13 April 2022, 17:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Mahasiswa masa ini bukan sahaja bergelut dengan cabaran meniti kehidupan dalam kebiasaan baharu akibat pandemik COVID-19, tetapi juga adanya golongan yang terkesan dengan gaya hidup bercitrakan kepantasan dan hambatan dunia digital. Tidak itu sahaja, golongan ini turut dihidangkan dengan pelbagai budaya hedonisme dan kemerosotan nilai dan akhlak melalui Internet dan media sosial. Kesemua ini tanpa disedari oleh masyarakat umum memberikan impak pro dan kontra kepada golongan ini, khususnya terdedah dengan risiko kesihatan mental.

Menyedari akan peri pentingnya pendedahan kesihatan mental kepada golongan belia, Kementerian Pengajian Tinggi menerusi Universiti Putra Malaysia (UPM) bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan Pertandingan Debat Belia Antara Kolej Kediaman Institut Pengajian Tinggi Malaysia 2022 pada 26-28 Mac 2022 secara dalam talian dan peringkat akhir pertandingan ini telah diadakan pada  9 April 2022 secara bersemuka dan UPM bertindak sebagai tuan rumah mengendalikan pertandingan debat akhir ini. Pertandingan ini juga bersempena dengan sambutan ulang tahun UPM ke-50 tahun dengan mengangkat isu sohor kini berkaitan dengan kesejahteraan psikologi golongan belia, khususnya mahasiswa.

Pertandingan debat akhir ini telah menyaksikan dua pasukan berentap dan ternyata kehebatan pendebat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang diwakili pendebat Nur Insyirah Ab Rahman, Ahmad Qurtubi Awwabin Azman, Iman Irfan Othman dan Nur Suraya Zulkifli berjaya mengungguli pertandingan ini, manakala pasukan Srikandi Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) UPM terdiri daripada Imaninah Mumtazah Abd Azazis, Nur Syazana Seruji, Siti Noralia Natasha Baharuddin dan Filda Mahashim mendapat naib juara.

Slot Kartini di BERNAMA Radio pada kali ini membincangkan tentang “Debat Belia Lahir Mahasiswa Holistik”.

Kejayaan menyandang juara oleh pasukan debat UPNM ini berjaya melayakkan mereka hadir mengadakan perkongsian melalui slot Kartini di BERNAMA Radio dengan tajuk perbincangan “Debat Belia Lahir Mahasiswa Holistik”, yang menampilkan Nur Insyirah dan Ahmad Qurtubi.

Nur Insyirah (kiri) dan Ahmad Qurtubi (kanan) wakil pendebat UPNM yang berjaya mengungguli pertandingan debat ini.

Melalui perkongsian ini, Nur Insyirah menyatakan bahawa bidang debat yang diceburinya ini sebagai arena melahirkan pelajar yang holistik dan berjiwa pemimpin, di samping melatih untuk fikir secara kritis. Mahasiswa juga dilatih berfikir dengan pantas dan tepat dalam masa 30 minit yang diberikan untuk menganalisis dan mengupas tentang usul yang diberikan dan merupakan satu daripada kaedah paling berkesan untuk melatih mahasiswa dalam berfikir, bertindak dan berhujah.

Mengikuti jadual latihan yang ditetapkan serta mengekalkan amalan membaca adalah kunci kejayaan pendebat dalam sesuatu pertandingan. Apatah lagi mahasiswa juga dituntut untuk berfikir tahap tinggi agar idea, iaitu lontaran pemikiran yang dihujah atau didebatkan mampu menyerlahkan karisma dan kewibawaan seseorang. Debat juga ujarnya dapat melatih seseorang untuk lantang bersuara yang bermaksud seseorang akan mempunyai ilmu dan keyakinan yang tinggi dalam menyuarakan pendapat tentang sesuatu perkara. Lantang bersuara ini amat penting kepada seseorang pemimpin yang akan menggagaskan pembaharuan dalam masyarakatnya.

Menyentuh tentang tajuk debat yang mereka hujahkan dalam pertandingan tersebut, iaitu “Sejahtera IPT: Jawapan Kepada Masalah Kesihatan Mental dalam Kalangan Mahasiswa” dan UPNM adalah sebagai posisi kerajaan (pencadang usul), manakala UPM di posisi pembangkang. Pasukan debat UPNM mengatakan bahawa pengurusan universiti kebelakangan ini hanya memfokuskan era pandemik dan cabaran universiti menanganinya dapat melihat konteks yang lebih jitu kepada permasalahan atau cabaran yang dihadapi oleh mahasiswa universiti. Dasar IPT SEJAHTERA yang diunjurkan oleh kerajaan ini satu bukti bahawa kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa benar-benar mendapat perhatian sewajarnya.

Sementara itu, Ahmad Qurtubi menegaskan bahawa kini tibalah masanya semua pihak bekerjasama bagi merealisasikan usaha universiti bagi melahirkan mahasiswa yang holistik dan cabaran kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa akan dapat diatasi. Berhubung isu ini juga, beliau menggesa agar masyarakat tidak menuding jadi kepada mana-mana pihak, tetapi berusaha untuk melihat sudut positif segala penambahbaikan yang dilaksanakan atau diagendakan oleh kerajaan, khususnya pengurusan universiti dalam mendepani isu ini.

“Sekiranya semua pihak dapat saling memahami usaha bagi membebaskan mahasiswa dan golongan belia berkaitan risiko kesihatan mental akan dapat dilakukan secara sistematik,” ujar beliau.

Ahmad Qurtubi turut mengucapkan rakaman penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka yang memberikan bimbingan khususnya dalam penggunaan tatabahasa yang betul agar pendebat dapat menyampaikan hujah menerusi debat mereka dengan bahasa yang betul dan berkesan.

Mengakhiri perkongsian, mereka berdua berharap sekiranya didapati mahasiswa mengalami simptom atau dikenalpasti mempunyai masalah mental, hendaklah rakan sebaya atau rakan terdekat melaporkan kepada kaunselor di universiti masing-masing agar mahasiswa ini dapat dibantu. Mereka juga berharap agar mahasiswa dan belia di luar sana tidak mudah berputus asa dan sentiasa berfikiran positif dalam mereka menjalani kehidupan mereka sebagai mahasiswa. Tindakan segera oleh rakan di sekeliling akan boleh membantu pelbagai pihak menangani isu ini secara terancang. Pertandingan debat ini telah menyaksikan kejayaan terunggul pasukan debat daripada UPNM apabila Iman Irfan Othman mengungguli Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan, dan Ahmad Qurtubi Awwabin pula menerima Anugerah Pendebat Terbaik Peringkat Akhir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.