Oleh Khairul Ariffin
11 April 2022, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sebanyak 14 elemen diwujudkan dalam menerapkan nilai kehidupan secara semula jadi kepada murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran melalui konsep Sekolahku SEJAHTERA oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kesemua elemen itu, akan diterapkan seawal prasekolah dan akan diteruskan hingga ke peringkat sekolah menengah pada sesi persekolahan akan datang. Empat belas  elemen SEJAHTERA tersebut ialah:

S – Selamat, Seronok dan Sihat

E – Etika dan Empati

J – Jati Diri

A – Adab Sopan

H – Harmoni

T – Tekun, Teliti dan Terampil

E – Eksplorasi

R – Rasional

A – Artikulasi

Sekolahku SEJAHTERA yang telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, di Putrajaya pada 21 Februari 2022 lalu dirangka konsepnya dengan berteraskan prinsip dan hasrat bagi mewujudkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan inklusif ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat.

Menteri Kanan Pendidikan melancarkan konsep Sekolahku SEJAHTERA di Putrajaya.

 

Menurut Datuk Dr. Radzi Jidin, sekiranya murid-murid betul-betul menjiwai konsep ini, negara Malaysia mampu melahirkan generasi yang hebat dan mampu bersaing di peringkat dunia. Pelaksanaan konsep ini juga bagi memberikan penekanan terhadap nilai murni terhadap murid-murid menerusi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di sekolah. Konsep ini yang akan diperkenalkan pada sesi persekolahan akan datang tidak akan membebankan guru serta murid kerana konsep ini akan diterapkan secara semula jadi dalam pengajaran dan pembelajaran.

Sekolah secara umumnya dan guru secara khususnya memainkan peranan yang penting serta mempunyai pengaruh yang besar dalam menerapkan nilai-nilai murni terdapat murid-murid. Sama ada di sekolah rendah atau di sekolah menengah, pelajar dididik supaya berakhlak, bermoral dan mengamalkan budaya hidup yang murni.

Di sekolah, guru memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan kehidupan pelajar. Ketika pelajar mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan, mereka sangat bergantung kepada tunjuk ajar guru. Hal ini berdasarkan keberadaan mereka di sekolah bersama-sama guru agak lama selepas masa bersama-sama ibu bapa dan keluarga di rumah. Oleh itu, adalah sangat penting untuk mewujudkan hubungan yang rapat antara guru dengan pelajar.

Melalui pelaksanaan Sekolahku SEJAHTERA, para murid akan dapat meneroka pelbagai cabang ilmu, idea dan penemuan baharu serta sentiasa berfikiran kreatif dan inovatif dalam penyelesaian masalah.

Dalam sistem pendidikan di Malaysia, penumpuan terhadap dasar pendidikan untuk melahirkan insan yang baik, menyeluruh dan bersepadu dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek sangat jelas berdasarkan apa-apa yang tersurat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Elemen akhlak, moral dan nilai murni merupakan satu daripada unsur yang penting dalam memastikan hasrat FPK tersebut dapat dicapai.

Sehubungan dengan itu, pembentukan insan yang berakhlak mulia amat dititikberatkan dan pentingnya penghayatan nilai murni dalam diri insan. Oleh itu, pendidikan dan penerapan nilai murni tidak boleh dipisahkan sama sekali. Tanpanya usaha untuk menghasilkan generasi muda yang hebat akhlaknya menjadi sia-sia.

Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum, nilai murni dapat dipupuk secara formal dan tidak formal. Selain di sekolah, ahli keluarga dan anggota masyarakat itu sendiri memainkan peranan yang penting dalam memupuk nilai murni dan membentuk sahsiah individu yang positif secara tidak formal. Namun begitu, pemupukan nilai murni akan lebih terarah jika disampaikan melalui sistem pendidikan formal yang jelas strukturnya.

Dengan wujudnya konsep Sekolahku SEJAHTERA, penekanan terhadap nilai murni akan diberikan kepada murid-murid menerusi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di sekolah. Konsep Sekolahku SEJAHTERA ini bukanlah satu mata pelajaran baharu atau sisipan mata pelajaran sedia ada. Namun begitu, penerapan elemen konsep ini dalam kalangan murid-murid akan dilaksanakan secara holistik bersama di dalam dan luar sekolah bagi kesejahteraan murid.

Selain itu, konsep Sekolahku SEJAHTERA juga tidak menambahkan beban tugas guru. Dalam konteks ini, para guru akan menerapkan konsep ini secara semula jadi dalam pengajaran dan pembelajaran seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini melalui konsep penerapan nilai murni yang merentas kurikulum demi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Dalam konteks ini juga, adalah diharapkan agar 14 elemen tersebut dapat memberikan garis panduan kepada murid-murid untuk membuat suatu keputusan secara rasional, sekali gus mengelak diri daripada terjebak dalam gejala buli. Menurut Datuk Dr. Radzi Jidin lagi, perbuatan buli berlaku apabila banyak dalam kalangan anak-anak yang bertindak secara tidak rasional. Masing-masing mengambil tindakan kerana merasakan diri mereka berada dalam kelompok yang besar dan boleh membuli murid lain.

Sebagai contoh, sebelum ini tular satu klip video di media sosial menunjukkan sekumpulan pelajar mengepung dan menumbuk perut mangsa sambil tertawa sesama mereka pada hujung tahun lepas. Berdasarkan ruangan komen warganet, kejadian tersebut dikatakan berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar. Kes buli tersebut ternyata menimbulkan kemarahan orang ramai yang menentang sebarang bentuk keganasan seperti buli, tambahan pula kes ini melibatkan murid sekolah.

Sehubungan dengan itu, dengan memberikan tumpuan yang lebih terhadap elemen yang disenaraikan mengikut konsep Sekolahku SEJAHTERA, diharapkan murid-murid dapat menerapkan nilai murni dalam diri mereka. Kerjasama pihak sekolah dan ibu bapa juga penting dalam usaha menjayakan konsep yang diwujudkan ini. Sebagai murid, mereka perlu dibimbing dan diberi tunjuk ajar agar matlamat yang diingini oleh KPM dapat dicapai.

Dalam sistem pendidikan di negara ini, penumpuan terhadap dasar pendidikan adalah untuk melahirkan insan yang baik, menyeluruh dan bersepadu. Sudah pasti nilai murni yang digariskan tersebut dapat membentuk sikap dan pemikiran seseorang serta membolehkannya membuat keputusan yang wajar dan bertanggungjawab ke atas akhlak dan perilakunya

Sehubungan dengan itu, semua pihak mesti berganding bahu dalam usaha untuk merealisasikan aspirasi negara dalam usaha melahirkan generasi muda hebat negara. Penekanan khusus perlu diambil terhadap 14 elemen SEJAHTERA agar konsep ini menepati kehendak dan matlamat asal kewujudan konsep yang diketengahkan oleh KPM.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!