27 April 2022, 12:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti dikeluarkan bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin dan mengelakkan percampuran dalam aliran trafik – Menteri Pengangkutan, YB Datuk Seri Wee Ka Siong.

Sebelum ini, heboh sekali lagi dalam media sosial berkenaan kes kemalangan yang meragut lapan nyawa geng basikal lajak akibat dilanggar sebuah kereta.

Difahamkan, pemandu berkenaan juga telah dikenakan hukuman atas kesalahan sehingga mengakibatkan kematian.

Namun begitu, ramai yang tidak berpuas hati kerana hukuman tersebut wajar diberikan kepada ibu bapa atas dasar membiarkan anak berada keluar pada waktu tengah malam.

Walau bagaimanapun, kes yang terjadi itu tidak dijadikan pengajaran buat segelintir masyarakat.

Bahkan, sejak kebelakangan ini kenderaan mikromobiliti banyak digunakan di atas jalan raya yang bukan sahaja membahayakan pengguna kenderaan itu, tetapi membahayakan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Merujuk siaran media Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), jenis kenderaan mikromobiliti, termasuklah basikal berenjin (moped), skuter elektrik, skuter yang telah diubahsuai dan basikal.

“Penggunaan kenderaan itu dengan aliran trafik kenderaan motor lain di atas jalan raya akan menimbulkan risiko berlakunya tragedi yang sama dengan nahas basikal lajak itu,” Menteri Pengangkutan, YB Datuk Seri Wee Ka Siong.

Dalam pada itu, MOT turut memaklumkan jenis penggunaan kenderaan mikromobiliti tertentu akan dilarang di atas jalan raya menerusi pewartaan Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (“Kaedah”) berkuat kuasa mulai 17 Disember 2021.

“Antara kenderaan mikromobiliti yang dilarang ialah basikal berenjin, skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman ataupun kuasa manusia serta Personal Mobiliti Aids (PMA),” katanya.

“Walaupun penggunaan basikal tidak dilarang, tetapi perlu mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] di bawah Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Garis panduan penggunaan basikal dengan selamat juga telah dikeluarkan oleh MIROS dan boleh dimuat turun melalui laman web MOT dan MIROS,” ujar MOT lagi.

Sementara itu, basikal elektrik yang memenuhi spesifikasi Malaysia Standard sahaja dibenarkan untuk digunakan atas jalan raya dengan  mematuhi peraturan yang sama seperti penggunaan basikal.

“Bagi membezakan basikal elektrik dengan moped, kenderaan ini tidak ada pendikit (throttle) dan mempunyai pedal bagi kayuhan yang dipasang secara kekal di badan kenderaan,” katanya lagi.

Dalam siaran media yang sama, MOT menyeru semua pihak berkuasa termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk bersama-sama mengawal selia penggunaan kenderaan mikromobiliti dalam kawasan tadbir masing-masing.

“Selain itu, pihak berkenaan boleh juga membangunkan infrastruktur jalan khusus yang menyokong penggunaan kenderaan mikromobiliti yang selamat, serta tidak bercampur dengan aliran trafik yang ada.

“Demi keselamatan pengguna jalan raya yang lain, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menguatkuasakan perintah larangan ini,” kata MOT.

MOT turut menasihatkan orang ramai mematuhi semua larangan dan peraturan jalan raya demi kebaikan diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.