Oleh Mubarak Ismail
17 April 2022, 11:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Keteri – Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan majlis Penutupan Kursus Asas Disiplin Anggota Rendah (KADAR) Bakal Pegawai Tidak Tauliah Rendah (Sukarela) Siri 1/2022 Rejimen 504 Askar Wataniah Tahun 2022 di Padang Kawad Kem Bukit Keteri, Perlis semalam. Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap tuanku komander rejimen disambut oleh timbalan komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.

Menurut titah Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, satu lonjakan paradigma perlu dilaksanakan dalam semua aspek dan pada setiap peringkat demi mencapai visi dan misi Rejimen 504 Askar Wataniah bagi memperkuatkan angkatan sukarelawan di negeri Perlis dan seterusnya memastikan rejimen ini terus relevan mengikut peredaran masa dan selaras dengan kehendak serta garis panduan yang ditetapkan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM).

Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam majlis Penutupan Kursus Asas Disiplin Anggota Rendah (KADAR) Bakal Pegawai Tidak Tauliah Rendah (Sukarela) Siri 1/2022 Rejimen 504 Askar Wataniah Tahun 2022.

“Di samping itu, semua anggota sukarelawan yang menyertai latihan dan kursus anjuran rejimen ini perlulah mencapai tahap mentaliti kelas pertama dengan memahami objektif pelaksanaan supaya matlamat latihan dan kursus tercapai serta memberi impak positif terutamanya kepada diri sendiri. Abaikan stigma saya hanyalah anggota sukarela kerana hal tersebut akan melemahkan minda, semangat dan seterusnya menghakis keyakinan diri,” titah baginda lagi.

Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut bertitah bahawa semua anggota angkatan sama ada tetap mahupun simpanan merupakan tulang belakang pertahanan negara.

Selain itu, baginda turut mengucapkan tahniah kepada semua para peserta yang baru sahaja selesai menjalani kursus yang melayakkan mereka berkhidmat sebagai bakal Pegawai Tanpa Tauliah Rendah (PTTR) dengan lantikan pangkat Lans Koperal. Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut menyarankan supaya segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh dalam kursus ini dijadikan sebagai pemangkin bagi peningkatan dan kemajuan dalam Askar Wataniah untuk terus kekal aktif pada masa hadapan.

Antara para penuntut terbaik dalam kursus tersebut termasuklah Nur Khairuddin Zulkifli (penembak), Mohd Nazafi Salim (kawad), Mohd Shawal Mohd Raadzi (ketabahan), Nurhanis Zambri (akademik) dan Nurul Afrina Abd Syadad (penuntut keseluruhan terbaik).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.