22 April 2022, 14:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Keluarga Malaysia di seluruh negara komited menjayakan Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2022 yang berlangsung semalam bermula pada pukul 11.00 pagi hingga pukul 1.10 tengah hari yang turut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Datuk Seri Dr. Santhara J. P. di Perpustakaan Negara Malaysia.

Program ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan,  Seni dan Budaya melalui Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) yang dilangsungkan secara hibrid.

Datuk Seri Dr. Santhara J. P. berkata,

Saya percaya peningkatan amalan membaca sama ada membaca buku dalam bentuk fizikal ataupun membaca secara dalam talian ini merupakan petunjuk untuk menjadikan Malaysia ke arah negara maju.

Beliau turut menyatakan program yang dijalankan serentak di seluruh negara ini mampu meningkatkan minat dan keseronokan membaca, serta dapat memupuk budaya membaca dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Tema yang diangkat dalam program tahunan ini ialah “Bangkit Baca dan Bersyukur” seiring dengan senario dalam negara yang sedang berada dalam fasa peralihan endemik yang menyeru Keluarga Malaysia untuk kembali bangkit daripada sosioekonomi termasuklah menambahkan ilmu dengan amalan membaca.

Program Galakan Membaca ini diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April setiap tahun. Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Ketua Pengarah PNM, Edy Irwan Zulkafli dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Hajah Saraya Arbi.

Majlis perasmian Jom Baca Bersama 10 Minit 2022 pada kali ini dimeriahkan lagi dengan persembahan puisi daripada budayawan dan karyawan, Dr. Lim Swee Tin, perasmian buku Warisan Manuskrip Melayu Edisi Kedua, penyampaian hadiah kepada pemenang Poster Digital “Rakyat Malaysia, Jom Membaca”, nyanyian lagu Budaya Membaca dan Budi Bahasa Budaya Kita, serta sesi ceramah Pantas Baca daripada Pustakawan Kanan Universiti Sains Islam Malaysia, Ahmad Yazid Ahmad @ Abdul Rahman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.