Oleh Aisyah A.
14 April 2022, 13:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menyediakan kira-kira 100 ribu tiket bagi perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) dan KTM Intercity bagi tarikh 23 April hingga 8 Mei, bersempena Hari Raya Aildilfitri tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd. Zain Mat Taha, jualan tiket itu meliputi 32 perkhidmatan ETS dan 22 perkhidmatan KTM Intercity hingga 7 April, hampir 40 peratus tiket sudah dijual bagi tempoh tersebut. Setakat ini, tiket laluan perjalanan laluan KL–Sentral ke Padang Besar telah habis bagi tempoh 29 April hingga 1 Mei.

Penamatan perintah sekatan pergerakan menjadi satu daripada penyumbang kepada trend jualan tiket dan Aidilfitri pada tahun ini dijangka akan disambut dengan kemeriahan berganda.

Situasi ini berbeza dari tahun-tahun lalu, bukan sahaja sektor ekonomi negara telah kembali beroperasi seperti biasa, orang awam juga sudah dibenarkan untuk merentas negeri walaupun masih tertakluk kepada garis panduan dan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mohd Zain berkata, “sekiranya jualan tiket menunjukkan trend yang memberangsangkan, KTMB akan mempertimbangkan untuk menyediakan tren tambahan untuk laluan yang mempunyai permintaan yang tinggi.”

Selain itu, pihaknya juga telah menambah dua lagi perkhidmatan tren harian bagi Shuttle Timuran bagi laluan Gemas–Kuala Lipis–Gemas yang menjadikannya empat perkhidmatan sehari bermula 18 April nanti. Para pelanggan juga boleh menikmati diskaun tambang perjalanan berkumpulan hingga 25 peratus melalui Pakej Keluarga Malaysia dengan menggunakan promo kod KMKTMB22.

Sehingga kini, hampir 240 ribu tiket bas yang disediakan oleh Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA) telah terjual untuk tempoh perayaan Aidilfitri yang akan disambut pada bulan hadapan.

Antara laluan yang paling mendapat sambutan, termasuklah Kota Bharu, Kelantan dan Johor. Pada masa yang sama, KTMB juga turut mempromosikan aplikasi KTMB Mobile bagi memudahkan urusan orang ramai memeriksa waktu perjalanan dan mengelakkan kesesakan dengan membuat urusan pembelian tiket secara dalam talian.

Para  pelanggan juga turut dinasihatkan supaya membeli tiket dengan segera bagi menikmati kadar tambang murah, di samping dapat membuat pilihan tempat duduk bagi yang selesa sepanjang perjalanan.

Walau bagaimanapun, selaras dengan keadaan negara yang kini berada dalam fasa endemik, orang ramai diminta untuk terus menjaga SOP bagi mengelakkan penularan virus atau timbulnya kluster baharu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.