26 April 2022, 15:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memulakan proses pindaan Akta Persaingan 2010 dan melancarkan rundingan awam secara dalam talian semalam.

Rundingan ini sekali gus mengundang orang ramai dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mengambil bahagian terhadap cadangan pindaan tersebut dengan memberikan pendapat, pandangan, input dan maklum balas.

Menurut MyCC, pindaan ini bertujuan untuk menjadikan undang-undang persaingan di Malaysia lebih komprehensif dan selaras dengan amalan antarabangsa.

Pindaan Akta Persaingan 2010 ini termasuklah pindaan peruntukan berkaitan dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan serta peruntukan rayuan, dengan mengambil kira perkembangan ekonomi digital dan pengenalan rejim kawalan penggabungan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail dalam satu kenyataan berkata,

Proses pindaan ini telah bermula sejak tahun 2019, tetapi tertangguh akibat pandemik COVID-19. Kami berharap pindaan ini akan mengukuhkan mandat MyCC dalam melindungi persaingan dalam pasaran dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan yang efektif.

Tambah beliau, MyCC diberikan mandat untuk menilai penggabungan yang akan mengurangkan atau mengganggu persaingan dalam pasaran dengan ketara dan berharap agar pindaan ini dapat diluluskan di Parlimen pada hujung tahun ini memandangkan Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang masih belum memiliki rejim kawalan penggabungan.

Orang ramai boleh mendapatkan salinan pindaan tersebut melalui laman rasmi MyCC dan portal Malaysia Productivity Corporation Unified Public Consultation (UPC) mulai 25 April 2022.

Sebarang input dan maklum balas berkenaan pindaan ini boleh dikemukakan menerusi e-mel MyCC atau portal UPC sebelum 27 Mei 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.