Oleh Normasiska Noor
21 April 2022, 10:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pandemik COVID-19 yang melanda pada tahun 2020 tidak memberikan banyak pilihan kepada negara di dunia selain menutup sempadan negara masing-masing. Hal yang demikian juga dengan Malaysia yang terpaksa melakukan tindakan yang sama demi melindungi rakyat dan negara ini daripada ancaman COVID-19.

Setelah hampir dua tahun berlalu, kerajaan pada akhirnya membuat keputusan untuk membuka semula sempadan negara bermula pada 1 April 2022. Langkah tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dengan menekankan bahawa keputusan tersebut adalah selaras dengan pengumuman peralihan negara ke fasa endemik pada April 2022.

Perdana Menteri mengumumkan pembukaan semula sempadan negara bermula pada 1 April 2022.

“Keputusan ini dibuat bersandarkan kepada tiga perkara asas, iaitu pertama, keputusan tersebut berpandukan sains dan fakta yang terkini berkaitan dengan COVID-19; kedua, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain; ketiga, memberikan keselesaan kepada pengembara dengan tidak merumitkan perjalanan mereka,” katanya.

Beliau berkata, paling penting, Malaysia kini merupakan destinasi terbuka dan boleh dikunjungi oleh semua pelancong dari serata negara. Katanya lagi, dengan pembukaan semula sempadan negara ini, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa, serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara dari luar. Pada masa yang sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan. Sebaliknya, mereka hanya perlu memuat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi “Traveller” dalam MySejahtera,” katanya.

Walau bagaimanapun, mengambil kira situasi penularan COVID-19 terutamanya gelombang Omicron yang masih melanda negara dan kebanyakan negara di seluruh dunia, Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa masih terdapat beberapa prosedur yang wajib dipatuhi sama ada oleh rakyat Malaysia sendiri mahupun pengembara dari luar yang ingin masuk ke Malaysia.

Malaysia membuka sempadan kepada pelancong asing bermula pada 1 April 2022.

Ternyata pembukaan sempadan negara disambut baik oleh banyak pihak. Bagi pihak industri yang berkaitan dengan pelancongan, pengumuman Perdana Menteri itu sememangnya amat dinanti-nantikan sebagai langkah yang paling tepat untuk merancakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yakin bahawa penggiat industri pelancongan sudah bersiap sedia bagi menerima pelancong dari luar. Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya sudah lama mengadakan perjumpaan dengan penggiat industri pelancongan. Maka itu, MOTAC akan menyasarkan kedatangan sebanyak dua juta pelancong ke Malaysia pada tahun 2022 dengan keuntungan melebihi RM6.8 bilion. Bagi mencapai sasaran kedatangan dua juta orang pelancong itu, MOTAC turut telah merangka pelbagai strategi bagi mencapai sasaran tersebut.

Sementara itu, menurut Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), pengumuman pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April lalu sememangnya menjadi khabar gembira untuk Malaysia. Presiden MATA, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, ahli-ahli dalam persatuan itu telah membuat pelbagai promosi pakej pelancongan untuk pelancong dari dalam dan luar negara.

“Rata-rata ahli kami dari sektor pelancongan menyambut dengan penuh kegembiraan atas pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri. Kami telah melakukan banyak promosi, iaitu sebulan sebelum pengumuman itu dibuat. Kini, kami yakin bahawa kami telah melakukan yang terbaik untuk mempromosikan negara ini kepada pelancong antarabangsa. Tambah beliau, ahli-ahlinya dari sektor lain seperti taman tema, restoran, perkapalan serta kedai cenderahati sudah tentu mengukir senyuman di atas pengumuman itu.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Negeri Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menjelaskan bahawa negeri itu turut menyambut baik pembukaan semula sempadan negara. Keputusan itu katanya merupakan petanda baik untuk pemulihan segera pelbagai sektor ekonomi negara yang terjejas teruk terutamanya industri pelancongan dan hospitaliti.

“Sarawak kehilangan berbilion ringgit pendapatan daripada industri pelancongan dan perhotelan yang sejak beberapa tahun lalu menjadi penyumbang kepada ekonomi tempatan serta menjadi mata pencarian mereka yang bekerja dalam industri hiliran. Maka itu, pembukaan sempadan ini pastinya membawa limpahan faedah kepada rakyat dan negara. Hal yang demikian juga dengan industri pelancongan perubatan yang akan mendapat manfaatnya,” katanya.

Bagi kerajaan negeri Sabah pula, pembukaan semula sempadan negara diyakini akan membantu memulihkan ekonomi Sabah yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19. Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, penutupan sempadan Malaysia sejak kira-kira dua tahun lalu amat menjejaskan sektor pelancongan negeri yang merupakan antara sumber pendapatan utama ekonomi Sabah. Maka itu, keputusan membuka semula sempadan negara akan membolehkan ekonomi negara terus kekal berdaya saing terutamanya dalam sektor pelancongan.

Bagi pakar ekonomi PublicInvest Research, Dr Rosnani Rasul, penutupan sempadan negara telah menjejaskan sektor perkhidmatan, khususnya subsektor yang berkaitan dengan pelancongan dan sampingan (contohnya peruncitan, seni dan budaya) memandangkan penurunan yang mendadak khususnya ketibaan pelancong antarabangsa yang berkurangan kepada 4.3 juta orang pada tahun 2020 (daripada 26 juta pada tahun 2019). Maka itu, perbelanjaan pelancong pada tahun 2020 juga merosot separuh atau kepada RM40.4 bilion daripada RM86.1 bilion pada tahun sebelumnya.

Lebih penting lagi katanya, pelancongan merupakan satu daripada industri terbesar di Malaysia dan menyumbang hampir enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara serta menggaji hampir satu per empat daripada tenaga kerja di Malaysia.

“Penutupan beberapa sektor terutamanya perkhidmatan turut menyumbang kepada peningkatan yang mendadak dalam pengangguran yang mencapai kemuncak, iaitu sebanyak 5.3 peratus pada Mei 2020 akibat wabak itu. Sempadan yang ditutup juga merupakan tekanan berat bagi sektor-sektor utama seperti pertanian dan pembuatan yang telah menghadapi isu kekurangan buruh,” ujarnya menurut laporan yang diterbitkan dalam DagangNews.com.

Oleh itu, menurutnya pembukaan semula sempadan juga akan memulihkan sektor pelancongan yang telah menanggung beban pandemik COVID-19 walaupun pemulihan akan beransur-ansur memandangkan penduduk ASEAN hanya dijangka menerima vaksin sepenuhnya menjelang tahun 2023.

Ketibaan pelancong ke Malaysia diharapkan dapat merancakkan kembali ekonomi negara yang pastinya bukan hanya berkisar pada industri pelancongan tetapi impak ekonomi secara menyeluruh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.