22 April 2022, 11:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur − Bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP,  berlangsung Majlis Anugerah Perkhidmatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 serta Pelancaran Buku Manual Kewangan DBP yang bermula pada pukul 9.30 pagi hari ini.

Majlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini menyaksikan sebanyak 157 orang warga DBP diberikan anugerah atas perkhidmatan baik yang ditonjolkan − 93 orang penerima Anugerah Perkhidmatan (AP) dan 64 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 serta Pelancaran Buku Manual Kewangan DBP.

Dalam majlis yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, beliau berkata, “Anugerah ini amat bermakna kepada penjawat awam kerana segala khidmat dan bakti yang dicurahkan dihargai dan diiktiraf oleh organisasi dan kerajaan.”

Peranan penjawat awam sebagai jentera penggerak kepada kerajaan bukanlah satu tugas yang mudah khususnya dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat disempurnakan dengan baik dan berkesan.

“Pada masa yang sama, penjawat awam juga perlu mengharungi perjalanan yang penuh mencabar sepanjang tahun 2021, iaitu pandemik COVID-19, perubahan politik serta bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir. Oleh itu, penjawat awam perlu melalui berbagai-bagai perubahan dari segi cara bekerja sehingga tuntutan mengadaptasi norma baharu dalam kehidupan seharian,” tambah beliau.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan.

Dalam majlis ini, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan berkata, “Untuk menjadi organisasi cemerlang, sudah tentu pekerja yang mempunyai prestasi kerja cemerlang diperlukan. Aspek-aspek seperti pengetahuan, kemahiran, pengalaman, kecekapan dan nilai positif serta kepakaran yang dimiliki oleh pekerja merupakan aset yang tidak ternilai. Semuanya diperlukan demi memastikan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan berada pada tahap cemerlang.”

Beliau turut mengingatkan, “Pemberian anugerah pada hari ini bukan hanya sebagai pendorong dan pengiktirafan kepada prestasi kerja cemerlang semata-mata.”

Dalam skop yang lebih luas lagi, anugerah ini menjadi penggerak transformasi dan peneraju perubahan positif dalam membudayakan kecemerlangan.

“Kecemerlangan bukan sekadar diukur dengan tercapainya sasaran kerja tetapi juga perkhidmatan yang bersih dan berintegriti. Sehubungan dengan itu, ‘Budaya Kerja Kelas Pertama’ yang menggabungkan integriti, disiplin dan tanggungjawab, mestilah menjadi pegangan setiap penjawat awam agar mereka dapat menjalankan tugas dengan jujur dan telus,” jelas YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Dalam ucapan alu-aluan oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran menyatakan bahawa DBP beruntung kerana memiliki sumber manusia yang berkualiti dan bermotivasi.

Kejayaan yang dicapai oleh DBP selama ini adalah kerana kesungguhan dan rasa tanggungjawab staf DBP terhadap amanah yang diberikan kepada mereka.

Menurut beliau, “Majlis penganugerahan hari ini adalah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan semua staf DBP yang diwakili oleh rakan-rakan yang menerima anugerah pada hari ini. Dalam hal ini, iltizam dan kerjasama amat penting dalam kerja sebagai satu pasukan. Kepada semua penerima anugerah, kita mesti mempertahankan kerjasama dan kerja secara berpasukan yang kita amalkan selama ini, seperti kata orang tua-tua, ‘ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua’.”

Sebanyak 157 orang warga DBP menerima Anugerah Perkhidmatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021.

AP DBP telah diwujudkan bermula pada tahun 1970 dan merupakan penghargaan DBP kepada staf yang menunjukkan kesetiaan untuk terus memberikan khidmat bakti yang terbaik kepada DBP. Kriteria pemilihan adalah berdasarkan tempoh perkhidmatan yang melayakkan dan tertakluk pada syarat yang tertentu.

Kesemua 93 orang penerima AP tersebut menerima sijil penghargaan dan insentif AP mengikut tempoh perkhidmatan masing-masing − 20 tahun (sijil simpanan premium RM350); 25 tahun (sijil simpanan premium RM500); 30 tahun (sijil simpanan premium RM750); 35 tahun (sijil simpanan premium RM1000); dan 37 tahun (wang tunai RM5000 yang dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji).

Sementara itu, APC merupakan penghargaan Kerajaan Malaysia kepada anggota Perkhidmatan Awam yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang. Pemilihan adalah berdasarkan garis panduan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2012 dan juga kriteria tambahan pemilihan penerima APC DBP yang ditetapkan oleh Mesyuarat Panel Pembangunan Sumber Manusia DBP.

Kesemua 64 orang staf DBP yang memenuhi syarat dan menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang bagi tahun 2021 menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang; Hadiah Prestasi sebanyak RM1000; dan diberikan peluang dalam pencalonan untuk menerima pingat, bintang dan darjah kebesaran persekutuan dan negeri.

Turut diadakan ialah Pelancaran Buku Manual Kewangan DBP, iaitu Manual Prosedur Perolehan dan Bayaran Dewan Bahasa dan Pustaka yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan disaksikan oleh Pengurusan Tertinggi serta warga kerja DBP.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!