25 April 2022, 11:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sambutan Hari Geosaintis jatuh pada hari Ahad minggu pertama April setiap tahun. Namun begitu,  adakah kita mengenali siapakah geosaintis? Apakah peranan mereka?  Mungkin juga ada yang tidak perasan dengan sumbangan yang dicurahkan oleh golongan yang turut dikenali sebagai ahli geologi atau kaji bumi ketika negara kita berhadapan dengan pelbagai ujian alam seperti tanah runtuh, banjir, kemarau malah kelembapan sektor pelancongan. Bersempena dengan hari yang disambut ini, penulisan ini tertumpu pada peranan ahli geologi agar kerjaya ini terus dihargai oleh semua pihak.

Kelibat ahli geologi kebiasaannya jarang-jarang disedari oleh orang ramai. Ketika berlaku bencana tebing bukit batu kapur yang runtuh baru-baru ini di Simpang Pulai, anggota bomba dan penyelamat bekerjasama dengan pakar bidang geologi seperti ahli geofizik dan geobencana dalam usaha membantu mencari mangsa yang tertimbus. Gelongsor tanah di kawasan Ampang juga telah menggemparkan kita sekitar Mac 2022. Dua contoh tersebut merupakan kejadian yang memerlukan penglibatan ahli geologi untuk membantu operasi menyelamat dan menilai tahap kestabilan cerun yang secara zahir kelihatan masih utuh dan belum pun mahu runtuh.

Pada Mac yang lalu juga kita menyambut Hari Air Sedunia. Semasa musim kemarau dan ditambah pula dengan masalah jerebu yang teruk, khidmat ahli geologi ini sememangnya ditagih. Golongan petani dan pekebun sudah tentu keresahan kerana bendang menjadi kering dan tanaman pula mati kelayuan. Kebakaran hutan terutamanya di kawasan gambut menjadi cabaran utama semasa musim kemarau. Pakar hidrogeologi dan “bomoh air” (geofizik penjelajahan) akan dipanggil untuk membantu menangani masalah tersebut. Kawasan yang berpotensi adanya air bawah tanah seperti dalam retakan batuan masih belum banyak diterokai untuk menampung bekalan air di permukaan yang kering semasa kemarau. Isu pencemaran air permukaan seperti loji rawatan air yang mungkin disabotaj atau wujud tangan-tangan ghaib yang tidak mahu mematuhi undang-undang negara dalam operasi kilang berhampiran sungai sering menghantui kita dalam isu perbekalan air yang selamat untuk digunakan. Ahli geologi boleh memainkan peranan penting bagi mendapatkan sumber baharu air bawah tanah bagi kawasan yang strategik supaya dapat memenuhi keperluan masyarakat yang mendiami kawasan dengan kepadatan penduduk seperti Pulai Pinang. Maka, tidak hairanlah jika masalah perbekalan air yang tidak dirancang dengan betul, menyebabkan negeri-negeri lain juga akan turut terkesan pada masa akan datang.

Dalam sektor pertanian juga, pelibatan ahli kaji bumi mampu merancakkan lagi hasil penanaman buah-buahan komersial seperti mangga Harum Manis dan durian Musang King. Mungkin sebelum ini hanya tanah di Perlis yang sesuai ditanam mangga Harum Manis. Mungkin juga penelitian tanah serupa di tempat lain boleh menjana pendapatan masyarakat melalui kerjasama Jabatan Pertanian. Begitu juga dengan kesuburan tanah untuk durian Musang King. Jenis-jenis tanah yang ada boleh dinilai oleh pakar tanah untuk kesesuaian mengikut jenis tanaman.

