ibadah puasa pada tahun ini dapat dilaksanakan dengan istiqamah serta lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini di sebalik kekangan COVID-19 yang melanda negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.