15 April 2022, 12:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Subang Jaya – Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) yang dilancarkan di Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway semalam menyasarkan lebih ramai golongan muda daripada golongan B40 dan M40 untuk memiliki rumah pertama melalui Skim Rumah Pertamaku (SRP).

Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam ucapannya berkata,

SRP ini menawarkan kemudahan pembiayaan kepada rumah pertama, terutamanya kepada golongan muda. Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan bahawa sejak SRP dilancarkan hingga Februari tahun ini, hampir 67 ribu isi rumah telah berjaya memiliki rumah idaman pertama mereka.

SRP telah membantu mereka dengan nilai RM14.8 bilion, iaitu lebih daripada 90 peratus terdiri daripada B40, manakala daripada segi umur, 92 peratus ialah golongan yang berumur 35 tahun dan ke bawah.

SRP merupakan satu daripada tiga skim pembiayaan yang ditawarkan di bawah program i-Biaya. Dua skim lain termasuklah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SKJP) dan Skim Rent-to-Own.

Program i-Biaya menawarkan tiga skim pembiayaan.

Program i-Biaya ialah satu inisiatif di bawah Home Ownership Programme (HOPE) yang diusahakan oleh Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan disokong oleh Kementerian Kewangan Malaysia untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam Keluarga Malaysia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican bersama-sama YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul telah merasmikan Majlis Pelancaran i-Biaya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri KPKT, YB Dato’ Seri Dr. Ismail Mutallib, Timbalan Menteri Kewangan I, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan II, YB Tuan Haji Yamani Hafez Musa, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon, Ketua Setiausaha KPKT, YBhg. Datuk Noor Azman Taib, pegawai-pegawai kanan kementerian, jabatan dan agensi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.