Oleh Yusaida Yusof
22 April 2022, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada pagi ini menerima kehadiran, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof ke Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 serta Pelancaran Manual Kewangan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Beliau yang hadir untuk merasmikan majlis tersebut turut singgah di lobi Balai Tun Syed Nasir, Wisma DBP untuk menyaksikan taklimat ringkas mengenai portal digital JendelaDBP yang disampaikan oleh Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar dan Ketua Editor Bahagian Multimedia, Puan Naimah Yusof.

Dr. Rosmani Omar, memberikan taklimat tentang JendelaDBP kepada YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Menerusi taklimat tersebut, Dr. Rosmani menjelaskan bahawa DBP telah membangunkan JendelaDBP, iaitu pusat sehenti untuk kandungan digital DBP. Menerusi paparan utama, JendelaDBP memaparkan berita dan artikel terkini daripada lapan buah majalah yang kandungannya berbeza daripada kandungan majalah bercetak.

Tambahnya lagi, JendelaDBP yang dibangunkan sejak April 2021, berjaya menarik perhatian pelayar dari serata dunia. Sejak Januari 2022 hingga kini, sebanyak 345 152 statistik capaian oleh pelayar direkodkan, malah yang lebih membanggakan, sebanyak 78 buah negara di seluruh dunia telah mengakses JendelaDBP dengan Amerika Syarikat sebagai negara kedua tertinggi yang mengaksesnya. Dalam konteks penerbitan majalah digital, Dewan Sastera misalnya telah diakses oleh lebih 41 000 orang dari pelbagai negara dalam tempoh tersebut.

Selain lapan majalah digital yang diterbitkan dalam JendelaDBP, sebanyak sembilan majalah bercetak terbitan DBP juga dijual secara dalam talian manakala dua majalah bercetak boleh diakses secara percuma.

Selain majalah, ruangan UjanaDBP dalam JendelaDBP turut memaparkan produk terbitan DBP dalam pelbagai format yang merangkumi buku bercetak dan buku dalam format EPUB, buku audio, majalah bercetak dan majalah dalam format PDF. Di samping itu, TV DBP, dan Radio DBP penstriman turut menampilkan rancangan khusus dalam pelbagai bidang untuk tontonan masyarakat. Antara lain, ruangan Peka Bahasa turut terkandung dalam JendelaDBP yang memaparkan dialek, istilah, ejaan Jawi, komik, mutiara kata, pantun, peribahasa, puisi dan tatabahasa dalam bentuk grafik. Ruangan ini bukan sahaja sesuai untuk masyarakat malahan boleh dijadikan rujukan oleh para pelajar.

Yang turut mengiringi YBhg. Datuk Yusran ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan; Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dan  Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Tuan Haji Abd Halim Haji Harun. 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.