14 April 2022, 11:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – AirAsia mengumumkan pembukaan penerbangan semula ke Bengaluru, Kolkata, Kochi, Hyderabad, Chennai dan Tiruchirappali dengan jangkaan 71 penerbangan mingguan menjelang akhir tahun ini.

Dengan pembukaan sempadan, syarikat penerbangan itu berharap dapat mencapai kapasiti pra-COVID, iaitu lebih daripada 140 perkhidmatan pergi balik mingguan ke India.

Dari kiri: Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited; Puan C. Sushma, Kuasa Usaha Suruhanjaya Tinggi India, Kuala Lumpur dan Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia di acara media AirAsia untuk mengumumkan lebih banyak sambungan penerbangan ke India.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat berkata, permintaan penerbangan akan ditentukan oleh cara sesebuah negara untuk menyesuaikan diri dengan keadaan COVID-19, selain daripada impak pembukaan sempadan.

“Kami juga melihat kepada permintaan, tetapi bergantung kepada cara sesebuah negara menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan penerimaan mereka terhadap ketibaan antarabangsa.

“Pada masa yang sama, saya memuji langkah kerajaan sekarang ini, iaitu perlaksanaan perjalanan tanpa kuarantin yang merupakan tarikan paling utama setakat ini,” kata Riad Asmat.

Tambah, berikutan dengan pembukaan sempadan antarabangsa, beliau ingin mengambil kesempatan itu untuk mengalu-alukan pelancong antarabangsa kerana akan merangsang secara signifikan sektor pelancongan negara dan ekonomi.

“Penerbangan ke India boleh menyumbang pertumbuhan dua digit ke dalam pasaran kami dan dijangka akan menjadi penyumbang utama.”

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa syarikat penerbangan sedang menjalankan pelan bagi memulakan kembali laluan ke Indonesia, Filipina, Vietnam dan Thailand selepas sempadan dibuka semula.

“Dari segi perancangan, semuanya telah disusun dan berharap pembukaan semula sempadan akan berlaku menjelang tahun hadapan,” ujarnya dalam sidang akhbar semalam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.