Selain itu, ahli geologi juga terlibat dalam penyediaan tapak binaan, jajaran baharu jalan raya, landasan kereta api, serta projek-projek mega seperti empangan dan terowong. Sebagai contoh, projek lebuh raya memerlukan input atau pandangan ahli geologi supaya pembinaan dapat dilakukan dengan baik bagi mengelakkan bencana seperti runtuhan cerun potongan bukit, pendasaran tidak mendap atau ditelan bumi serta tiang yang dipasak dipastikan berada pada batuan yang utuh. Penilaian kestabilan terowong seperti terowong jana kuasa hidro amat penting dilakukan bagi mengelak daripada berlakunya kegagalan pihak berkenaan membekalkan tenaga elektrik. Terdapat juga terowong yang digunakan untuk tapak pelancongan seperti terowong Sungai Lembing yang perlu dinilai oleh ahli kaji bumi dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan para pengunjung terjamin. Pembinaan lapangan terbang juga amat memerlukan pandangan daripada ahli geologi. Pernah suatu ketika dahulu, kita digemparkan dengan masalah mendapan di kawasan lapangan terbang yang didasari oleh batu kapur.

Sektor pelancongan negara juga memerlukan maklumat geologi. Contoh yang tidak asing lagi termasuklah pembangunan sesebuah geopark. Malaysia kini memiliki geopark bertaraf global, iaitu di Pulau Langkawi dan beberapa tempat lain pula berstatus kebangsaan seperti Geopark Lembah Kinta, Geopark Jerai dan Gunung Kinabalu. Buah tangan ahli geologi telah menjadikan tapak-tapak yang menarik seperti pembentukan gua dan struktur batuan unik dapat dikenali dan dihayati oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa. Tanpa kepakaran ahli geologi, keunikan sesuatu tempat agak sukar untuk diceritakan. Jalinan pelbagai bidang menambahkan lagi maklumat saintifik dan kebolehpasaran sesuatu tempat dalam sesebuah tapak dalam industri geopelancongan.

Sektor kuari dan lombong juga melibatkan khidmat geosaintis. Mana tidaknya, jika tebing kuari tidak selamat, pegawai bidang inilah yang perlu menasihati pengurusan syarikat supaya keselamatan pekerja terjaga dan operasi harian dapat diteruskan. Bicara tentang sumber mineral nadir bumi (REE) juga perlu melibatkan ahli geologi. Peranan mereka dalam menentukan zon kaya mineral tersebut dalam tanah mahupun batuan membolehkan pengusaha mineral tersebut mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dilombong. Selain itu, banyak lagi sumber mineral dan batuan yang berguna untuk diusahakan. Emas di Malaysia terutamanya di kawasan Raub dan Kuala Lipis sudah sekian lama dipetakan oleh ahli geologi untuk dilombong. Sejarah Lembah Kinta yang terkenal dengan bijih timah juga memerlukan orang yang arif dengan ilmu kaji bumi dalam mencari jalur pembentukan mineral tersebut.

Begitulah antara peranan ahli geologi dalam kehidupan kita. Sempena Hari Geosaintis yang disambut ini, penulis juga ingin menarik perhatian pembaca untuk mengenali dengan lebih lanjut tentang bidang dan kerjaya sebagai ahli geologi. Melalui carian Persatuan Geologi Malaysia, Institut Geologi Malaysia dan Lembaga Ahli Geologi, pembaca boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang siapa itu ahli geologi. Pada peringkat universiti pula, pembelajaran rasmi bidang geologi boleh diterokai di universiti seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi PETRONAS (fokus dalam bidang minyak dan gas), Universiti Sains Malaysia (fokus dalam bidang geofizik), Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Terengganu (fokus dalam geologi marin) dan Universiti Malaysia Sabah.

Sebagai penutup, penulis ingin lontarkan persoalan berikut. Apabila dewasa kelak, mahu jadi geosaintiskah? Mahu mencari fosil dinosaur? Mahu jadi pakar gempa bumi? Arif tentang letusan volkano? Jom, sertailah kerjaya sebagai ahli geologi!

 

Dr. Mohd Hariri Arifin, Ketua Kluster Geologi Kejuruteraan dan Bencana Geologi, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.