25 April 2022, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Plus Malaysia Berhad (PLUS) menyarankan pengguna lebuh raya untuk mematuhi Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Balik Kampung dan Pulang ke Bandar yang telah disediakan sepanjang musim perayaan Aidilfitri akan datang untuk mengelakkan kesesakan trafik yang lebih panjang.

TTA yang direka berdasarkan pola perjalanan trafik musim perayaan dan cuti sekolah yang lalu sebagai panduan ini bertujuan untuk membantu pengguna lebuh raya melalui perjalanan sebaik mungkin dan mengurangkan kesesakan dengan mengagihkan trafik daripada memasuki kawasan lebuh raya secara serentak.

Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, penggunaan lebuh raya PLUS dijangka akan meningkat sebanyak 25 peratus iaitu dua juta buah kenderaan berbanding dengan 1.6 juta buah kenderaan sehari sepanjang tempoh perayaan nanti memandangkan perjalanan kali ini adalah yang pertama sejak dua tahun perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Sila jangkakan kesesakan dan mungkin memanjangkan tempoh perjalanan anda. Jadi, kami menggesa dan menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk mematuhi jadual perjalanan TTA yang dikeluarkan bagi merancang perjalanan balik kampung dan pulang ke bandar.

Bermula 29 April hingga 2 Mei 2022, pengguna lebuh raya yang akan keluar dari Lembah Klang ke destinasi yang lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang (Utara) dan Johor, waktu TTA yang dicadangkan adalah sebelum pukul 10.00 pagi. Sementara itu, bagi pengguna yang menuju ke destinasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain, disarankan untuk memasuki lebuh raya selepas pukul 1.00 petang.

Bagi perjalanan pulang ke Lembah Klang yang dijangka bermula pada 5 hingga 9 Mei 2022, cadangan waktu untuk memulakan perjalanan ialah sebelum pukul 9.00 pagi bagi mengelakkan kesesakan yang dijangka akan menjadi dua ganda lebih panjang daripada tempoh kebiasaan.

Pengguna lebuh raya PLUS boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan trafik terkini melalui Twitter @PLUSTrafik, aplikasi PLUS, talian PLUSLine (1800-88-0000), Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.